Monday, July 27, 2026

Solat Jenazah Oleh Seratus Orang

Isnin, 12 Safar 1448H   |   Solat Jenazah Oleh Seratus Orang
 
عَنْ عَائِشَةَ، عَنِ النَّبِيِّ صلى الله عليه وسلم قَالَ ‏: مَا مِنْ مَيِّتٍ يُصَلِّي عَلَيْهِ أُمَّةٌ مِنَ الْمُسْلِمِينَ يَبْلُغُونَ مِائَةً كُلُّهُمْ يَشْفَعُونَ لَهُ إِلاَّ شُفِّعُوا فِيهِ
 
Daripada Aisyah binti Abu Bakar RA, bahawa Rasulullah SAW bersabda: "Tidaklah seorang Muslim yang meninggal dunia, kemudian disolatkan oleh seratus orang daripada kalangan orang Islam, yang semuanya memohon syafaat (berdoa) untuknya, melainkan syafaat mereka diterima bagi pihaknya." (HR Muslim No: 947) Status Hadis Sahih
 
Pengajaran:
 
1.    Solat jenazah merupakan ibadah yang mengandungi doa,  permohonan keampunan dan rahmat kepada Allah SWT bagi pihak si mati.
 
2.    Menurut Ibn Hajar al-Asqalani, bilangan seratus menunjukkan ramainya orang yang mendoakan si mati. Semakin ramai orang beriman yang ikhlas mendoakan keampunan buat si mati, semakin besar harapan agar doa tersebut diterima oleh Allah SWT.
 
3.    Solat jenazah memperlihatkan kekuatan ukhuwah Islamiah dan hubungan kasih sayang yang berterusan sesama Muslim dalam menunaikan hak dan tanggungjawab sehingga selepas kematian seseorang.
 
4.    Seorang Muslim hendaklah menjaga dan membina hubungan baik dengan masyarakat ketika hidup agar memperoleh doa rahmat dan keampunan daripada Muslim yang lain apabila meninggal dunia.
 
5.    Hadis ini menegaskan bahawa solat jenazah bukan sekadar satu kewajipan fardu kifayah, bahkan merupakan medan syafaat dan doa bagi si mati. Rasulullah SAW menjelaskan bahawa apabila sekumpulan orang Islam yang beriman dan ikhlas menunaikan solat jenazah serta memohon keampunan untuknya, Allah SWT menerima syafaat mereka dengan rahmat-Nya.
 

No comments: