Rabu, 7 Safar 1448H | Membaca Tiga Qul Sebelum Tidur
عَنْ عَائِشَةَ رضي الله عنها: أَنَّ النَّبِيَّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ كَانَ إِذَا أَوَى إِلَى فِرَاشِهِ كُلَّ لَيْلَةٍ: جَمَعَ كَفَّيْهِ، ثُمَّ نَفَثَ فِيهِمَا، فَقَرَأَ فِيهِمَا: قُلْ هُوَ اللَّهُ أَحَدٌ، وَ قُلْ أَعُوذُ بِرَبِّ الْفَلَقِ، وَ قُلْ أَعُوذُ بِرَبِّ النَّاسِ، ثُمَّ يَمْسَحُ بِهِمَا مَا اسْتَطَاعَ مِنْ جَسَدِهِ، يَبْدَأُ بِهِمَا عَلَى رَأْسِهِ وَوَجْهِهِ وَمَا أَقْبَلَ مِنْ جَسَدِهِ، يَفْعَلُ ذَلِكَ ثَلَاثَ مَرَّاتٍ
Daripada Aisyah binti Abu Bakar RA, beliau berkata: Setiap kali Rasulullah SAW hendak tidur pada waktu malam, Baginda merapatkan kedua-dua tapak tangannya, Baginda membaca Surah al-Ikhlas, Surah al-Falaq dan Surah al-Nas, kemudian meniup perlahan ke dalam kedua-dua tapak tangannya. Setelah itu Baginda menyapu dengan kedua-dua tangannya itu bahagian tubuh yang mampu dicapai, dimulakan dengan kepala, kemudian muka dan bahagian tubuh yang dapat dicapai oleh tangannya. Baginda melakukan amalan tersebut sebanyak tiga kali. (HR Bukhari No: 5017) Status: Hadis Sahih
Pengajaran:
1. Rasulullah SAW setiap malam sebelum tidur akan menghimpunkan kedua telapak tangannya, lalu membaca tiga surah iaitu Surah Al-Ikhlas (Qul huwal-lahu ahad), Surah Al-Falaq (Qul a'udhu bi rabbil-falaq), dan Surah An-Nas (Qul a'udhu bi rabbil-nas) kemudian meniup ketelapak tangan diikuti dengan menyapu ke seluruh anggota bermula dari kepala, muka dan anggota yang boleh dicapai dengan diulang sebanyak tiga kali.
2. Imam al-Nawawi dalam al-Adzkar menjelaskan bahawa tiga surah ini adalah surah-surah perlindungan Surah Al-Ikhlas menegaskan tentang keesaan Allah, sementara Surah Al-Falaq dan Surah An-Nas memohon perlindungan dari pelbagai kejahatan, baik yang kelihatan mahupun tidak, seperti gangguan syaitan, sihir, dan segala keburukan sepanjang malam tersebut.
3. Menurut Ibn Kathir kandungan al-Muawwizat:
a) Surah al-Ikhlas mengukuhkan tauhid dan mengenalkan sifat-sifat Allah.
b) Surah al-Falaq memohon perlindungan daripada kejahatan luar seperti sihir, hasad dengki dan keburukan makhluk.
c) Surah al-Nas memohon perlindungan daripada bisikan syaitan dan godaan yang merosakkan hati.
4. Rasulullah SAW menunjukkan kepada kita amalan kebiasaan baik untuk dilakukan sebelum tidur agar menjadi pelindung daripada gangguan dan keburukan ketika tidur. Perlindungan sebenar datang daripada Allah SWT, manakala bacaan al-Quran dan doa menjadi sebab yang disyariatkan untuk memperoleh perlindungan tersebut.
5. Membaca Surah Al-Ikhlas, Surah Al-Falaq, dan Surah An-Nas sebelum tidur dengan meniup ke tapak tangan dan menyapu ke seluruh anggota badan adalah sunnah yang mudah dilakukan dan memberi manfaat besar untuk menjaga keselamatan kita. Dengan mengikuti sunnah ini, kita dapat memperoleh keamanan, ketenangan, dan perlindungan dalam hidup kita, serta mengukuhkan iman kita terhadap Allah yang Maha Melindungi.
No comments:
Post a Comment