Friday, August 13, 2010

Ramadhan - Bersahur

Jumaat; 3 Ramadhan 1431H : Bulan Ramadhan Allah SWT menganugerahkan rahmatNya yang tidak terhingga sehinggakan orang yang berpuasa akan mendapat kelebihan jika bangun bersahur. Rasulullah s.a.w bersabda yang maksudnya: “Bersahurlah kamu kerana sesungguhnya pada sahur itu ada keberkatan.” ( HR Bukhari & Muslim )

Kita juga disunat melambatkan waktu bersahur sebagaimana hadis daripada Zaid bin Sabit r.a. katanya: “Kami pernah bersahur bersama-sama Rasulullah s.a.w. Selepas itu kami berdiri untuk menunaikan solat subuh, kamipun bertanya kepada baginda: “Berapa jarak sebenar di antara kedua-dua itu? (di antara makan sahur dengan sembahyang subuh)”. Baginda pun menjawab: “sekira-kira cukup membaca lima puluh ayat”. (HR Bukhari & Muslim)

Pengajaran Hadis:

1.. Orang yang hendak makan sahur disunatkan melambatkan berbuat demikian sehingga hampir dengan waktu subuh.

2. Jarak yang paling afdhal untuk bersahur dengan masuknya waktu subuh ialah sekadar lama bacaan lima puluh ayat al-Quran.

3. Umat Islam digalakkan bersahur kerana perbezaan antara puasa orang-orang Islam dengan puasa ahli Kitab ialah dengan makan sahur.

4. Waktu bersahur ialah bermula pada pertengahan malam hingga terbit fajar namun disunatkan untuk mengakhirkan waktu bersahur iaitu kira-kira 10 atau 15 minit sebelum bilal melaungkan azan Subuh. Rasulullah s.a.w pernah bersabda bahawa waktu bersahur itu adalah bersamaan dengan bacaan 50 ayat suci Al-Quran.

5. Mengantuk dan letih tidak boleh dijadikan alasan untuk enggan bersahur kerana sahur dapat membantu menguatkan badan orang yang berpuasa untuk mengerjakan ibadat puasa pada sebelah siangnya, di samping sahur itu sendiri adalah satu amalan sunat yang berkat. Menurut Ibnu Hajar Al-Asqalani, yang dimaksud dengan berkat (barakah) itu ialah akan mendapat ganjaran dan pahala di mana Allah akan merahmati orang-orang yang makan sahur dan malaikat juga akan mendoakannya.

6. Pengambilan makanan sahur adalah titik yang membezakan antara puasa penganut agama lain dengan puasa kaum muslimin kerana penganut lain tidak bersahur sebelum berpuasa.

7. Waktu sahur adalah waktu yang paling mustajab untuk berdoa kepada Allah S.W.T.

8. Sahur itu boleh dilakukan dengan sedikit makan walaupun cuma seteguk air. Namun tidak digalakkan untuk mengambil terlalu sedikit atau terlalu banyak makanan pada waktu sahur. Memadai dalam anggaran yang secukupnya bagi membantu untuk mengerjakan puasa pada keesokan harinya kerana pengambilan makanan yang terlalu banyak atau terlalu sedikit pasti akan mengganggu kesihatan.

No comments: