Sunday, December 21, 2025

Jadilah Wanita Solehah

Ahad, 30 Jamadil Akhir 1447H  |  Jadilah Wanita Solehah

عَنْ عَبْدِ الرَّحْمَنِ بْنِ عَوْفٍ قَالَ قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ إِذَا صَلَّتْ الْمَرْأَةُ خَمْسَهَا وَصَامَتْ شَهْرَهَا وَحَفِظَتْ فَرْجَهَا وَأَطَاعَتْ زَوْجَهَا قِيلَ لَهَا ادْخُلِي الْجَنَّةَ مِنْ أَيِّ أَبْوَابِ الْجَنَّةِ شِئْتِ

Daripada Abdurrahman bin Auf berkata; Rasulullah SAW bersabda: "Apabila seorang wanita melaksanakan solat lima waktu, berpuasa di bulan Ramadhan, menjaga kemaluannya dan taat kepada suaminya, nescaya akan dikatakan kepadanya; 'Masuklah kamu ke dalam syurga dari pintu mana saja yang kamu inginkan'." (HR Ahmad No: 1573) Status: Hadis Hasan

Pengajaran:

1.  Wanita yang solehah di hari akhirat diberi kelebihan untuk memasuki syurga dari mana-mana pintu yang dikehendaki dengan syarat memenuhi empat kriteria berikut:

a)  Melaksanakan solat lima waktu dengan sempurna. Solat adalah tiang agama dan amalan pertama yang akan dihisab. Orang yang menjaga solatnya membuktikan hubungan yang kukuh dengan Allah.

b)  Berpuasa wajib di bulan Ramadhan. Puasa bukan hanya menahan diri daripada makan dan minum di siang hari malah melatih diri dengan sifat sabar dan menjauhi perbuatan buruk yang boleh mengurangkan pahala ibadat puasa.

c)  Menjaga kemaluan (menjauhi berzina). Orang yang menjaga maruah dan kehormatan diri termasuk menjauhi pergaulan bebas.

d)  Taat dan berbakti kepada suami. Ketaatan kepada suami adalah sebahagian daripada ketaatan kepada Allah, selama mana suami tidak memerintahkan perkara haram.

2.  Islam sangat menghargai peranan wanita dalam menjaga agama dan keluarga.

3.  Menjaga maruah dan kehormatan diri adalah tuntutan utama kepada Muslimah. Berusahalah menjadi wanita yang solehah.

4.  Hadis ini menjadi motivasi kepada wanita Muslimah bahawa jalan ke syurga bukanlah sukar, bahkan mudah dicapai jika mereka menunaikan ibadah wajib, menjaga maruah, dan berperanan baik dalam keluarga.


No comments: