Isnin, 6 Ramadhan 1431H; Orang yang berpuasa disunatkan supaya jangan melengah-lengahkan waktu berbuka apabila sudah sampai waktunya kerana banyak keberkatan yang ada padanya sebagaimana Rasulullah s.a.w bersabda yang maksudnya:"Manusia tidak henti-hentinya mendapat kebaikan selama mereka mempercepatkan berbuka puasa.”( HR Bukhari dan Muslim)
Orang yang berpuasa juga disunatkan berbuka dengan buah kurma atau berbuka dengan air kosong terlebih dahulu. Ini berdasarkan hadis daripada Salman bin Amir Addabbi Assohaabi r.a. daripada Nabi s.a.w. bersabda: “Jika seseorang kamu berbuka, hendaklah ia berbuka dengan buah kurma. Sekiranya buah kurma tiada, bolehlah ia berbuka dengan air kosong. Sesungguhnya air itu bersih lagi suci”. (HR Abu Daud dan at-Tirmidzi).
Pengajaran Hadis:
- Menyegerakan berbuka adalah antara perkara yang disunatkan di dalam Islam kerana ia membezakan antara cara puasa oarang-orang Yahudi dan Nasrani yang sengaja melambat-lambatkan waktu berbuka.
- Sunat berbuka puasa dengan tamar (kurma) sebagaimana yang diamalkan oleh Rasulullah s.a.w. Ini adalah kerana tamar mengandungi karbohidrat yang tinggi di samping mengandungi asid amino. Di antaranya ialah triptofan yang didapati boleh menenangkan perasaan.
- Antara hikmah disunatkan berbuka dengan buah tamar juga adalah kerana kandungan gula di dalam kurma adalah lebih mudah diserap oleh badan berbanding dengan makanan manis yang lain di mana badan akan segera kembali segar setelah seharian berpuasa. Sebaliknya jika seseorang itu berbuka puasa dengan memulakan pengambilan makanan yang berat tanpa memulakan makanan yang manis, maka gula yang diambil kemudiannya memerlukan waktu yang lebih lama iaitu antara 3-4 jam sebelum dapat diserap oleh usus.
- Dari sudut perubatan puasa itu sendiri sebenarnya merupakan satu kaedah perubatan yang dapat mengubati gangguan usus selain boleh mengawal berat badan dan mengubati penyakit kencing manis, darah tinggi dan sakit jantung.
- Setiap Muslim hendaklah memastikan bahawa makanan yang dimakan sewaktu berbuka adalah yang halal dan bersih bukan makanan yang haram atau syubhat selain berwaspada dengan kuantiti makanan yang diambil itu sendiri iaitu janganlah terlalu banyak sehingga menyebabkan badan terasa berat untuk mengerjakan ibadat seperti solat terawih dan sebagainya
- Rutob ialah buah kurma yang telah masak sebelum menjadi tamar kering. Ianya lembut dan manis. Manakala tamar ialah buah kurma yang sudah kering.
- Orang yang berpuasa disunatkan berbuka dengan rutob atau kurma atau meminum air biasa jika ketiadaan kurma. Inilah tertib yang dilakukan oleh Rasulullah SAW.
- Hikmah disunatkan kita berbuka dengan tamar ialah kerana kurma dipercayai mengandungi glukosa yang mampu memberikan tenaga segera kepada badan. Ia juga dipercayai kaya dengan protein, serat, gula, vitamin A & C serta zat mineral seperti besi, kalsium, sodium dan potassium. Kandungan protein di dalam sebiji kurma adalah kira-kira 1.8 hingga 2.0%, serat 2.0 hingga 4.0% manakala kandungan gulanya adalah 50 hingga 57%.
- Sesiapa yang berpuasa dengan ikhlas kerana Allah, kemudian beramal mengikut sunnah Rasulullah SAW akan diberi ganjaran pahala di akhirat serta mendapat nikmat dan rahmat Allah SWT di dunia dan akhirat.
1 comment:
Puasa mendidik manusia utk sederhana dlm hidup. Kita masih lagi mampu terus hidup w.pun tak makan/minum di siang hari. Sungguhpun begitu, apabila berbuka makanlah dgn sederhana dan tidak berlebih-lebihan kerana Allah tidak mengasihi orang2 yg berlebih-lebihan. (rujuk mafhum surah Al-A'raf:31).
2.Prinsip "sederhana" ini kunci kepada tasawur hidup yg dituntut dlm Islam. Ianya harus menjadi kaedah/amalan/praktis dlm hidup seharian. Ramadahan adalah madrasah yg sesuai mendidik sifat ini.
Post a Comment