Selasa, 14 Muharam 1448H | Bertakwa dan Berakhlak Dalam Pergaulan
عَنْ أَبِي ذَرٍّ قَالَ قَالَ لِي رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ اتَّقِ اللَّهِ حَيْثُمَا كُنْتَ وَأَتْبِعْ السَّيِّئَةَ الْحَسَنَةَ تَمْحُهَا وَخَالِقِ النَّاسَ بِخُلُقٍ حَسَنٍ
Daripada Abu Dzar RA ia berkata; Rasulullah SAW bersabda kepadaku: "Bertakwalah kamu kepada Allah dimana sahaja kamu berada dan ikutilah setiap keburukan (dosa) dengan kebaikan, nescaya kebaikan itu akan menghapuskannya, serta pergaulilah manusia dengan akhlak yang baik." (Sunan Tirmizi No: 1910) Status: Hadis Hasan Sahih.
Pengajaran:
1. Setiap Muslim perlu memiliki sifat takwa dimana sahaja ia berada dan dalam setiap waktu.
2. Takwa berasal daripada perkataan wiqayah yang membawa maksud menjaga dan memelihara diri daripada kemurkaan Allah dengan sentiasa melaksanakan perintah Allah dan menjauhi perkara yang dilarang.
3. Abu Darda berkata: Taqwa yang paling sempurna ialah seorang hamba yang takut kepada kemurkaan Allah hinggakan dalam urusan seberat zarahpun dia masih takut. Setengah perkara yang halal pun ditinggalkan kerana takut ia menjadi haram.
4. Lakukanlah amal kebaikan kerana ia boleh menjadi penyebab kepada penghapusan dosa yang dilakukan seperti beristighfar, berwuduk, solat, sedekah dan sebagainya.
5. Berakhlak baiklah dalam pergaulan sesama manusia sama ada ahli keluarga, jiran tetangga, rakan sepejabat mahupun anggota masyarakat yang Muslim dan Non Muslim. Berlemah lembut, menjaga tutur kata, sabar, memaafkan juga hormatilah orang lain.
6. Jagalah akhlak dalam perhubungan sesama manusia. Elakkan umpatan, fitnah, hinaan, merendah-rendah orang lain dan sebagainya.
Jadilah kita orang bertaqwa, yang melakukan amal solleh dan menjauhi mungkar, serta berakhlak mulia dalam pergaulan sesama manusia. Bersamalah kita membina masyarakat dan negara yang harmoni dan sejahtera.
No comments:
Post a Comment