Selasa, 25 Jamadil Akhir 1447H | Larangan Wanita Bermusafir Tanpa Mahram
عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ، قَالَ: قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ: لَا يَحِلُّ لِامْرَأَةٍ تُؤْمِنُ بِاللَّهِ وَالْيَوْمِ الْآخِرِ، أَنْ تُسَافِرَ مَسِيرَةَ يَوْمٍ وَلَيْلَةٍ، إِلَّا وَمَعَهَا ذُو مَحْرَمٍ عَلَيْهَا
Daripada Abu Hurairah RA berkata, Rasulullah SAW bersabda: "Tidak halal (haram) bagi seorang wanita yang beriman kepada Allah dan hari akhirat untuk melakukan perjalanan (musafir) sejauh sehari semalam perjalanan, melainkan bersama-sama mahramnya (lelaki yang haram dinikahi secara kekal)." (HR Bukhari No: 1088) Status: Hadis Sahih
Pengajaran:
1. Islam sangat menitikberatkan keselamatan dan maruah wanita, terutama apabila bermusafir jauh.
2. Wanita beriman dilarang bermusafir tanpa ditemani mahram jika jarak perjalanan jauh yang mengambil masa sehari semalam sama ada melalui darat, udara atau laut kerana boleh mendedahkan wanita kepada fitnah atau bahaya.
3. Larangan ini adalah bertujuan menjaga keselamatan dan maruah wanita. Namun jika terdapat jaminan keselamatan dan keperluan mendesak, terdapat kelonggaran dengan syarat tertentu seperti bermusafir dalam rombongan yang aman dan dipercayai.
4. Ulama’ mazhab Maliki dan juga al-Syafie mengatakan harus bagi wanita muslimah yang tidak memiliki mahram untuk melakukan haji apabila dia telah memenuhi syarat wajib haji tetapi hendaklahh ditemani oleh sekumpulan wanita yang dipercayai. [Lihat: Mughni al-Muhtaj; 2/216-217, al-Mausu’ah al-Fiqhiyyah al-Kuwaitiyyah; 25/38]
5. Mahram ialah lelaki yang haram dinikahi selama-lamanya seperti: ayah, abang, anak lelaki, bapa saudara, anak saudara, datok dan suami. Tanggungjawab mahram adalah melindungi dan menemani wanita dalam perjalanan penting.
6. Larangan wanita bermusafir tanpa mahram bukan untuk menyulitkan, tetapi untuk melindungi.
No comments:
Post a Comment