Selasa, 18 Jamadil Akhir 1447H | Tunaikan Hak Terhadap Harta dan Haiwan Ternakan
عَنْ جَابِرِ بْنِ عَبْدِ اللهِ قَالَ: قَالَ رَسُولُ اللهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ: مَا مِنْ صَاحِبِ إِبِلٍ، لَا يَفْعَلُ فِيهَا حَقَّهَا، إِلَّا جَاءَتْ يَوْمَ الْقِيَامَةِ أَكْثَرَ مَا كَانَتْ قَطُّ، وَأُقْعِدَ لَهَا بِقَاعٍ قَرْقَرٍ، تَسْتَنُّ عَلَيْهِ بِقَوَائِمِهَا وَأَخْفَافِهَا. وَمَا مِنْ صَاحِبِ بَقَرٍ، لَا يَفْعَلُ فِيهَا حَقَّهَا، إِلَّا جَاءَتْ يَوْمَ الْقِيَامَةِ أَكْثَرَ مَا كَانَتْ، وَأُقْعِدَ لَهَا بِقَاعٍ قَرْقَرٍ، تَنْطَحُهُ بِقُرُونِهَا، وَتَطَؤُهُ بِقَوَائِمِهَا. وَلَا صَاحِبَ غَنَمٍ، لَا يَفْعَلُ فِيهَا حَقَّهَا، إِلَّا جَاءَتْ يَوْمَ الْقِيَامَةِ أَكْثَرَ مَا كَانَتْ، وَأُقْعِدَ لَهَا بِقَاعٍ قَرْقَرٍ، تَنْطَحُهُ بِقُرُونِهَا، وَتَطَؤُهُ بِأَظْلَافِهَا، لَيْسَ فِيهَا جَمَّاءُ، وَلَا مُنْكَسِرٌ قَرْنُهَا. وَلَا صَاحِبَ كَنْزٍ، لَا يَفْعَلُ فِيهِ حَقَّهُ، إِلَّا جَاءَ كَنْزُهُ يَوْمَ الْقِيَامَةِ شُجَاعًا أَقْرَعَ، يَتْبَعُهُ، فَاغِرًا فَاهُ، فَإِذَا أَتَاهُ فَرَّ مِنْهُ، فَيُنَادِيهِ رَبُّهُ عَزَّ وَجَلَّ: خُذْ كَنْزَكَ الَّذِي خَبَّأْتَهُ، فَأَنَا أَغْنَى مِنْكَ، فَإِذَا رَأَى أَنَّهُ لَا بُدَّ لَهُ مِنْهُ، سَلَكَ يَدَهُ فِي فِيهِ، فيَقضِمُها قَضْمَ الفَحْلِ
Daripada Jabir bin Abdillah Rasulullah SAW bersabda: "Tidak ada seorang pemilik unta yang tidak menunaikan haknya (seperti zakat dan penjagaan), melainkan unta-unta itu akan datang pada Hari Kiamat dalam jumlah yang lebih banyak daripada sebelumnya. Lalu dia akan didudukkan di satu tanah yang luas dan rata, lalu unta-unta itu akan memijaknya dengan kaki dan tapaknya. Begitu juga, tidak ada pemilik lembu yang tidak menunaikan haknya, melainkan lembu-lembu itu akan datang pada Hari Kiamat dalam jumlah yang lebih banyak, dan dia akan didudukkan di satu tanah yang luas dan rata, lalu haiwan-haiwan itu akan menanduknya dengan tanduk mereka dan memijaknya dengan kaki mereka. Demikian juga pemilik kambing yang tidak menunaikan haknya, maka kambing-kambing itu akan datang pada Hari Kiamat dalam jumlah yang banyak, lalu dia akan didudukkan di satu tanah yang luas dan rata, dan kambing-kambing itu akan menanduknya dengan tanduk dan memijaknya dengan kuku mereka. Tidak ada seekor pun daripadanya yang bertanduk patah atau tidak bertanduk. Dan tidak ada pemilik harta (simpanan) yang tidak menunaikan haknya (seperti zakat), melainkan hartanya itu akan datang pada Hari Kiamat dalam bentuk seekor ular besar yang botak di kepalanya, mengejarnya sambil membuka mulut untuk menggigit. Apabila ular itu mendekatinya, dia cuba melarikan diri daripadanya, lalu Allah menyerunya: 'Ambillah harta simpananmu yang kamu sembunyikan dahulu. Aku tidak memerlukan harta itu (kerana Aku Maha Kaya).' Apabila dia tahu tiada jalan untuk lari, ular itu akan menyambar tangannya dan menggigitnya dengan gigitan kuat seperti gigitan unta jantan." (HR Muslim No 988) Status: Hadis Sahih
Pengajaran:
1. Mengeluarkan zakat merupakan salah satu daripada rukun Islam sama ada zakat binatang ternakan, zakat harta mahupun zakat tumbuh-tumbuhan.
2. Menunaikan hak haiwan adalah wajib sama ada penjagaan terhadapnya seperti makan dan minum juga hak untuk mengeluarkan zakat hawan ternakan. Islam sangat menekankan tanggungjawab pemilik terhadap haiwan ternakan.
3. Zakat bukan sekadar ibadah, bahkan menjadi hak orang lain dalam harta kita. Mengabaikannya adalah satu bentuk kezaliman.
4. Harta boleh menjadi azab jika disalahgunakan atau tidak digunakan untuk perkara yang diperintahkan oleh Allah SWT.
5. Orang yang tidak menunaikan hak terhadap hartanya dengan mengeluarkan zakat, akan menerima azab gigitan ular dihari akhirat.
6. Hadis ini adalah peringatan kepada kita agar tidak lalai dalam menunaikan tanggungjawab terhadap pengurusan harta dan kebajikan haiwan.
No comments:
Post a Comment