Friday, August 20, 2010

Puasa Lidah

Jumaat, 10 Ramadhan 1431H : Ibadat berpuasa bermula daripada niat di malam hari dan menahan makan minum dan perkara-perkara yang membatalkan puasa disiang hari. Antara perkara yang perlu dijaga ketika berpuasa ialah puasa lidah. Ini didalilkan dari hadis daripada Abu Hurairah r.a. katanya, Rasulullah s.a.w. bersabda, “Apabila seseorang kamu berpuasa, janganlah ia bercakap perkara-perkara yang kotor dan sia-sia, dilarang juga bertengkar dan memaki hamun. Apabila ia dimaki hamun oleh seseorang atau pun diajak bermusuhan maka hendaklah ia berkata, “Sesungguhnya aku berpuasa hari ini” (HR al-Bukhari dan Muslim)

Lidah merupakan punca yang menyebabkan orang yang berpuasa tidak mendapat pahala puasa selain dari lapar dan dahaga. Setengah ulama mengatakan batal puasanya. Hadis daripada Abu Hurairah r.a. katanya bahawa Nabi s.a.w. bersabda: “Sesiapa yang tidak meninggalkan percakapan bohong dan berkelakuan buruk sedangkan ia berpuasa, baginya tidak ada kelebihan (pahala) di sisi Allah selain dari lapar dan dahaga sahaja yang didapatinya.” (HR al-Bukhari)


Pengajaran Hadis :
1. Kelebihan orang yang berpuasa bukan sahaja terletak kepada menahan makan dan minum sahaja dan perkara perkara yang membatalkan puasa, tetapi menjaga setiap anggota dari melakukan perkara yang mengosongkan pahala puasa. Bahkan inilah yang sangat dikehendaki oleh Islam seperti menjaga lidah dari mengeluarkan perkataan-perkata yang kotor atau sebagainya.

2. Orang yang berpuasa hendaklah banyak bersabar dalam menerima dugaan dan ujian daripada Allah S.W.T. Sekiranya mereka dimaki hamun dan diajak berkelahi oleh seseorang maka hendaklah ia berkata “aku berpuasa”.

3. Untuk mengelak dari melakukan perkara yang akan merosakkan pahala puasa, maka kita digalakkan agar banyak beristighfar kepada Allah, berzikir, membaca Al-Quran dan berselawat kepada Nabi dan sebagainya.

4. Orang yang berpuasa sedangkan mereka tidak memelihara lidah (percakapan yang tidak baik) dan juga masih melakukan maksiat, tidak akan diberi pahala puasa oleh Allah selain mendapat lapar dan dahaga sahaja.

5. Puasa yang paling bernilai di sisi Allah S.W.T. ialah puasa orang yang dapat menahan lapar dan dahaga serta menjaga pancaindera mereka daripada melakukan maksiat dan dosa di samping menambahkan amal ibadat sepanjang mereka berpuasa.

6. Maka amatlah malang dan ruginya bagi orang yang berpuasa, tetapi masih mengeluarkan perkataan-perkataan yang kotor memaki hamun dan sebagainya, sebagaimana biasa, sedangkan ia berpuasa, maka ia tidak mendapat apa-apa kelebihan atau pahala di sisi Allah S.W.T bahkan mendapat dosa pula.

1 comment:

zainal said...

Menahan makan, minum mudah tetapi menahan lidah amat sukar. Alangkah baiknya lidah dibasahi dgn zikr pd Allah. Sebaik-baik zikir ialah Lailahaillah kerana lidah masih menyebutnya walaupun di saat menhadapi sakratul maut. W'aklam