Ahad, 16 Jamadil Akhir 1447H | Ujian Penghapus Dosa
عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ قَالَ قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ مَا يَزَالُ الْبَلَاءُ بِالْمُؤْمِنِ وَالْمُؤْمِنَةِ فِي نَفْسِهِ وَوَلَدِهِ وَمَالِهِ حَتَّى يَلْقَى اللَّهَ وَمَا عَلَيْهِ خَطِيئَةٌ
Daripada Abu Hurairah RA berkata: Rasulullah SAW bersabda: “Ujian (bala) akan sentiasa menimpa orang mukmin sama ada lelaki mahupun perempuan, pada dirinya, anaknya dan hartanya sehingga dia bertemu dengan Allah dalam keadaan tidak membawa satu kesalahan (dosa) pun atasnya.” (HR Tirmizi No: 2323) Hadis Hasan Sahih.
Pengajaran:
1. Setiap ujian (bala) atau musibah yang dihadapi oleh orang mukmin sama ada pada dirinya, harta serta ahli keluarganya adalah sebagai pengampun dosa-dosanya.
2. Al-Baghawi menyatakan: Tidak ada satupun musibah yang menimpa seorang hamba, demikian pula musibah yang lebih besar (dan luas) darinya, kecuali kerana sebab dosa yang Allah mengampuninya hanya dengan (cara menimpakan) musibah tersebut (kepadanya) atau Allah hendak mengangkat darjatnya (kepada suatu darjat kemuliaan) hanya dengan (cara menimpakan) musibah tersebut (kepadanya)” (Tafsir Al-Baghawi: 4/85)
3. Imam al-Nawawi menjelaskan bahawa hadis ini mengajar kita bahawa Allah akan menguji orang beriman dengan pelbagai bentuk ujian untuk:
• membersihkan dosa,
• mengangkat darjat mereka,
• dan menjadikan mereka lebih dekat kepada Allah.
Maknanya, ujian bukan tanda kebencian Allah, tetapi tanda perhatian dan kasih sayang-Nya.
4. Ujian kepada seseorang sebagai proses pembersihan Rohani meliputi tiga perkara:
Pada diri sendiri → sakit, tekanan, kesedihan, kegagalan, keletihan, dan pelbagai kesulitan hidup.
Pada anak → kesusahan anak, kematian anak, kelakuan anak, atau apa-apa ujian yang melibatkan keluarga.
Pada harta → kehilangan harta, kerugian perniagaan, musibah, rezeki sempit, atau apa saja yang menggoncang rasa pergantungan kepada dunia.
5. Antara tujuan utama Allah SWT menimpakan ujian kepada hamba-Nya adalah untuk mengetahui siapakah di antara mereka yang baik amalannya. Firman Allah SWT:
الَّذِي خَلَقَ الْمَوْتَ وَالْحَيَاةَ لِيَبْلُوَكُمْ أَيُّكُمْ أَحْسَنُ عَمَلً
“Dia lah yang telah mentakdirkan adanya mati dan hidup (kamu) untuk menguji dan menzahirkan keadaan kamu siapakah di antara kamu yang lebih baik amalnya.” Al-Mulk: 2
No comments:
Post a Comment