Isnin, 28 Syaaban 1431H : Insyallah, umat Islam di Malaysia akan mula berpuasa pada hari Rabu atau Khamis ini. Mari kita menyingkap serba sedikit tentang bulan Ramadhan yang agong ini. Ramadan dalam Bahasa Arab: رمضان, transliterasi: Ramadān, terjemahan harfiah: "panas terik"dan biasa digelar "Ramadan Al-Mubarak, adalah merupakan bulan yang ke-9 dan bulan paling suci di dalam kalendar Islam. Seperti bulan Islam lain, bulan ini mempunyai 29 atau 30 hari. Pada bulan ini umat Islam ini diwajibkan berpuasa seperti yang termaktub dalam al-Qur'an yang bermaksud:
“Bulan Ramadan, yang di dalamnya diturunkan al-Qur'an sebagai petunjuk bagi manusia dan keterangan-keterangan yang menjelaskan petunjuk dan (menjelaskan) perbezaan (antara yang benar dan salah). Oleh itu, barangsiapa di antara kamu hadir di bulan itu, maka hendaklah dia berpuasa pada bulan itu...”(Surah Al Baqarah, Ayat 185).
Daripada Abi Hurairah r.a. berkata bahawasanya Rasulullah s.a.w. bersabda; “Berpuasalah kamu apabila melihat anak bulan (hilal) dan berbukalah kamu (berhari raya) kerana melihat hilal. Apabila hilal terlindung awan daripada pandangan kamu, maka sempurnakanlah bulan tersebut (tiga puluh hari).
Puasa ialah menahan diri daripada melakukan perkara-perkara yang membatalkan puasa mulai daripada terbit fajar hingga tenggelam matahari. Umat Islam adalah diwajibkan berpuasa pada bulan Ramadhan apabila sahaja ternampaknya hilal iaitu anak bulan, dan disertai pula pengisytiharan bermulanya puasa oleh pihak yang berkuasa. Islam juga telah memberi garis panduan kepada umatnya untuk menentukan tarikh puasa dan juga hari raya dengan mengikut rukyah atau pun hisab. Orang yang berpuasa mempunyai dua kegembiraan. iaitu ketika berbuka dan kegembiraan ketika menemui Allah di hari akhirat kelak.
Rasulullah s.a.w bersabda yang maksudnya:”Semua amalan anak Adam digandakan kebaikannya sepuluh kali ganda serupa dengannya hingga tujuh ratus kali ganda, Allah Azza Wajalla berkata:” Melainkan puasa, kerana ia untuk-Ku dan Aku sendiri yang membalasnya, mereka meninggalkan syahwat dan makanannya kerana-Ku.” Bagi orang yang berpuasa akan mendapat dua kegembiraan; kegembiraan semasa berbuka dan kegembiraan semasa menemui Tuhannya, dan bau busuk (dari mulut orang yang berpuasa) kerana berpuasa lebih wangi di sisi Allah daripada bau Musk.” (HR Bukhari & Muslim)
Puasa merupakan perkara ‘dharuriah’ dalam agama di mana sesiapa yang mengingkari wajibnya puasa maka ia menjadi kufur, manakala sesiapa yang meninggalkan puasa tanpa uzur syarie, hendaklah ia dihukum. Puasa memaksa kita meninggalkan nafsu syahwat walaupun pada perkara yang telah dihalalkan untuk melakukannya (sebelum Ramadhan). Dengan itu puasa sebenarnya dikatakan sebagai pendidik untuk kita menjadi lebih tegas, berdisiplin dan sabar dalam berhadapan dengan sebarang godaan sepanjang Ramadhan berlangsung.
Bulan Ramadhan dikenali juga sebagai bulan prestasi, di mana Allah memberikan kesempatan kepada orang-orang yang beriman untuk memperbaiki darjatnya di sisi Allah S.W.T bahkan di bulan ini semua aktiviti yang harus di sisi syarak dikira sebagai suatu ibadah kepada Allah S.W.T. Puasa yang dilakukan dengan ikhlas kerana Allah semata-mata akan bernilai sepuluh kebajikan (atau lebih). Oleh itu orang yang puasa di bulan Ramadhan dan diiringi dengan puasa enam hari di bulan Syawal dinilai sama dengan puasa sepanjang tahun. Hal demikian disebutkan dalam hadis Rasulullah s.a.w.
Ramadhan adalah bulan ibadah untuk mendekatkan diri kepada Allah seperti yang dilakukan oleh para salafus-soleh. Dengan itu kita hendaklah benar-benar berusaha agar tidak ada waktu berlalu tanpa amal soleh sepanjang Ramadhan ini kerana bulan Ramadhan adalah bulan permohonan, munajat, hidayah dan meraih petunjuk kebenaran daripada Allah S.W.T.
Bulan Ramadan merupakan masa untuk umat Islam berfikir dan merenung diri sendiri, bersolat, membuat kebajikan dan meluangkan masa dengan keluarga serta sahabat handai. Diharapkan dengan berpuasa dari fajar hingga senja umat Islam akan dapat mempertingkatkan disiplin diri dan menjadi pemurah, dengan mengingati kesusahan hidup sebahagian manusia yang miskin papa.
No comments:
Post a Comment