Khamis, 23 Muharam 1448H | Ganjaran Membaca Surah Al-Baqarah dan Ali Imran
عَنْ أَبِي أُمَامَةَ قَالَ: سَمِعْتُ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسلم يَقُول: اقْرَءُوا الْقُرْآنَ فَإِنَّهُ يَأْتِي يَوْمَ الْقِيَامَةِ شَفِيعًا لِأَصْحَابِهِ اقْرَءُوا الزَّهْرَاوَيْنِ الْبَقَرَةَ وَسُورَةَ آلِ عِمْرَانَ فَإِنَّهُمَا تَأْتِيَانِ يَوْمَ الْقِيَامَةِ كَأَنَّهُمَا غَمَامَتَانِ أَوْ كَأَنَّهُمَا غَيَايَتَانِ أَو فِرْقَانِ مِنْ طَيْرٍ صَوَافَّ تُحَاجَّانِ عَنْ أَصْحَابِهِمَا اقْرَءُوا سُورَةَ الْبَقَرَةِ فَإِنَّ أَخْذَهَا بَرَكَةٌ وَتَرْكَهَا حَسْرَةٌ وَلَا تستطيعها البطلة
Daripada Abu Umamah al-Bahili RA, beliau berkata: Aku mendengar Rasulullah SAW bersabda: "Bacalah al-Quran, kerana sesungguhnya al-Quran akan datang pada hari kiamat sebagai pemberi syafaat kepada para pembacanya. Bacalah dua surah yang bercahaya, iaitu Surah al-Baqarah dan Surah Ali 'Imran, kerana kedua-duanya akan datang pada hari kiamat seolah-olah dua gugusan awan, atau dua naungan, atau dua kumpulan burung yang mengembangkan sayapnya, lalu kedua-duanya membela para pembacanya. Bacalah Surah al-Baqarah, kerana membacanya merupakan suatu keberkatan, meninggalkannya merupakan suatu penyesalan, dan para tukang sihir tidak mampu menghadapinya." (HR Muslim No: 1910) Status Hadis Sahih
Pengajaran:
1. Al-Quran akan menjadi penolong (pemberi syafaat) kepada pembacanya pada hari akhirat nanti (ahli al-Quran – merujuk pembaca, penghafaz, pengamal yang menjadikan al-Quran sebagai panduan).
2. Al-Munawi menjelaskan bahawa apa yang dimaksudkan oleh Nabi bukanlah Al-Quran itu datang dalam bentuk lelaki, burung, awan dan sebagainya, akan tetapi yang dimaksudkan adalah pahala yang layak diberikan kepada mereka yang membaca dan beramal dengannya. Pahala-pahala itu nantinya akan datang dalam bentuk lelaki yang menjadi hujah di hadapan Allah. Ia juga menjadi seperti awan yang menaungi para pembacanya dari kepanasan di hari akhirat.
3. Sesiapa yang mengamalkan membaca surah Al-Baqarah dan Ali Imran, pada hari kiamat nanti akan mendapat naungan kedua surah ini dengan izin Allah. Menurut Ibn Hajar, kedua dua surah akan datang seperti dua gugusan menggambarkan perlindungan dan pembelaan yang Allah anugerahkan kepada mereka yang sentiasa membaca dan mengamalkan kedua-dua surah tersebut. Awan memberi teduhan daripada kepanasan, manakala burung yang mengembangkan sayap memberi gambaran penjagaan dan perlindungan.
4. Membaca dan menghayati kedua-dua surah ini membawa keberkatan dalam kehidupan di dunia dan akhirat. Keberkatan meliputi ketenangan jiwa, keluasan rezeki, kemantapan iman dan ganjaran pahala yang melimpah.
5. Orang yang tidak membaca al-Quran, ia akan menyesal kerana seseorang akan kehilangan peluang memperoleh keberkatan, perlindungan dan syafaat.
6. Orang yang melazimi membaca surah al-Baqarah, tidak akan dapat dikalahkan oleh tukang-tukang sihir (terhindar dari sihir).
7. Hadis ini mengajar bahawa hubungan yang berterusan dengan al-Quran merupakan sumber keberkatan, perlindungan dan kemuliaan di dunia serta bekalan yang amat berharga untuk memperoleh syafaat di akhirat.
No comments:
Post a Comment