Khamis, 2 Ramadhan 1431H : Rasulullah s.a.w bersabda yang maksudnya:"Puasa itu perisai dan benteng yang membentengi dari sentuhan api neraka.” ( HR Ahmad dan Baihaqi ).
Pengajaran Hadis:
Pengajaran Hadis:
i) Seorang Muslim yang sejati ialah orang yang menunggu-nunggu kedatangan bulan Ramadhan dengan penuh persediaan, rindu untuk mengerjakan ibadah puasa dan bercita-cita untuk memenuhi setiap detik Ramadhan dengan pengisian yang bukan sahaja perkara wajib malah berbagai-bagai perkara sunat yang lain.
ii) Oleh itu puasa sepatutnya menjadi pemadam dosa apabila segala ibadat yang dilakukan diterima oleh Allah S.W.T di mana orang-orang yang seperti inilah yang diharamkan jasadnya daripada api neraka.
iii) Di antara ibadat-ibadat yang sangat digalakkan dilakukan bagi meraih keampunan Allah S.W.T itu ialah melakukan :
a) Solat Sunat - solat tarawikh, solat witir, solat dhua, solat tahjud, solat taubat, solat hajat,dan solat-solat sunat yang lain.
b) Membaca al-Quran - memahaminya dan mengamalkan semua yang terkandung dalam AlQuran. Sebaik-baiknya khatam Al Quran dalam bulan Ramadhan. Bertadarus samada bersama jemaah masjid atau surau atau bersama keluarga.
c) Beriktikaf di dalam masjid khususnya 10 terakhir ramadhan.
d) Memperbanyakkan zikir pagi dan petang serta waktu malam.
e) Banyak berdoa.
f) Banyak beristighfar.
g) Membanyakkan sedekah.
h) Menjamu orang berbuka puasa.
i) Mengerjakan umrah (bagi yang mampu).
Namun amalan-amalan ini hendaklah dikerjakan dengan hati yang ikhlas kerana Allah bukan untuk menunjuk-nunjuk kerana di situlah letaknya keberkatan sesuatu amalan yang dilakukan.
iv) Puasa sebenarnya menggariskan undang-undangnya yang tersendiri dan jika dipraktikkan dengan penuh ketaatan terbukti ia akan mampu mendidik dan mengasuh jiwa yang rakus menjadi lembut seperti malaikat yang sentiasa melakukan ibadah dalam mencari keredaan Allah S.W.T.
Allah SWT berfirman : "Wahai orang yang beriman, diwajibkan berpuasa kepada kamu sebagaimana diwajibkan kepada orang-orang yang sebelum kamu. Mudah-mudahan kamu menjadi orang bertakwa"
No comments:
Post a Comment