Ahad, 11 Safar 1448H | Kelebihan Mengiringi Jenazah
عن أبي هريرة رضي الله عنه قَالَ قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم : مَنْ شَهِدَ الْجَنَازَةَ حَتَّى يُصَلَّى عَلَيْهَا فَلَهُ قِيرَاطٌ وَمَنْ شَهِدَهَا حَتَّى تُدْفَنَ فَلَهُ قِيرَاطَانِ . قِيلَ وَمَا الْقِيرَاطَانِ قَالَ " مِثْلُ الْجَبَلَيْنِ الْعَظِيمَيْنِ "
انْتَهَى حَدِيثُ أَبِي الطَّاهِرِ وَزَادَ الآخَرَانِ قَالَ ابْنُ شِهَابٍ قَالَ سَالِمُ بْنُ عَبْدِ اللَّهِ بْنِ عُمَرَ وَكَانَ ابْنُ عُمَرَ يُصَلِّي عَلَيْهَا ثُمَّ يَنْصَرِفُ فَلَمَّا بَلَغَهُ حَدِيثُ أَبِي هُرَيْرَةَ قَالَ لَقَدْ ضَيَّعْنَا قَرَارِيطَ كَثِيرَةً
Daripada Abu Hurairah RA, Rasulullah SAW bersabda:"Sesiapa yang menghadiri jenazah sehingga disolatkan, maka baginya satu qirat. Dan sesiapa yang menghadirinya sehingga selesai dikebumikan, maka baginya dua qirat." Lalu para sahabat bertanya: "Apakah yang dimaksudkan dengan dua qirat itu?" Baginda menjawab: "Seumpama dua buah gunung yang sangat besar."
Kemudian Ibn Shihab al-Zuhri meriwayatkan bahawa Salim bin Abdullah bin Umar berkata: Abdullah bin Umar RA pada mulanya hanya menghadiri solat jenazah kemudian terus pulang. Apabila beliau mendengar hadis yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah RA ini, beliau berkata: "Sesungguhnya kita telah kehilangan banyak ganjaran yang besar." (HR Muslim no: 945) Status Hadis Sahih
Pengajaran:
1. Menghadiri solat jenazah dan mengiringinya hingga selesai pengebumian merupakan amalan yang sangat besar ganjarannya di sisi Allah SWT.
2. Ganjaran satu qirat yang dijanjikan kepada orang yang solatkan jenazah seumpama sebuah gunung yang besar, menggambarkan keluasan rahmat dan pahala yang dikurniakan Allah SWT.
3. Ganjaran dua qirat pula diberikan kepada orang yang solat untuk jenazah dan mengiringi sehingga selesai pengebumian menggambarkan keluasan rahmat Allah kepada mereka yang menunjukkan penghormatan, kesabaran dan kesetiaan kepada hak saudaranya sesama Muslim.
4. Menghadiri pengebumian dengan mendirikan solat jenazah dan mengiringi ke kubur merupakan sebahagian daripada penunaian hak seorang Muslim ke atas Muslim yang lain. Ia mencerminkan kasih sayang, ukhuwah serta sokongan moral kepada keluarga si mati.
5. Mengingati kematian melalui penyertaan dalam urusan pengurusan jenazah dapat melembutkan hati dan mendorong seseorang meningkatkan amal soleh.
6. Sikap Abdullah bin Umar RA menunjukkan bahawa seorang mukmin hendaklah sentiasa berusaha menambah amal apabila mengetahui kelebihan sesuatu amalan.
#TeguhkanUkhuwahSebarkanRahmah
No comments:
Post a Comment