Wednesday, December 24, 2025

Amalan Sedikit Tapi Berterusan

Rabu, 3 Rejab 1447H  |    Amalan Sedikit Tapi Berterusan

عَنْ عَائِشَةَ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهَا، قَالَتْ: قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ: أَحَبُّ الْأَعْمَالِ إِلَى اللَّهِ تَعَالَى أَدْوَمُهَا وَإِنْ قَلَّ

Daripada Aisyah RA dia berkata, Rasulullah SAW bersabda: “Amalan yang paling dicintai oleh Allah Ta’ala adalah amalan yang berterusan  walaupun jumlahnya sedikit.” (HR Bukhari No: 6465) Status: Hadis Sahih

Pengajaran:

1. Amalan yang paling dicintai Allah terhadap hambanya adalah yang dilakukan secara berterusan atau istiqamah walaupun jumlahnya sedikit dari sudut kuantiti.

2. Ibn Hajar al-‘Asqalani pula menjelaskan bahawa amalan yang berterusan menunjukkan:
a. kesungguhan hati,
b. kestabilan iman,
c. keikhlasan niat kerana ia dilakukan tanpa dorongan sementara seperti emosi atau semangat bermusim.

3. Amalan kecil tidak boleh dipandang remeh contohnya Zikir ringkas, solat sunat dua rakaat, sedekah sedikit, atau membaca al-Quran beberapa ayat setiap hari. Semuanya bernilai besar jika dilakukan berterusan.

4. ’Alqomah pernah bertanya pada Ummul Mukminin ’Aisyah, ”Wahai Ummul Mukminin, bagaimanakah Rasulullah SAW beramal? Apakah baginda mengkhususkan hari-hari tertentu untuk beramal?” ’Aisyah menjawab,

لاَ. كَانَ عَمَلُهُ دِيمَةً وَأَيُّكُمْ يَسْتَطِيعُ مَا كَانَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَسْتَطِيعُ

Maksudnya: ”Tidak. Amalan baginda adalah amalan yang berterusan (rutin). Siapa saja di antara kalian pasti mampu melakukan yang baginda lakukan.” (HR Muslim No: 783) Status Hadis Sahih

5. Imam Nawawi mengatakan, ”Ketahuilah bahawa amalan yang sedikit namun berterusan dilakukan, itu lebih baik dari amalan yang banyak namun cuma sesekali saja dilakukan. Amalan sedikit yang rutin dilakukan akan memudahkan amalan ketaatan, zikir, pendekatan diri pada Allah, niat dan keikhlasan dalam beramal, juga akan membuat amalan tersebut diterima Allah. Amalan sedikit yang rutin dilakukan akan memberikan ganjaran yang besar dan berlipat dibandingkan dengan amalan yang banyak namun sesekali saja dilakukan.”(Syarh An Nawawi ‘ala Muslim, 3/133)

6. Amalan yang sedikit tetapi berterusan akan mencegah masuknya virus ”futur” (penat atau jemu untuk beramal). Rasulullah SAW bersabda:

وَلِكُلِّ عَمِلٍ شِرَّةٌ  وَلِكُلِّ شِرَّةٍ فَتْرَةٌ  فَمَنْ يَكُنْ فَتْرَتُهُ إِلَى السُّنَّةِ  فَقَدِ اهْتَدَى  وَمَنْ يَكُ إِلَى غَيْرِ ذَلِكَ  فَقَدْ ضَلَّ

Maksudnya: ”Setiap amal itu pasti ada masa semangatnya. Dan setiap masa semangat itu pasti ada masa futur (malasnya). Barangsiapa yang kemalasannya masih dalam sunnah (petunjuk) Nabi SAW, maka dia berada dalam petunjuk. Namun barangsiapa yang keluar dari petunjuk tersebut, sungguh dia telah menyimpang.”(HR Thobroni 13/429 dalam Al Mu’jam Al Kabir) Status: Hadis Sahih

7. Islam menolak sikap melampau dalam ibadah. Amalan yang terlalu berat sering menyebabkan keletihan dan akhirnya ditinggalkan, sedangkan amalan sederhana lebih mudah dipelihara.


No comments: