Tuesday, July 28, 2026

Syafaat Melalui Solat Jenazah 40 Orang

Selasa, 13 Safar 1448H   |   Syafaat Melalui Solat Jenazah 40 Orang
 
عَنْ عَبْدِ اللَّهِ بْنِ عَبَّاسٍ رضي الله عنهما: أَنَّهُ مَاتَ ابْنٌ لَهُ بِقُدَيْدٍ أَوْ بِعُسْفَانَ، فَقَالَ: يَا كُرَيْبُ، انْظُرْ مَا اجْتَمَعَ لَهُ مِنَ النَّاسِ. قَالَ: فَخَرَجْتُ، فَإِذَا نَاسٌ قَدِ اجْتَمَعُوا لَهُ، فَأَخْبَرْتُهُ. فَقَالَ: تَقُولُ هُمْ أَرْبَعُونَ؟ قُلْتُ: نَعَمْ. قَالَ: أَخْرِجُوهُ، فَإِنِّي سَمِعْتُ رَسُولَ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم يَقُولُ: مَا مِنْ رَجُلٍ مُسْلِمٍ يَمُوتُ، فَيَقُومُ عَلَى جَنَازَتِهِ أَرْبَعُونَ رَجُلًا، لَا يُشْرِكُونَ بِاللَّهِ شَيْئًا، إِلَّا شَفَّعَهُمُ اللَّهُ فِيهِ.
 
Daripada Abdullah bin Abbas RA: Seorang anak beliau meninggal dunia di Qudaid atau Usfan. Lalu beliau berkata kepada Kuraib: "Wahai Kuraib, lihatlah berapa ramai orang yang telah berkumpul untuk solat jenazahnya." Kuraib berkata: Aku keluar dan mendapati orang ramai telah berkumpul. Lalu aku memberitahu beliau. Beliau bertanya: "Adakah mereka berjumlah empat puluh orang?" Aku menjawab: "Ya." Lalu beliau berkata: "Bawalah jenazah itu keluar, kerana sesungguhnya aku mendengar Rasulullah SAW bersabda: 'Tidaklah seorang Muslim meninggal dunia, lalu empat puluh orang lelaki yang tidak mensyirikkan Allah dengan sesuatu apa pun berdiri menunaikan solat jenazahnya, melainkan Allah menerima syafaat mereka untuknya.'" (HR Muslim No: 1577) Status: Sahih
 
Pengajaran:
 
1.    Solat jenazah dan doa orang beriman memiliki nilai yang besar kepada jenazah yang disembahyangkan kerana ia boleh menjadi syafaat. Menurut Imam al-Nawawi, maksud syafaat dalam hadis ini ialah Allah menerima doa dan permohonan keampunan yang dipanjatkan oleh mereka yang menunaikan solat jenazah.
 
2.    Menurut Ibn Hajar, bilangan empat puluh bukan bertujuan mengehadkan rahmat Allah kepada bilangan tertentu. Sebaliknya, ia menunjukkan bahawa apabila sejumlah orang beriman yang ikhlas berkumpul dan mendoakan si mati, doa tersebut mempunyai kedudukan yang sangat tinggi di sisi Allah.
 
3.    Ibnu Batthal dalam Syarah al-Bukhari menjelaskan, yang menyebabkan si mati mendapatkan syafaat adalah kerana salah seorang dari empat puluh orang yang solat ke atas jenazah itu, ketika mendoakan jenazah tersebut, doanya dimakbulkan Allah. Semakin ramai yang mendoakan kebaikan bagi jenazah tersebut maka semakin besar kemungkinan akan mendapatkan syafaat.
 
4.    Hadis ini menunjukkan bahawa doa dari orang yang Ikhlas, beriman dan tidak syirik, mampu menjadi sebab keampunan kepada jenazah. Maka, bergaullah dengan orang soleh semasa hidup, kerana mereka boleh memberi manfaat kepada kita walaupun selepas kita meninggal.
 
5.    Orang yang tidak mensyirikkan Allah memiliki kedudukan yang tinggi di sisi Allah, sehingga doa mereka untuk orang lain akan diterima Allah.
 
6.    Islam menjadikan pengurusan jenazah dan solat jenazah sebagai tanggungjawab fardhu kifayah. Umat Islam perlu saling membantu dan mendoakan orang Islam lain yang meninggal dunia antaranya solatkan jenazah mereka, bukan hanya ahli keluarga si mati.
 
7.    Hadis ini menegaskan bahawa solat jenazah merupakan ibadah yang sarat dengan rahmat dan syafaat. Rasulullah SAW menjelaskan bahawa apabila empat puluh orang Muslim yang tidak mensyirikkan Allah SWT menunaikan solat jenazah dan mendoakan si mati, Allah menerima doa mereka sebagai syafaat untuknya.
 

No comments: