Selasa, 28 Muharam 1448H | Surah Al-Kahfi Cahaya Antara Dua Jumaat
عَنْ أَبِي سَعِيدٍ الْخُدْرِيِّ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ، عَنِ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ: مَنْ قَرَأَ سُورَةَ الْكَهْفِ فِي يَوْمِ الْجُمُعَةِ، أَضَاءَ لَهُ مِنَ النُّورِ مَا بَيْنَ الْجُمُعَتَيْنِ
Daripada Abu Sa'id al-Khudri RA, bahawa Nabi Muhammad SAW bersabda: "Sesiapa yang membaca Surah al-Kahfi pada hari Jumaat, akan dipancarkan baginya cahaya yang menerangi antara dua Jumaat." (HR Al-Hakim No: 3392) Status Hadis Sahih
Pengajaran
1. Membaca Surah al-Kahfi pada hari Jumaat merupakan amalan sunnah yang sangat dianjurkan.
2. Allah menjanjikan cahaya petunjuk dan keberkatan kepada orang yang mengamalkannya secara istiqamah.
3. Cahaya yang dimaksudkan merangkumi hidayah, ketenangan jiwa, keberkatan hidup, kekuatan menghadapi fitnah, petunjuk dalam kehidupan dan cahaya yang akan memimpin pada Hari Kiamat.
4. Menurut Ibn Hajar, “Cahaya antara dua Jumaat” bermaksud Allah mengurniakan cahaya dan keberkatan kepada pembaca Surah al-Kahfi sepanjang tempoh dari hari Jumaat tersebut sehingga hari Jumaat berikutnya.
5. Surah al-Kahfi mendidik umat Islam supaya teguh menghadapi pelbagai bentuk fitnah kehidupan antaranya fitnah agama (kisah Ashabul Kahfi), fitnah harta (kisah pemilik dua kebun), fitnah ilmu (kisah Nabi Musa dan Khidir) dan fitnah kuasa (kisah Zulkarnain).
6. Bacaan al-Quran seperti bacaan Surah al-Kahfi hendaklah disertai dengan tadabbur dan penghayatan agar benar-benar membentuk akhlak dan keimanan.
7. Hari Jumaat ialah peluang terbaik untuk memperbaharui hubungan dengan Allah melalui al-Quran, doa, zikir dan ibadah.
8. Amalan membaca, mentadabbur dan menghayati Surah al-Kahfi setiap hari Jumaat merupakan salah satu bentuk tarbiah mingguan yang memperkukuh hubungan seorang Muslim dengan al-Quran dan mempersiapkannya menghadapi cabaran dunia serta akhirat.
No comments:
Post a Comment