Tuesday, July 21, 2026

Mu'awwizat Bacaan Pelindung

Selasa, 6 Safar 1448H   |   Al-Mu'awwizat Bacaan Pelindung
 
عَنْ عُقْبَةَ بْنِ عَامِرٍ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ قَالَ: بَيْنَمَا أَنَا أَقُودُ بِرَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ رَاحِلَتَهُ فِي غَزْوَةٍ إِذْ قَالَ: يَا عُقْبَةُ، قُلْ فَاسْتَمَعْتُ. ثُمَّ قَالَ: يَا عُقْبَةُ، قُلْ فَاسْتَمَعْتُ. ثُمَّ قَالَهَا الثَّالِثَةَ. فَقُلْتُ: مَا أَقُولُ؟ فَقَالَ: قُلْ هُوَ اللَّهُ أَحَدٌ فَقَرَأَهَا حَتَّى خَتَمَهَا. ثُمَّ قَرَأَ: قُلْ أَعُوذُ بِرَبِّ الْفَلَقِ حَتَّى خَتَمَهَا. ثُمَّ قَرَأَ: قُلْ أَعُوذُ بِرَبِّ النَّاسِ حَتَّى خَتَمَهَا. ثُمَّ قَالَ: مَا تَعَوَّذَ بِمِثْلِهِنَّ أَحَدٌ
 
Daripada Uqbah bin Amir RA, beliau berkata: Ketika aku sedang memimpin tunggangan Rasulullah SAW dalam satu peperangan, Baginda bersabda: "Wahai Uqbah, bacalah." Aku hanya diam mendengar. Kemudian Baginda bersabda lagi: "Wahai Uqbah, bacalah." Aku tetap diam. Kemudian Baginda mengulanginya buat kali ketiga. Lalu aku bertanya: "Apakah yang hendak aku baca?" Baginda bersabda: "Bacalah: Qul huwallahu ahad." Lalu Baginda membaca (Surah al-Ikhlas) hingga selesai. Kemudian Baginda membaca: "Qul a'uzu birabbil-falaq." Lalu aku membacanya bersama (Surah al-Falaq) Baginda sehingga selesai. Kemudian Baginda membaca: "Qul a'uzu birabbin-nas." Lalu aku membacanya bersama Baginda (Surah an-Nas) sehingga selesai. Kemudian Baginda bersabda: "Tiada sesiapa yang memohon perlindungan dengan sesuatu yang lebih baik daripada ketiga-tiga surah ini." (HR Nasaie No:5430) Status Hadis Sahih
 
Pengajaran:
 
1.    Surah al-Ikhlas, al-Falaq dan al-Nas merupakan bacaan perlindungan yang paling sempurna kerana ketiga-tiga surah ini menghimpunkan tentang tauhid yang murni, pergantungan sepenuhnya kepada Allah dan permohonan perlindungan daripada segala bentuk kejahatan zahir dan batin.
 
2.    Rasulullah SAW menggalakkan kita membaca ketiga-tiga surah ini secara istiqamah sebagai sebahagian daripada zikir harian khususnya di waktu pagi, petang dan sebelum tidur dengan meniup pada kedua-dua tapak tangan dan menyapu keseluruh badan.
 
3.    Perlindungan yang sebenar datang daripada Allah SWT, manakala bacaan al-Mu'awwizat (Surah al-Ikhlas, al-Falaq dan al-Nas) menjadi sebab yang disyariatkan untuk mendapat perlindungan tersebut.
 
4.    Menurut al-Mubarakfuri, tiada doa atau bacaan perlindungan yang lebih lengkap daripada tiga surah ini kerana ia merangkumi perlindungan semua bentuk keburukan yang boleh menimpa manusia.
 
5.    Tauhid yang mantap merupakan asas kepada keselamatan rohani dan perlindungan daripada pelbagai fitnah.
 
6.    Hadis ini menunjukkan kaedah pendidikan Rasulullah SAW yang menggunakan pengulangan dan dialog bagi menarik perhatian serta meningkatkan kefahaman para sahabat.
 
7.    Seorang Muslim hendaklah sentiasa memohon perlindungan daripada kejahatan zahir dan batin, termasuk gangguan syaitan, hasad dengki dan bisikan yang menyesatkan.
 

No comments: