Monday, August 30, 2010

Lailatul Qadar

Isnin; 20 Ramadhan 1431H : Alhamdulillah kita sudah melepasi dua fasa bulan Ramadhan iaitu fasa permulaan dengan rahmat dan fasa pertengahan dengan keampunan. Kini masuklah fasa terakhir dalam bulan Ramadhan iaitu dijauhkan daripada api neraka jahaman. Sepuluh fasa terakhir ini merupakan fasa yang penting dimana pada sepuluh terakhir ini dikurniakan oleh Allah SWT dengan satu malam yang terlebih baik dari seribu bulan iaitu malam Lailatul Qadar. Hadith daripada Aisyah r.a. Sesungguhnya Rasulullah SAW telah bersabda: “ Berusahalah untuk mencari Lailatul Qadar pada malam yang ganjil dari sepuluh malam terakhir di bulan Ramadhan.” (HR al-Bukhari )

Lailatul Qadar juga diriwayatkan turun pada malam ganjil sepuluh terakhir Ramadhan. Hadith yang diriwayatkan dari Ibnu Umar r.a. ia berkata: “Dinampakkan dalam mimpi seorang lelaki bahawa Lailatul Qadar berlaku pada malam kedua puluh tujuh, maka Rasulullah s.a.w. bersabda: “Saya pun (Nabi) bermimpi seperti mimpimu, (dinampakkan pada sepuluh malam terakhir.) maka carilah ia (Lailatul qadar) pada malam-malam yang ganjil.” (HR Muslim)


Pengajaran Hadis :

1. Malam Lailatul qadar adalah satu malam yang paling istimewa yang ditunggu-tunggu oleh semua umat Islam. Ia merupakan satu malam yang penuh rahmat dan nikmat yang paling besar daripada Allah S.W.T.

2. Umat Islam hendaklah mengambil peluang ini dengan berusaha bersungguh-sungguh memperbanyakkan amal ibadat di malam yang kesepuluh akhir bulan Ramadhan iaitu dengan mengerjakan sembahyang terawih, membaca Quran, berzikir dan sebagainya kerana sesungguhnya Allah S.W.T. akan memberi keampunan bagi mereka yang menghidupkan malam tersebut

3. Lailatul Qadar adalah tanda kasihnya Allah kepada hambanya yang beriman dan beramal soleh yang beribadah semata-mata mengharapkan keredaan dan keampunan dari-Nya.

4. Berlakunya malam Lailatul Qadar itu hanya Allah sahaja yang mengetahuinya, bila masa dan kepada siapa yang dapat dari kalangan hamba-hambanya yang dikehendakinya.

5. Malam Lailatul Qadar adalah malam rahsia, yang turun padanya Malaikat Jibril dan malaikat-malaikat yang lain ke bumi dengan perintah Allah.

6. Setiap ibadat yang dilakukan bertepatan pada malam lailatul qadar dengan penuh ikhlas, insyaAllah amalannya akan diterima oleh Allah dan diampunkan semua dosanya yang telah lalu.

No comments: