Wednesday, August 18, 2010

Ramadhan Bulan Bersedekah

Rabu, 8 Ramadhan 1431H ; Ramadhan pengulu segala bulan yang penuh berkah dan kelebihan-kelebihan yang dijanjikan oleh Allah SWT diantaranya ialah bersedekah di bulan Ramadhan amat dituntut. Rasulullah s.a.w bersabda yang maksudnya:" Sedekah yang paling utama adalah sedekah pada bulan Ramadhan.” (HR at- Tirmidzi )

Daripada Ibnu Abbas r.a. katanya, "bahawa Rasulullah s.a.w. adalah seorang yang sangat pemurah kepada orang lain, lebih-lebih lagi pada bulan Ramadhan ketika baginda didatangi oleh jibril a.s. Jibril datang berjumpa baginda pada setiap malam lalu mengajar al-Quran kepada Baginda. Sesungguhnya Baginda bersifat pemurah dengan bersegera melakukan kebaikan umpama angin yang bertiup kencang.” (HR Bukhari dan Muslim)

Memberi makan kepada yang yang berpuasa juga merupakan sedekah. Daripada Zaid bin Khalid al-Juhhani r.a,. daripada Nabi SAW sabdanya, “Sesiapa yang memberi makan (berbuka) kepada orang yang berpuasa, ia akan mendapat pahala seperti orang yang berpuasa itu dan pahala orang yang berpuasa itu tidak berkurangan walau sedikitpun”. (HR At-Tirmidzi)

Pengajaran Hadis:

1) Setiap umat Islam seharusnya berlumba-lumba untuk melakukan kebajikan di bulan Ramadhan tanpa memikirkan sebarang kerugian seperti membanyakkan bersedekah kerana balasan di atas setiap satu kebajikan itu adalah amat besar di sisi Allah di hari akhirat kelak.

2) Bersedekah bukan hanya memberikan wang, tetapi termasuk di dalamnya mengajak berbuka puasa kepada fakir miskin dan orang-orang yang berpuasa.

3) Konsep "memberi" (bersedekah) harus diterapkan secara maksimum bukan sahaja selama Ramadhan bahkan di bulan-bulan lain juga kerana selalu bersedekah akan memberikan pengaruh yang baik pada peribadi dan masyarakat umumnya di mana seseorang itu akan dapat menghakis sifat kedekut dalam dirinya di samping mempereratkan lagi ikatan kemesraan di dalam anggota masyarakat tanpa mengira taraf dan kedudukan seseorang itu.

4) Sedekah yang diterima dan bernilai di sisi Allah adalah sedekah yang ikhlas, bukanlah untuk menunjuk-nunjuk.

5) Ramadhan adalah kesempatan yang amat berharga untuk melipatgandakan amal kebaikan kerana salah satu hakikat ibadah puasa ialah sifatnya yang peribadi atau personal dan merupakan rahsia antara seorang manusia dengan Tuhannya.

6) Segala kelebihan yang ada pada bulan Ramadhan bukanlah bermakna bahawa seseorang itu hanya perlu menumpukan ibadatnya pada bulan Ramadhan sahaja. Tetapi hendaklah dijadikan sebagai satu perangsang memulakan satu titik perubahan ke arah yang lebih baik. Sabda Rasulullah yang bermaksud : "Sekiranya umatku mengetahui kebaikan yang ada di dalam Ramadhan nescaya mereka akan menginginkan agar sepanjang tahun itu adalah Ramadhan."

7) Umat Islam yang berpuasa Ramadhan digalakkan melakukan amal soleh sebanyak mungkin seperti bersedekah, menolong orang yang susah, memberi atau menjamu makanan bagi orang yang berpuasa dan sebagainya kerana sedekah yang paling afdhal ialah bersedekah di bulan yang mulia iaitu di bulan Ramadhan.

8) Islam merupakan agama yang sangat menitikberatkan keharmonian dan kesejahteraan masyarakat. Oleh itu segala perkara yang dapat melahirkan persefahaman, kasih sayang dan hormat menghormati di antara satu sama lain tidak pernah diabaikan.

1 comment:

zainal said...

Konsep sedekah dalam Islam amat luas.

a.Material (duit,makanan) vs non material (nasihat, ilmu)

b.Sembunyi vs terang-terangan

c.Lisan (tutur kata yg baik) vs bukan lisan (senyuman, sentuhan, nukilan/tulisan)

d.Sukarela (derma,sumbangan) vs wajib (zakat)


Keluasan ini membolehkan kita bersedekah mengikut kemampuan masing-masing. Sedekah juga perlu diberi pada orang yg layak - keluarga terdekat, saudara-mara, jiran terdekat, sahabat, orang susah.

Sedekah akan dpt menyubur jiwa, membersih harta dan merapatkan silaturahim. Semuanya ini dilakukan utk mendapat keredhaan Allah. W'aklam.