Thursday, August 6, 2015

Perkerjaan Itu Adalah Amanah

Khamis, 21 Syawal 1436H: Dari Abu Dzar r.a., katanya dia pernah bertanya kepada Rasulullah saw., "Ya, Rasulullah! Apakah Anda tidak hendak mengangkat ku untuk memegang suatu jawatan pemerintahan?" 

Lalu beliau menepuk bahu ku dengan tangan beliau seraya berkata, "Hai, Abu Dzar! Engkau ini lemah. Sedangkan pekerjaan itu adalah amanah, yang pada hari kiamat kelak dipertanggung-jawabkan dengan risiko penuh kehinaan dan penyesalan, kecuali bagi orang yang memenuhi syarat dan dapat melaksanakan tugas yang dibebankan kepadanya dengan baik."

Hadis Sahih Muslim.

Wednesday, August 5, 2015

Hilangnya Amanah

Rabu, 20 Syawal 1436H: Dari Hudzaifah r.a., katanya: "Kami menerima dua buah hadis dari Rasulullah saw., yang satu telah ku lihat kenyataannya, sedangkan yang satu lagi masih ku tunggu-tunggu. 

Rasulullah saw. bersabda kepada kami, "Sesungguhnya amanah itu bertempat di hati sanubari seseorang. Kemudian Al Quran turun, lalu mereka belajar dari Al Quran dan Sunnah." 

Kemudian Rasulullah saw. bersabda pula tentang hilangnya amanah. Sabda beliau, "Seorang sedang tidur, lalu dicabut amanah dari hatinya, maka tinggallah bekasnya seperti noktah. Kemudian ia tidur lagi, lalu dicabut pula amanah dari hatinya maka kini tinggallah bekasnya seperti lepuh yang membengkak di tangan atau di kaki yang terkena bara panas, dan lepuh itu mengandung air sedikit. 

Ketika itu, amanah hampir saja hilang sehingga orang mencarinya ke mana-mana. Ketika dikatakan orang: Di sana ada amanah! Mereka sama berkata: alangkah sabarnya dia; atau alangkah baiknya dia; dan atau alangkah cerdiknya dia. Tetapi yang sebenarnya batin orang itu kosong dari iman." 

Kata Hudzaifah, "Dahulu, ketika amanah masih dipegang orang erat-erat, aku bisa berdagang dengan siapa pun. Jika dengan orang muslim, ia berlaku jujur kerana agamanya, dan jika dengan orang Nasrani atau dengan orang Yahudi, kejujuran itu pun terdapat pada majikannya. Tetapi sekarang, aku tak hendak berdagang lagi melainkan dengan orang-orang tertentu, seperti si Anu dan si Anu yang masih memegang amanah erat-erat."

Hadis Sahih Muslim

Tuesday, August 4, 2015

Beribadatlah Mengikut Kamampuan

Selasa, 19 Syawal 1436H: Dari 'Aisyah r.a., katanya: "Pada suatu ketika, Rasulullah saw. pulang ke rumahku, dan ketika itu di rumahku ada seorang tamu perempuan. Rasulullah saw. bertanya: "Siapa ini?" 

Jawab ku, "Inilah perempuan yang tidak pernah tidur, kerana dia solat sepanjang malam." 

Sabda Nabi saw., "Beribadatlah sesuai dengan kemampuanmu. Demi Allah! Dia tidak pernah bosan memberi pahala, sehingga kamu sendiri yang bosan mengerjakan amal ibadatmu. Dan amal yang paling disukai Allah, ialah yang dikerjakan secara tetap oleh pelakunya."

Hadis Sahih Muslim.

Monday, August 3, 2015

Melayani Tertamu

Isnin, 18 Syawal 1436H: Dari Abu Hurairah r.a. katanya: "Seorang lelaki datang kepada Rasulullah saw. lalu dia berkata, "Aku dalam kesulitan susah hidup dan lapar." 

Maka beliau bawa pulang itu ke rumah isteri beliau satu persatu menanyakan kalau-kalau mereka ada sedia makanan. Para isteri beliau menjawab. "Demi Allah yang mengutus Anda dengan yang hak, aku tidak sedia apa-apa selain air." Begitulah jawapan mereka masing-masing. 

Lalu bersabda beliau kepada para sahabat. "Siapa bersedia menerima tetamu malam ini nescaya di beri rahmat oleh Allah Ta'ala." Maka berdirilah seorang lelaki Ansar seraya berkata, "Aku, ya Rasulullah!" 

Maka dibawanya lah orang itu ke rumahnya. Dia bertanya kepada isterinya, "Adakah engkau sedia makanan?" 

Jawab isterinya, "Tidak ada, kecuali makanan anak-anak." 

Katanya, "Pujuklah mereka dengan apa saja. Bila tetamu kita dah masuk tunjukkan kepadanya bahawa kita makan bersamanya. Bila dia telah mulai makan, berdirilah ke dekat lampu lalu padamkan." 

Maka duduklah mereka dan sang tetamu pun makanlah. Setelah Subuh, sahabat tersebut bertemu dengan Nabi saw. lalu kata beliau, "Allah kagum dengan cara kamu berdua melayani tetamu kalian malam tadi."

Hadis Sahih Muslim

Friday, July 31, 2015

Berwuduklah Dengan Sempurna

Jumaat, 15 Syawal 1436H: Dari Humran, maula 'Usman bin 'Affan r.a. katanya: "Pada suatu hari 'Usman bin 'Affan berwuduk dengan sempurna. Kemudian dia berkata, 

"Aku melihat Rasulullah saw. berwuduk, maka disempurnakannya wuduknya itu sebagus-bagusnya, kemudian beliau bersabda: "Siapa yang berwuduk seperti itu, kemudian dia pergi ke masjid tanpa ada yang mendorongnya selain solat, nescaya diampuni Allah dosanya yang telah lalu"

Hadis Sahih Muslim

Thursday, July 30, 2015

Namun Jiwa Tetap Muda....

Khamis, 14 Syawal 1436H: Dari Anas r.a., katanya Rasulullah saw. bersabda:

"Setiap manusia pasti akan menjadi tua. Namun jiwanya tetap muda mengenai dua perkara. Iaitu: Tamak akan harta benda dan selalu ingin panjang umur."

Hadis Sahih Muslim

Wednesday, July 29, 2015

Umur Panjang.....

Rabu, 13 Syawal 1436H: Dari Anas r.a. katanya Rasulullah saw. bersabda: 

"Sekali-kali janganlah kamu meminta-minta mati kerana suatu musibah yang menimpa. Jika kamu hendak meminta juga, maka mendoalah sebagai berikut : 

"Allahumma ahyini mall kaanatil hayatu khairan Ii, wa tawaffani idza kaanatil wafaatu khairan li." (Wahai Allah! Panjangkanlah umurku jika umur panjang itu yang lebih baik bagi ku, dan matikanlah aku jika mati itu yang lebih baik bagiku).

Hadis Sahih Muslim

Tuesday, July 28, 2015

Hubungkan Silaturrahim

Selasa, 12 Syawal 1436H: Dari Anas bin Malik r.a., katanya dia mendengar Rasulullah saw. bersabda: 

"Siapa yang ingin rezekinya dilapangkan Allah, atau ingin usianya dipanjangkan, maka hendaklah dia menghubungkan silaturrahim."

Hadis Sahih Muslim.

Monday, July 27, 2015

Teruskan Berpuasa...

Isnin, 11 Syawal 1436H: Dari Abu Hurairah r.a., katanya Rasulullah saw. bersabda: 

"Siapa yang makan minum kerana lupa sedangkan dia puasa, maka hendaklah diteruskannya puasanya, kerana sesungguhnya Allah yang telah memberinya makan dan minum."

Hadis Sahih Muslim 

Friday, July 24, 2015

Siapa Yang Beriman...

Jumaat, 8 Syawal 1436H: Dari Abu Hurairah r.a., katanya Rasulullah saw. bersabda:

"Siapa yang iman dengan Allah dan hari kiamat, maka janganlah dia menyakiti tetangganya. 

Dan siapa yang iman dengan Allah dan hari kiamat, hendaklah dia memuliakan tetamunya. 

Dan siapa yang iman dengan Allah dan hari kiamat, maka hendaklah dia berkata yang baik atau diam."

Hadis Sahih Muslim.

Thursday, July 23, 2015

Antara Peristiwa Bulan Syawal

Khamis, 7 Syawal 1436H: Dari 'Aisyah r.a., katanya: "Rasulullah saw. mengahwini ku pada bulan Syawal; dan serumah tangga dengan ku pada bulan Syawal. Maka isteri Rasulullah saw. mana yang lebih dicintainya daripada ku?"

Hadis Sahih Muslim 

Tuesday, July 14, 2015

Wanita Penghuni Teramai Di Neraka

Selasa, 27 Ramadhan 1436H: Abu Said al Khudri bercerita, katanya: "Pada hari raya Idul Adha atau hari raya Idul Fitri, Rasulullah saw. keluar rumah pergi ke tempat solat. Beliau lalu ke tempat kaum wanita solat dan di situ beliau bersabda: 

"Hai, kaum wanita! Bersedekahlah kamu sekalian. kerana saya melihat, kaum wanitalah yang terbanyak di antara penduduk neraka. 

Mereka bertanya, "Sebab apa, ya, Rasulullah?" 

Jawab Rasulullah saw., "kerana kamu sekalian banyak mencerca orang dan engkar kepada suami. Saya tidak melihat di antara orang-orang yang kurang akal dan agamanya, yang lebih merosakkan hati laki-laki yang cermat, selain daripada kamu sekalian." 

Tanya mereka,"Kurang bagaimanakah akal dan agama kami,ya,Rasulullah?"

Jawab Nabi,"Bukankah kesaksian kaum wanita seperdua kesaksian kaum lelaki?" 

Kata mereka,"Betul!" 

Jawab Nabi."Itulah salah satu bukti bahawa akalnya kurang. Bukankah apabila wanita itu haid, dia tidak solat dan tidak pula puasa?" 

Jawab mereka,"Betul!" 

Sabda Nabi saw. "Itulah salah satu bukti bahawa agama mereka kurang."

Hadis Sahih Bukhari 

Monday, July 13, 2015

Lailatul Qadar Malam ke-27

Isnin, 26 Ramadhan 1436H: Washil bin 'Abdul A'la Al-Kufi menceritakan kepada kami, Abu Bakr bin 'Ayyasy memberitahukan kepada kami (yang berasal) dari 'Ashim bin Zarr di mana ia berkata: 

"Saya berkata kepada Ubayy bin Ka'b: "Wahai Abu Mundzir, sesungguhnya saya mengetahui bahawa Lailatul Qadar itu adalah pada malam 27." 

Ia berkata: "Benar, Rasulullah s.a.w. memberitahukan kepada kami bahawa Lailatul Qadar itu adalah suatu malam yang keesokan harinya matahari terbit tanpa ada sinarnya. Kemudian kami menyebut-nyebut dan menghafalnya. Demi Allah, Ibnu Mas'ud telah mengerti bahawasanya Lailatul Qadar itu pada bulan Ramadan dan bahawasanya ia pada malam 27, namun ia enggan untuk memberitahukan kepada kamu sekalian kerana khuatir kamu akan tergantung (pada malam itu sahaja)." 

Abu 'Isa berkata: "Hadis ini adalah hadis hasan sahih."

Hadis Sunan At-Termizi .

Friday, July 10, 2015

Doa Malam Lailatul Qadar

Jumaat, 23 Ramadhan 1436H: Qutaibah bin Said, Ja'far bin Sulaiman memberitahukan kepada kami dari Kahmas bin Al Hasan dari Abdillah. bin Buraidah dari Aisyah berkata: 

"Aku berkata: "wahai Rasulullah beritahukanlah kepada ku kalau aku mengerti bahawa suatu malam adalah malam lailatul Qadar apa yang aku baca pada malam itu?" 

Beliau bersabda: "Bacalah: (Wahai. Allah, ,sungguhnya Engkau Maha Pengampun, suka mengumpuni, maka ampunilah aku). 

Hadis ini adalah hasan sahih.

Hadis Sunan At-Termizi .

Thursday, July 9, 2015

Apabila Tiba 10 Akhir Ramadhan

Dari 'Aisyah r.a., katanya: "Nabi saw., biasanya apabila tiba sepuluh (yang akhir daripada bulan Ramadhan), beliau ikatkan sarungnya erat-erat, beliau berjaga-jaga malamnya dan beliau bangunkan keluarganya."( Hadis Sahih Bukhari)

Dari 'Aisyah r.a., katanya: "Apabila telah masuk sepuluh yang akhir bulan Ramadhan, Nabi saw. lebih giat beribadat malam-malamnya; beliau bangunkan keluarganya, beliau lebih tekun, dan beliau kencangkan ikat sarungnya (menjauhi isterinya untuk lebih banyak mendekati Allah swt.)" (Hadis Sahih Muslim).


Wednesday, July 8, 2015

Malam Ke 27 Ramadhan

Rabu, 21 Ramadhan 1436H: Dari 'Abdullah bin Mas'ad r.a., katanya: "Siapa yang melakukan solat malam sepanjang tahun nescaya dia bertemu dengan "Malam Qadar" 

Jawab Ubay, "Demi Allah! Malam itu sesungguhnya terdapat dalam bulan Ramadhan. Demi Allah! Aku tahu malam itu, di mana Rasulullah saw. menyuruh kami menegakkannya (beribadah pada malam itu), iaitu yang kedua puluh tujuh Ramadhan. Tanda-tandanya ialah, esok pagi matahari kelihatan putih tanpa sinar yang mencorot."

Hadis Sahih Muslim .

Tuesday, July 7, 2015

Malam Qadar

Selasa, 20 Ramadhan 1436H: Diceritakan oleh Ubadah bin Shamit r.a., katanya: "Pada suatu ketika, Rasulullah saw. keluar hendak mengkhabarkan tentang terjadinya Malam qadar. (Kebetulan) beliau bertemu dengan dua orang laki-laki muslim sedang berbantah. Maka Nabi bersabda, 

"Saya keluar hendak mengkhabarkan tentang terjadinya Malam qadar; kebetulan saya melihat dua orang sedang berbantah, maka aku jadi lupa. Mudah-mudahan kelupaan itu berguna untuk Anda sekalian. Carilah Malam qadar itu di malam kesembilan, ketujuh,  dan kelima."

Hadis Sahih Bukhari. 

Monday, July 6, 2015

I'tikaf Pada Malam 10 Akhir Ramadhan

Isnin, 19 Ramadhan 1436H: Dari Abu Sa'id Al Khudri r.a., katanya: "Rasulullah saw. i'tikaf pada sepuluh awal bulan Ramadhan, kemudian dilanjutkannya pada sepuluh pertengahan, dalam sebuah kubah kecil yang pintunya ditutup dengan tikar. Lalu beliau ambil tikar itu dan diletakkannya di sudut gobah. Kemudian diulurkannya kepalanya seraya berujar memanggil orang banyak. Maka mendekatlah mereka kepada beliau, lalu beliau bersabda: 

"Aku telah i'tikaf sejak sepuluh awal bulan untuk mendapatkan Malam qadar, kemudian sepuluh yang pertengahan. Kemudian dikatakan kepada ku bahawa malam qadar itu terdapat pada sepuluh yang akhir. Maka siapa yang suka i'tikaf, silakan!" Lalu orang banyak i'tikaf bersama-sama dengan beliau.

Sabda beliau pula, "Aku bermimpi melihat malam qadar di malam yang ganjil, di mana pagi-pagi aku sujud di tanah basah. Memang, pagi-pagi malam kedua puluh satu beliau solat Subuh sedangkan hari hujan sehingga masjid tergenang air. Aku melihat tanah dan air. Setelah selesai solat Subuh, Nabi saw. keluar sedangkan di kening dan di hidungnya ada tanah basah. Malam itu ialah malam kedua puluh satu dari sepuluh yang akhir bulan Ramadhan."

Hadis Sahih Muslim.

Friday, July 3, 2015

Zakat Fitrah

Jumaat, 16 Ramadhan 1436H: Dari Ibnu 'Umar r.a., katanya : 

"Rasulullah saw. mewajibkan zakat fitrah di bulan Ramadhan atas setiap orang muslim, biarpun dia merdeka atau hamba, lelaki atau perempuan, iaitu segantang kurma atau gandum."

Hadis Sahih Muslim .

Thursday, July 2, 2015

Jangan Mencela

Khamis, 15 Ramadhan 1436H: Dari Ibnu 'Abbas r.a., katanya: 

"Janganlah engkau mencela orang yang puasa dan orang yang tidak puasa dalam perjalanan. Kerana Rasulullah saw. pernah puasa dan tidak puasa dalam perjalanan."

Hadis Sahih Muslim

Wednesday, July 1, 2015

Paling Permurah Di Bulan Ramadhan

Rabu, 14 Ramadhan 1436H: Dari Ibnu 'Abbas r.a., katanya : "Rasulullah saw. adalah orang yang paling pemurah berbuat kebajikan, terutama di bulan Ramadhan. 

Kerana setiap tahun Jibril tetap menemui beliau tiap-tiap malam, hingga habis Ramadhan Rasulullah saw. memperdengarkan bacaan Quran kepadanya (dan Jibril menyemak). 

Di hari-hari Jibril mendatanginya, beliau tambah giat berbuat kebajikan melebihi angin lalu."

Hadis Sahih Muslim & Bukhari

Tuesday, June 30, 2015

Solat Rasulullah Di Bulan Ramadhan

Selasa, 13 Ramadhan 1436H: Dari Abu Salamah bin Abdurrahman r.a., ia bertanya kepada 'Aisyah r.a. tentang bagaimana caranya Nabi saw. solat pada bulan Ramadhan. 

Jawab 'Aisyah, "Rasulullah tidak pernah menambah solatnya di bulan Ramadhan dan tidak pula di bulan lainnya, atas sebelas rakaat. 

Mula-mula beliau solat empat rakaat, tetapi janganlah ditanya tentang kebagusan panjangnya solat beliau itu. 

Kemudian beliau solat empat rakaat lagi, dan janganlah ditanya pula bagaimana bagus dan lamanya.

Kemudian beliau solat tiga rakaat. 

Kata 'Aisyah, aku bertanya kepada Rasulullah, "Ya, Rasulullah! Apakah Tuan tidur sebelum solat Witir?" 

Jawab Nabi saw., "Wahai, 'Aisyah! Hanya mata ku saja yang tidur, tetapi hatiku tidak."

Hadis Sahih Bukhari 

Monday, June 29, 2015

Dua Kegembiraan Orang Yang Berpuasa

Isnin, 12 Ramadhan 1436H : Dari Abu Hurairah r.a., katanya Rasulullah saw. bersabda: 

"Allah berfirman: "Setiap amal anak Adam adalah untuk anak Adam itu sendiri, melainkan puasa. Sesungguhnya puasa itu bagi-Ku, dan Aku membalasi puasanya itu. 

Puasa itu bagaikan perisai; maka apabila seseorang kamu berpuasa, maka janganlah berkata kotor dan jangan pula berkata kasar. Jika seseorang mencacinya atau menyerangnya, maka hendaklah ia mengatakan: 'Aku ini puasa.' 

Demi Allah, yang diri Muhammad berada dalam genggaman-Nya, sesungguhnya bau busuk mulut orang yang berpuasa lebih harum di sisi Allah daripada bau kasturi. 

Bagi orang yang puasa ada dua kegembiraan yang menggembirakannya: Apabila ia berbuka ia gembira, dan apabila ia menemui Tuhannya, ia gembira dengan puasanya. "

Hadis Sahih Bukhari .

Friday, June 26, 2015

Puasa Dalam Perjalanan

Jumaat, 9 Ramadhan 1436H: Dari Abu Darda' r.a., katanya: 

"Kami berpergian bersama-sama Rasulullah saw. dalam suatu perjalanan dalam bulan Ramadhan di bawah terik matahari yang sangat panas, sehingga masing-masing kami meletakkan tangannya di kepala kerana sangat panasnya. 

Ketika itu tidak seorang jua pun kami yang puasa, melainkan Rasulullah saw. dan 'Abdullah bin Rawahah."

Hadis Sahih Muslim.

Thursday, June 25, 2015

Puasa Kerana Iman & Ikhlas

Khamis, 8 Ramadhan 1436H: Dari Abu Hurairah r.a., katanya Rasulullah saw. bersabda: 

"Siapa yang puasa di bulan Ramadhan kerana iman dan ikhlas diampuni Allah dosanya yang telah lalu"

Hadis Sahih Bukhari 

Wednesday, June 24, 2015

Puasa Dalam Keadaan Junub

Rabu, 7 Ramadhan 1436H: Dari 'Aisyah r.a., isteri Nabi saw., katanya: 

"Sesungguhnya Rasulullah saw. pernah mendapati fajar (kesiangan) di bulan Ramadhan, padahal beliau dalam keadaan junub kerana jimak. Lalu beliau mandi dan terus puasa."

Hadis Sahih Muslim .

Tuesday, June 23, 2015

Solat Tarawih

Selasa, 6 Ramadhan 1436H: Dari 'Aisyah r.a., katanya: "Pada suatu malam di bulan Ramadhan, Rasulullah saw. solat di masjid, lalu diikuti oleh beberapa orang sahabat. 

Kemudian pada malam kedua beliau diikuti oleh lebih banyak orang, iaitu satu kabilah. 

Kemudian pada malam ketiga atau keempat mereka berkumpul lebih banyak lagi. Tetapi Nabi saw. tidak keluar mendapatkan mereka. 

Setelah Subuh, beliau bersabda "Sesungguhnya aku tahu apa yang kalian lakukan semalam. Tiada satu pun yang menghalangi ku untuk keluar kepada anda sekalian, melainkan hanya kerana aku takut kalau solat Tarawih itu menjadi wajib bagi mu."

Hadis Sahih Muslim .

Monday, June 22, 2015

Berbuka Puasa

Isnin, 5 Ramadhan 1436H: Dari 'Abdullah bin Abi Aufa r.a., katanya: 

"Kami berpergian bersama-sama Rasulullah saw. dalam suatu perjalanan di bulan Ramadhan. Ketika matahari telah terbenam beliau bersabda: "Hai, Fulan! Turunlah, dan siapkan makan kita!" 

Jawab orang itu, "Hari masih siang, ya Rasulullah!" 

Sabda Rasulullah, "Turunlah dan siapkan makan kita!" 

Kata 'Abdullah, "Orang itu pun segera turun, lalu dia menyiapkan makanan dan menyajikannya kepada Rasulullah saw., dan beliau langsung minum. Kemudian beliau bersabda sambil menunjuk dengan tangannya: 

"Apabila matahari telah terbenam di sana, dan malam telah datang di sini, maka orang puasa sudah boleh berbuka."

Hadis Sahih Muslim.

Friday, June 19, 2015

Puasa Ramadhan Ketika Berperang

Jumaat, 2 Ramadhan 1436H: Dari Abu Sa'id Al Khudri r.a., katanya: 

"Kami pernah pergi berperang bersama-sama Rasulullah saw. dalam bulan Ramadhan. Sebagian kami ada yang puasa dan sebahagian lagi tidak puasa. Orang yang puasa tidak keberatan terhadap orang yang tidak puasa, dan sebaliknya orang yang tidak puasa tidak keberatan terhadap yang puasa. Mereka berpendapat, siapa yang kuat puasa sebaiknyalah dia puasa, dan siapa yang tidak kuat sebaiknyalah dia berbuka."

Hadis Sahih Muslim .

Thursday, June 18, 2015

Kewajiban Membayar Zakat Fitrah

Khamis, 1 Ramadhan 1436H: Dari Nafi', dari Ibnu Umar r.a., katanya: "Rasulullah saw. mewajibkan zakat fitrah (atau beliau mengatakan: zakat ramadhan) kepada laki-laki dan perempuan merdeka dan hamba sahaya, segantang kurma atau segantang gandum. Kemudian orang banyak menyamakan segantang gandum itu dengan setengah gantang bur (gandum yang baik). 

Ibnu Umar pernah memberikan kurma untuk membayar zakat fitrahnya. Pada suatu ketika orang-orang Madinah sulit untuk memperoleh kurma, lantas dibayarnya dengan gandum. 

Ibnu Umar membayar zakat fitrah untuk anak-anak dan orang dewasa. Sehingga jika ada, anak-anak saya pun dibayarkannya. Biasanya Ibnu Umar membayarkannya langsung kepada orang yang berhak menerimanya. Dan biasanya pula, orang banyak membayarkannya satu atau dua hari sebelum Aidilfitri."

Hadis Sahih Bukhari .

Wednesday, June 17, 2015

Jangan Berpuasa Mendahului Ramadhan

Rabu, 30 Syaaban 1436H: Dari Abu Hurairah r.a., dari Nabi saw., sabdanya: "Janganlah kamu dahului puasa Ramadhan dengan puasa satu atau dua hari sebelumnya, melainkan bagi orang yang memang biasa puasa pada hari itu, maka dia boleh puasa pada hari itu."

Hadis Sahih Bukhari 

Tuesday, June 16, 2015

Apabila Tiba Ramadhan

Selasa, 29 Syaaban 1436H: Dari Abu Hurairah r.a., katanya Rasulullah saw. bersabda : "Bila Ramadhan telah datang, maka dibukakan pintu rahmat, dikunci neraka jahannam, dan dirantai semua syaitan."

Hadis Sahih Muslim

Monday, June 15, 2015

Puasa Ramadhan - Melihat Anak Bulan & Hitungan Hari

Isnin, 28 Syaaban 1436H: Dari Ibnu 'Umar r.a., katanya Nabi saw. bersabda mengenai Ramadhan, sabdanya: "Janganlah kamu puasa sebelum melihat bulan (terbit) dan janganlah berbuka sebelum melihatnya (terbit kembali). Jika bulan itu tertutup dari pandanganmu, maka hitunglah (jumlah harinya tiga puluh hari)."( Hadis Sahih Muslim.) 

Dari Abdullah r.a., katanya Rasulullah saw. pernah berbicara perihal Ramadhan. Sabda beliau: "Janganlah kamu puasa sehingga kamu melihat bulan, dan janganlah kamu berbuka sehingga kamu melihatnya. Maka jika bulan itu tertutup di atasmu, kira-kirakanlah bilangannya (buatlah perhitungan hari baginya)." (Hadis Sahih Bukhari .)

Friday, June 12, 2015

Peristiwa Di Bulan Ramadhan

Jumaat, 25 Syaaban 1436H: Dari 'Aisyah r.a.ha, isteri Rasulullah saw., katanya: "Seorang lelaki datang kepada Rasulullah saw. ketika beliau sedang berada dalam masjid di bulan Ramadhan, lalu orang itu berkata: "Ya, Rasulullah! Celaka aku! Celaka aku!" 

Kerana itu Rasulullah saw. bertanya, apa sebabnya? 

Lalu jawabnya, "Aku telah menyetubuhi isteri ku siang hari bulan Ramadhan." 

Sabda Rasulullah saw.,"Bersedekahlah!" 

Jawab orang itu, "Ya Nabiyallah! Demi Allah! Aku tidak punya apa-apa. Kerana itu aku tidak sanggup melaksanakannya." 

Sabda Nabi saw. "Tunggulah di sini sebentar!" Sementara dia duduk menunggu, datang seorang lelaki mengiring seekor keldai membawa makanan. Maka bertanya Rasulullah saw., "Mana orang yang dapat celaka tadi?" 

Maka berdirilah orang itu, lalu Rasulullah saw. bersabda kepadanya, "Bersedekahlah anda dengan ini." 

Jawab orang itu, "Ya, Rasulullah! Tentu harus ku sedekahkan kepada orang yang lebih miskin daripada kami. Demi Allah, sesungguhnya kami lapar, sedangkan kami tidak punya apa-apa." 

Jawab Nabi saw., "Kalau begitu, boleh kamu makan."

Hadis Sahih Muslim

Thursday, June 11, 2015

Apabila DiWajibkan Puasa Ramadhan

Khamis, 24 Syaaban 1436H: Dari 'Aisyah r.a., katanya: Biasanya orang banyak puasa pada hari 'Asyura, sebelum diwajibkan puasa Ramadhan. Pada hari itu Kaabah diselubungi. Maka setelah Allah swt. mewajibkan puasa Ramadhan, Rasulullah bersabda, 

"Barangsiapa ingin puasa ' Asyura, silakan. Dan barangsiapa hendak meninggalkannya, silakan meninggalkannya. "

Hadis Sahih Bukhari

Friday, June 5, 2015

Apabila Ragu Dalam Solat

Jumaat, 18 Syaaban 1436H: Dari Abdullah r.a., katanya: "Pada suatu ketika Rasulullah saw. solat melebihi atau kurang dari jumlah rakaat yang semestinya. Setelah beliau memberi salam, ditanyakan orang kepadanya: "Ya, Rasulullah! Apakah ada perubahan dalam solat?" 

Tanya Nabi saw., "Mengapa begitu tanya anda?" 

Jawab mereka, "Anda solat begini, begini, begini." 

Lalu beliau menyimpuhkan kedua kakinya menghadap ke kiblat, kemudian sujud dua kali dan sesudah itu memberi salam. Kemudian beliau menghadapkan mukanya kepada kami seraya bersabda:  
"Jikalau ada suatu perubahan tentang cara solat, tentu ku beritahukan kepada anda semua. Aku adalah manusia pelupa seperti anda juga. Kerana itu, apabila aku lupa ingatkan lah aku. Dan apabila kamu ragu dalam solat tentang jumlah rakaatnya, ambillah yang pasti (iaitu jumlah yang sedikit), lalu cukupkanlah, kemudian sujudlah dua kali."

Hadis Sahih Muslim

Thursday, June 4, 2015

Bersikap Tenang Hendak Solat Berjemaah

Khamis, 17 Syaaban 1436H: Dari Abu Qatadah r.a., katanya: "Ketika kami sedang solat bersama Nabi saw., tiba-tiba beliau mendengar suara gaduh seorang laki-laki. Setelah selesai solat beliau bertanya, "Apa yang terjadi?" 

Jawab mereka, "Kami tergopoh-gopoh hendak solat." Sabda Nabi saw., "Jangan berbuat begitu! Apabila kamu hendak solat (berjemaah), bersikaplah tenang. Mana yang kamu dapati, solatlah bersama mereka, dan mana yang kamu tertinggal sempurnakanlah kemudian."

Hadis Sahih Bukhari

Wednesday, June 3, 2015

Abu Bakar Menjadi Imam Solat

Rabu, 16 Syaaban 1436H: Dari Aisyah r.a. ibu orang-orang beriman (isteri Nabi) bahawa Rasulullah saw. mengatakan, ketika beliau sedang sakit: "Suruhlah Abu Bakar solat menjadi Imam bagi orang banyak!" 

Aisyah menjawab: "Sesungguhnya Abu Bakar apabila dia berdiri di tempat engkau (menjadi Imam), nescaya tidak akan kedengaran suaranya oleh orang banyak kerana tangisnya. Sebab itu suruhlah Umar solat (menjadi Imam)." 

Beliau berkata sekali lagi: "Suruhlah Abu Bakar supaya solat menjadi Imam bagi orang banyak!"

'Aisyah mengatakan kepada Hafshah, supaya menyampaikan (kepada Nabi): "Bahawa Abu Bakar apabila berdiri di tempat engkau jadi Imam), nescaya tidak akan kedengaran suaranya oleh orang banyak, kerana tangisnya. Sebab itu suruhlah Umar, supaya solat menjadi Imam bagi orang banyak!" 

Lalu Hafshah melaksanakan anjuran Aisyah. Mendengar itu Rasulullah saw. berkata: "Sesungguhnya kamu serupa dengan perempuan-perempuan (yang menggoda) Yusuf! Suruh Abu Bakar, supaya dia solat menjadi Imam bagi orang banyak!" 

Hafshah berkata kepada 'Aisyah: "Saya tidak mendapat kebaikan kerana mengikuti anjuran engkau."

Hadis Sahih Bukhari.

Tuesday, June 2, 2015

Subuh Terakhir

Selasa, 15 Syaaban 1436H: Diberitakan oleh Anas bin Malik r.a., katanya: "Pada suatu waktu, ketika kaum Muslimin sedang solat Subuh, mereka terkejut kerana tiba-tiba Rasulullah membuka tabir bilik 'Aisyah (di mana beliau sedang terbaring sakit keras). Rasulullah senyum tertawa melihat mereka sedang solat dalam beberapa saf. 

Abu Bakar r.a. (yang menjadi imam ketika itu) mundur sampai ke saf di belakangnya, kerana mengira Rasulullah akan datang solat bersama-sama dengan mereka. Hampir saja kaum muslimin tergoda dalam solat mereka kerana peristiwa itu. 

Maka Nabi memberi isyarat kepada mereka supaya mereka meneruskan solat. Sesudah itu beliau menutupkan tabirnya kembali. Beliau wafat pada akhir hari itu juga."

Hadis Sahih Bukhari .

Monday, June 1, 2015

Solat Subuh dan Isyak

Isnin, 14 Syaaban 1436H: Berita dari Abu Hurairah ra. mengatakan, bahawa Rasulullah saw. bersabda: 

"Tidak ada solat yang lebih berat bagi orang munafik daripada solat Subuh dan Isyak. Dan kalaulah mereka tahu keutamaan kedua solat itu (dilaksanakan berjemaah), nescaya mereka akan datang (ke masjid), sekalipun dengan merangkak." 

"Sesungguhnya saya ingin menyuruh seseorang azan dan qamat, kemudian menyuruh yang lain menjadi imam solat berjemaah, kemudian aku sendiri pergi mengambil suluh (obor), lalu ku bakar orang-orang yang tidak datang solat (berjemaah)."

Hadis Sahih Bukhari .

Thursday, May 28, 2015

Waktu Solat Lima Waktu

Khamis, 10 Sya'aban 1436H: Kata Jabir r.a.: "Nabi saw. solat Zohor di tengah hari, solat 'Asar ketika matahari masih bersinar terang, Maghrib setelah matahari terbenam, dan solat 'Isya berubah-ubah kerana keadaan. 

Apabila beliau melihat jemaah telah berkumpul untuk solat Isyak, beliau lakukan segera, dan apabila beliau lihat mereka terlambat datang, maka beliau undur pula solat Isyak. 

Sedangkan solat Subuh mereka atau Nabi saw. melakukannya pada waktu gelap pagi."

Hadis Sahih Bukhari

Wednesday, May 27, 2015

Apabila Lupa Solat

Rabu, 9 Sya'aban 1436H: Dari Abu Hurairah r.a., katanya: "Ketika Rasulullah saw. kembali dari perang Khaibar, beliau berjalan tengah malam, sehingga beliau mengantuk, lalu beliau berhenti dan rehat untuk tidur. 

Beliau bersabda kepada Bilal, "Bangunkan kami bila waktu Subuh tiba." 

Sementara itu Bilal solat seberapa dapat dilakukannya, sedangkan Nabi saw. dan sahabat-sahabat yang lain tidur. Ketika fajar hampir terbit, Bilal bersandar ke kenderaannya menunggu fajar terbit. Tetapi dia sangat mengantuk dan tertidur ketika sedang bersandar itu, sehingga dia tidak dapat membangunkan Rasulullah saw. dan para sahabat yang lain, sampai sinar matahari mengenai mereka. Yang mula-mula terbangun ialah Rasulullah saw. 

Ketika beliau terbangun, beliau bertanya, "Mana Bilal?" 

Jawab Bilal, "Demi Allah! Aku tertidur, ya Rasulullah." 

 Sabda Rasulullah saw., "Bersiaplah semua!" 

Lalu mereka siapkan kenderaan mereka. Kemudian Rasulullah saw. mengambil wuduk dan menyuruh Bilal qamat. Setelah Bilal qamat, Nabi saw. mengimami mereka solat Subuh. 

Setelah selesai solat, beliau bersabda: "Siapa yang lupa solat, maka hendaklah dia solat apabila ingat. Sesunguhnya Allah berfirman: "Tegakkanlah solat untuk mengingat-Ku."

Hadis Sahih Muslim

Tuesday, May 26, 2015

Pahala Solat Duduk

Selasa, 8 Sya'ban 1436H: Dari 'Imran, katanya: "Aku bertanya kepada Nabi saw. perihal orang yang solat duduk." 

Jawab beliau, "Orang yang solat berdiri, itulah yang paling utama. Dan orang yang solat duduk, maka pahalanya seperdua pahala solat berdiri. Dan orang yang solat tidur, maka pahalanya seperdua pahala orang yang solat duduk."

Hadis Sahih Bukhari.

Monday, May 25, 2015

Imam Untuk Diikuti

Isnin, 7 Sya'aban 1436H: Dari Anas bin Malik r.a., katanya: "Pada suatu ketika, Nabi saw. jatuh dari kuda, menyebabkan rusuk kanan beliau luka. Kerana itu kami datang menjenguk beliau dan kebetulan ketika kami tiba di sana waktu solat pun tiba. Beliau solat mengimami kami sambil duduk, dan kami solat mengikut beliau sambil duduk pula. Setelah selesai solat beliau bersabda, 

"Sesungguhnya imam itu dijadikan untuk diikut. Kerana itu, apabila imam takbir, takbir pulalah kamu. Apabila imam sujud, sujud pulalah kamu. Apabila iman bangkit, bangkit pulalah kamu. Dan apabila imam membaca 'Sami'allahu liman hamidah', maka ucapkanlah 'Rabbana walakal hamdu'. Apabila imam itu solat sambil duduk, maka solat pulalah kamu sekalian sambil duduk."

Hadis Sahih Muslim

Friday, May 22, 2015

Mengingatkan Sesuatu Dalam Solat Hendaklah Bertasbih

Jumaat, 4 Sya'ban 1436H: Dari Sahal bin Sa'ad As Sa'idi r.a., katanya: "Rasulullah saw. pergi ke kampung Bani 'Umar bin 'Auf untuk mengadakan perdamaian sesama mereka. Kebetulan waktu solat tiba. Muadzin datang kepada Abu Bakar dan berkata, "Mahukah anda mengimami solat? Biarlah aku yang qamat." "Baiklah!" jawab Abu Bakar. 

 Ketika Abu Bakar sedang solat, tiba-tiba Rasulullah saw. datang dan terus maju hingga sampai ke shaf pertama). Orang-orang bertepuk, tetapi Abu Bakar tidak menoleh. Ketika tepukan tangan bertambah banyak barulah dia menoleh, dan terlihat kepada Rasulullah saw. Rasulullah saw. memberi isyarat kepada Abu Bakar supaya dia tetap di tempatnya. Tetapi Abu Bakar mengangkat tangannya dari memuji Allah 'Azza wa Jalla atas suruhan Rasulullah saw. itu. Kemudian dia mundur hingga sejajar dengan shaf, sedangkan Rasulullah saw. maju ke depan mengimami solat selanjutnya.

Setelah selesai solat beliau bertanya kepada Abu Bakar, "Hai, Abu Bakar! Apa sebabnya anda tidak mahu ku suruh tetap di tempatmu menjadi imam?" 

Jawab Abu Bakar, "Tidaklah patut bagi anak Abu Quhafah untuk solat mengimami Rasulullah saw." 

Kemudian beliau bertanya kepada jemaah, "Aku lihat anda semua ramai bertepuk tangan, mengapa? 

"Siapa yang hendak mengingatkan sesuatu dalam solat hendaklah dia tasbih (membaca 'subhanallah'), kerana apabila dia tasbih orang akan melihat kepadanya. Sedangkan bagi kaum wanita bertepuk tangan."

Hadis Sahih Muslim.

Thursday, May 21, 2015

Amal Yang Paling Disukai Allah

Khamis 3 Syaaban 1436H: Dari 'Aisyah r.a., katanya: "Rasulullah saw. tidak pernah puasa sunat tiap bulan dalam setahun, lebih banyak daripada puasanya di bulan Sya'aban. Beliau bersabda, 

"Beramallah kamu sesuai dengan kemampuanmu. Sesungguhnya Allah tidak pernah bosan (memberi pahala) sehingga kamu sendiri yang bosan beramal. Sedangkan amal yang paling disukai Allah ialah amal yang dilakukan secara tetap walaupun sedikit."

Hadis Sahih Muslim .

Wednesday, May 20, 2015

Jibril Mengimami Solat

Rabu, 2 Syaaban 1436H: Dari Abu Mas'ud r.a., katanya dia mendengar Rasulullah saw. bersabda: 

"Jibril turun mengimami ku solat. Kerana itu aku solat bersamanya, kemudian aku solat pula bersamanya, kemudian aku solat pula bersamanya, kemudian aku solat pula bersamanya, kemudian aku solat pula bersamanya. Beliau menghitung dengan anak jari beliau lima kali solat."

Hadis Sahih Muslim

Tuesday, May 19, 2015

Sebaik-Baik Solat Sunat

Selasa, 1 Syaaban 1436H: Dari Zaid bin Tsabit r.a., katanya: "Rasulullah saw. memasang khemah dari tikar pada sebuah tempat di masjid, sehingga merupakan sebuah kamar tempat beliau solat (malam). Melihat hal itu, beberapa orang sahabat mendatangi tempat itu dan mereka solat pula mengikuti Nabi saw. solat. 

Pada suatu malam mereka datang pula, tetapi Rasulullah saw. terlambat, sehingga beliau tidak keluar sama sekali menemui mereka. Oleh kerana itu mereka mengeraskan suara, dan melontar pintu dengan kerikil untuk memberitahu Nabi saw., kerana mereka menyangka kalau-kalau beliau lupa. 

Kerana itu Rasulullah saw. keluar (menemui mereka sambil berkata dengan marahnya: Janganlah sentiasa kamu berbuat demikian, kerana aku mengira bahawa (solat malam) itu akan diwajibkan kepada mu. Sebab itu solatlah di rumah mu masing-masing, kerana sebaik-baik solat ialah di rumah masing-masing kecuali solat wajib."

Hadis Sahih Muslim

Monday, May 18, 2015

Solat Jenazah Seorang Munafik

Isnin, 29 Rejab 1436H: Dari Ibnu 'Umar r.a. katanya : "Ketika 'Abdullah bin Ubay bin Salul wafat, anaknya Abdullah bin Abdullah (bin Ubay) datang kepada Rasulullah saw. meminta jubah beliau untuk kafan bapanya. Rasulullah memenuhi permintaan anaknya itu. 

Kemudian dimintanya pula supaya Rasulullah saw. menyolatkan jenazah bapanya. Ketika beliau berdiri hendak solat jenazah, maka ditarik baju beliau oleh 'Umar (bin Khaththab) seraya berkata, "Ya, Rasulullah! Akan Anda solatkankah dia? Bukankah Allah telah melarang Anda menyolatkannya." 

Jawab beliau, "Aku diberi pilihan oleh Allah Ta'ala menyolatkan atau tidak. Lalu dibacanya ayat, "Kamu mohonkan ampun bagi mereka atau tidak kamu mohonkan ampun bagi mereka (adalah sama saja); sekalipun bagi mereka tujuh puluh kali (Taubah, 9:80). Dan aku akan melebihi dari tujuh puluh kali." 

Kata 'Umar, "Dia munafik!" Tetapi Rasulullah saw. menyolatkannya juga. 

Kemudian Allah Ta'ala menurunkan ayat: "Dan sekali-kali janganlah kamu solatkan jenazah salah seorang mereka yang mati, dan jangan pula kamu berdiri di kuburnya.."(At Taubah, 9:84)

Hadis Sahih Muslim

Thursday, May 14, 2015

Solat Malam

Khamis, 25 Rejab 1436H: Dari 'Aisyah r.a., katanya: "Pada suatu ketika di tengah malam, Rasulullah saw. keluar pergi solat ke masjid. Beberapa orang laki-laki solat pula mengikuti solat Nabi saw. 

Ketika hari telah pagi, mereka mempercakapkan hal itu. Kerana itu orang berkumpul lebih banyak daripada malam pertama dan mereka solat bersama-sama dengan Nabi saw. 

Pagi hari, mereka bercakap-cakap pula perihal solat malam itu.Kerana itu pada malam ketiga orang berkumpul di masjid lebih banyak. Rasulullah saw. keluar untuk solat, lalu mereka solat pula beserta Nabi. 

Malam keempat orang tidak muat lagi dalam masjid hingga Nabi keluar untuk solat Subuh. 

Setelah beliau selesai solat Subuh, beliau menghadap kepada orang banyak, membaca kalimah syahadah, kemudian beliau bersabda: 

"Adapun kemudian, sesungguhnya tidak ada yang tersembunyi bagi ku keadaanmu. Tetapi aku khuatir akan diwajibkan atasmu dan kamu tidak sanggup melaksanakannya."

Ketika Rasulullah saw. wafat, keadaan tetap berlaku seperti itu."

Hadis Sahih Bukhari

Friday, May 8, 2015

Solat Sunat Sesudah Solat Qashar

Jumaat, 19 Rejab 1436H: Dari 'Isa bin Hafash bin 'Ashim bin 'Umar bin Khaththab r.a., dari bapanya, katanya: 

"Aku pernah berjalan bersama-sama Ibnu 'Umar dalam suatu perjalanan menuju Mekah. Dalam perjalanan itu dia mengimami kami solat Zohor dua rakaat. Setelah selesai solat dia pergi, dan kami mengikutinya sampai ke tempatnya dan duduk bersama-sama dengan dia. Sebentar kemudian dia menoleh ke tempat solat dan dilihatnya masih banyak orang yang solat. 

Lalu dia bertanya, "Apa yang diperbuat orang-orang itu?" 

Jawab ku, "Mereka solat sunat." 

Kata Ibnu 'Umar, "Kalaulah aku harus solat sunat pula (sesudah qashar), lebih baik ku cukupkan solat ku. Hai, anak saudaraku! Aku sering menyertai Rasulullah saw. dalam perjalanan. Beliau solat (dalam setiap perjalanan itu) tidak pernah lebih dari dua rakaat, hingga beliau meninggal. 

Aku juga sering menemani Abu Bakar dalam perjalanan. Beliau juga solat (dalam perjalanan itu) tidak pernah lebih dari dua rakaat, hingga dia meninggal. 

Aku juga sering menemani 'Umar dan 'Usman, mereka solat (dalam perjalanan itu) tidak lebih dari dua rakaat, hingga mereka meninggal. 

Kemudian beliau membaca firman Allah: "Laqad kana lakum fi Rasulutlahi uswatun hasanatun " (Al Ahzab: 21)

Hadis Sahih Muslim

Thursday, May 7, 2015

Solat Sunnat Rawatib

Khamis, 18 Rejab 1436H: Dari 'Abdullah bin Syaqiq r.a. katanya: "Aku bertanya kepada 'Aisyah r.a., tentang solat sunat rawatib yang pernah dikerjakan Rasulullah saw. 

Katanya, "Beliau solat di rumahku empat rakaat sebelum Zohor, kemudian beliau pergi ke masjid mengimami solat orang ramai. Sesudah itu beliau pulang, lalu solat pula di rumahku dua rakaat.

Kemudian beliau pergi mengimami solat , Maghrib orang ramai, sesudah itu beliau pulang, lalu solat di rumah dua rakaat. 

 Kemudian beliau pergi mengimami solat Isyak. Sesudah itu beliau pulang, lalu solat di rumah dua rakaat. 

 Dan biasanya beliau sentiasa solat tengah malam sembilan rakaat, termasuk di dalamnya sunat witir. 

Kadang-kadang beliau solat sepanjang malam dengan berdiri dan kadang-kadang duduk. 

Apabila beliau membaca sambil berdiri, maka dia rukuk dan sujud sambil berdiri pula. 

Apabila beliau membaca sambil duduk, maka dia rukuk dan sujud sambil duduk pula. 

Dan kalau fajar sudah terbit, beliau solat pula dua rakaat (sunat fajar)."

Hadis Sahih Muslim

Wednesday, May 6, 2015

Waktu-Waktu Solat

Rabu, 17 Rejab 1436H: Dari Sulaiman bin Buraidah r.a., dari bapanya, dari Nabi saw., bahawa seorang lelaki bertanya kepada beliau tentang waktu-waktu solat. Sabda Rasulullah saw., "Solatlah bersama-sama dengan kami dua hari ini." 

Maka ketika matahari telah gelincir, beliau menyuruh Bilal azan dan qamat untuk solat Zohor. 

Kemudian disuruhnya pula Bilal qamat untuk solat Asar, sedangkan matahari masih tinggi dan cahayanya masih terang. 

Kemudian disuruhnya pula Bilal qamat untuk solat Maghrib, iaitu ketika matahari telah terbenam. 

Kemudian disuruhnya pula Bilal qamat untuk solat Isyak, iaitu ketika mega merah telah hilang. 

Kemudian disuruhnya pula Bilal qamat untuk solat Subuh, iaitu ketika terbit fajar. 

 Pada hari kedua disuruhnya pula Bilal azan dan qamat untuk solat Zohor agak terlewat dari kelmarin, iaitu sehingga hawa panas telah agak reda. Setelah panas reda, barulah beliau solat. 

Kemudian beliau solat Asar ketika matahari masih tinggi, tetapi agak terlambat dari kelmarin. 

Dan beliau solat Maghrib sebelum hilang mega merah. Solat Isyak setelah lewat sepertiga malam. Solat Subuh setelah langit agak bercahaya. 

Kemudian beliau bertanya, "Kemanakah orang yang bertanya tentang waktu solat?" 

Seorang lelaki menjawab, "Aku, ya, Rasulullah!" 

 Sabda beliau, "Waktu waktu solat ialah seperti yang telah anda saksikan itu."

Hadis Sahih Muslim 

Tuesday, May 5, 2015

Solatlah Dengan Sempurna

Selasa, 16 Rejab 1436H: Dari Abu Hurairah r.a. katanya: "Pada suatu ketika, Rasulullah saw. masuk ke dalam masjid. Tidak lama kemudian, masuk pula seorang lelaki lalu dia solat. Sesudah solat dia datang kepada Rasulullah saw. sambil memberi salam. Rasulullah menjawab salamnya sambil bersabda : "Ulanglah solatmu, kerana sesungguhnya kamu belum solat." 

Lalu orang itu mengulang solatnya seperti solat yang mula-mula tadi. Kemudian dia datang pula kepada Nabi saw. sambil memberi salam. Jawab Rasulullah, "Wa, 'alaikassalam." Kemudian beliau bersabda pula, "Ulang lagi solatmu!" Sesungguhnya engkau belum solat." 

Akhirnya orang itu mengulang solatnya sampai tiga kali. Kemudian dia berkata, "Demi Allah yang telah mengutus anda dengan agama ini, sesungguhnya aku belum tahu bagaimana caranya solat yang bagus. Kerana itu ajarilah aku." 

Sabda Nabi saw., "Apabila engkau berdiri hendak solat, bacalah takbir lebih dahulu. Sesudah itu baca ayat-ayat Quran yang mudah bagi mu. Sesudah itu rukuk sehingga rukukmu itu sempurna sekali. Sesudah itu bangkit dari rukuk sehingga engkau kembali berdiri dengan sempurna. Kemudian sujud dengan sempurna sekali. Kemudian duduk sehingga dudukmu sempurna sekali. Perbuatlah seterusnya seperti itu setiap kamu solat."

Hadis Sahih Muslim

Wednesday, April 29, 2015

Dua Macam Penduduk Neraka

Rabu,10 Rejab 1436H: Dari Abu Hurairah r.a. katanya Rasulullah saw. bersabda: "Ada dua macam penduduk neraka yang keduanya belum kelihatan olehku. 

(1) Kaum yang memiliki cambuk seperti ekor sapi. yang dipergunakannya untuk memukul orang. 

(2) Wanita-Wanita berpakaian, tetapi sama juga dengan bertelanjang (kerana pakaiannya terlalu mini, terlalu nipis atau tembus pandang, terlalu ketat atau pakaian yang merangsang pria kerana sebahagian auratnya terbuka), dan wanita-wanita yang mudah dirayu atau suka merayu, rambut mereka (disasak) bagaikan punuk unta. 

Wanita-wanita tersebut tidak dapat masuk syurga, bahkan tidak dapat mencium bau syurga. Padahal bau syurga dapat tercium dari jarak yang sangat jauh."

Hadis Sahih Muslim

Tuesday, April 28, 2015

Nikmat Syurga Yang Tiada Taranya

Selasa, 9 Rejab 1436H: Dari Shuhaib r.a., dari Nabi saw, sabdanya: "Apabila penduduk syurga telah masuk ke dalam syurga, Allah Tabaraka wa Ta'ala berfirman kepada mereka: "Apakah kamu semua memerlukan sesuatu yang perlu Aku tambah untukmu?" 

Jawab mereka, "Bukankah muka kami telah putih gilang-gemilang? Bukankah kami telah Engkau masukkan ke syurga dan Engkau bebaskan dari neraka?" 

Kata Rasulullah saw. selanjutnya, "Lalu Allah membukakan tabir yang menutupNya. Sekonyong-konyong penduduk syurga merasakan nikmat yang tiada taranya, selain memandang Allah 'azza wa jalla."

Hadis Sahih Muslim

Thursday, April 23, 2015

Tiada Lagi Kematian

Khamis, 4 Rejab 1436H: Dari Ibnu Umar r.a. katanya: "Rasulullah saw. bersabda: 

"Setelah penghuni syurga masuk ke dalam syurga dan penghuni neraka masuk ke dalam neraka, kematian itu dibawa dan diletakkan antara syurga dan neraka, lalu disembelih. Kemudian itu ada orang yang meneriakkan : 

"Hai isi syurga! Tidak ada lagi kematian. 

Hai isi neraka! Tidak ada lagi kematian." 

Karena itu kegembiraan isi syurga bertambah dari kegembiraan yang telah ada. 

Sebaliknya isi neraka bertambah kesedihannya dari kesedihan yang telah ada."

Hadis Sahih Bukhari .

Wednesday, April 22, 2015

Penghuni Syurga Terakhir

Rabu, 3 Rejab 1436H: Dari Abdullah bin Mas'ud r.a., katanya Rasulullah saw. bersabda: "Aku tahu penduduk neraka yang terakhir keluar dari neraka, dan penduduk syurga yang terakhir masuk syurga. Yaitu orang yang keluar dari neraka sambil merangkak. 

Allah Ta'ala berfirman kepadanya, "Pergilah dan masuklah ke syurga!" Lalu dia pergi ke syurga. Tetapi terbayang kepadanya syurga telah penuh. Kerana itu dia kembali kepada Tuhan dan berkata, "Ya, Tuhan ku! Ku dapati syurga telah penuh." 

Firman Allah swt., "Pergilah dan masuklah ke syurga!" Dia pun pergi ke syurga. Sementara itu terbayang pula kepadanya syurga telah penuh. Kerana itu dia kembali pula kepada Tuhannya seraya berkata, "Ya, Tuhan ku. Ku dapati syurga telah penuh." 

Allah berfirman pula kepadanya, "Pergilah, dan masuklah ke syurga!" Kemudian dia pergi. Tetapi tetap terbayang olehnya syurga telah penuh. Maka dia kembali lagi seraya berkata, "Ya, Tuhan ku! Ku dapati syurga telah penuh." 

Allah berfirman kembali, "Pergilah, dan masuklah ke syurga. Untukmu tersedia tempat sepuluh kali luas dunia." 

Kata orang itu, "Apakah Engkau tidak mengolok-olokku? Engkau adalah Maha Raja." 

Kata Abdullah menambahkan, "Aku melihat Rasulullah saw. tertawa, sehingga kelihatan gigi beliau." 

Beliau bersabda, "Dikatakan kepada ku, itulah tempat penduduk syurga yang paling rendah,"

Hadis Sahih Muslim .

Tuesday, April 21, 2015

Perbanyakan Beramal

Selasa, 2 Rejab 1436H: Dari Abu Hurairah ra. katanya Rasulullah saw. bersabda: "Siapa yang menolong menghilangkan kesusahan orang mukmin, Allah Taala menghilangkan pula kesusahannya di hari kiamat kelak. 

Siapa yang membantu memudahkan orang yang dalam kesulitan, Allah memudahkannya pula di dunia dan akhirat. Allah sentiasa menolong hambanya selama hamba itu mahu menolong saudaranya. 

Siapa berusaha mencari ilmu, Allah memudahkan baginya jalan ke syurga. 

Bila suatu kaum berkumpul di salah satu rumah Allah (masjid)lalu mereka membaca Kitabullah dan mempelajarinya sesama mereka, diturunkan kepada mereka ketenangan dan diselubungi mereka dengan rahmat. Mereka dikerumuni oleh para malaikat dan Allah menyebut-nyebut dengan bangga kepada orang-orang yang di dekat-Nya. 

Sedangkan orang yang lalai beramal, ia tidak akan dapat mengejar ketinggalannya dengan gelar kebangsawanan nya."

Hadis Sahih Muslim

Monday, April 20, 2015

Doa Sebelum Dan Selepas Tidur

Isnin, 1 Rejab 1436H: Dari Al Bara' r.a. katanya: "Bahwasanya Nabi saw. apabila beliau hendak tidur beliau membaca doa: "Allahumma bismika ahyaa wa bismika amutu.(Dengan nama Mu aku hidup dan dengan nama Mu aku mati) 

Dan bila beliau bangun beliau membaca:"Alhamdulillahiilladzi ahyaana ba'da maa amaatana wa itaihinnusyuur" (Segala puji bagi Allah yang telah menghidupkan kami setelah mematikan dan kepadaNya tempat kembali)

Hadis Sahih Muslim .

Friday, April 17, 2015

Kelebihan Solat Berjemaah

Jumaat, 27 Jamadilakhir 1436H: Abu Hurairah r.a. memberitakan, bahawa Rasulullah saw. bersabda:

"Solat seseorang dengan berjemaah, pahalanya berlipat ganda daripada solatnya seorang diri di rumahnya atau di pasar, dua puluh lima kali ganda. Sebabnya ialah, kerana apabila seseorang berwuduk, kemudian disempurnakannya wuduknya itu, lalu dia pergi ke masjid dengan niat hanya untuk menunaikan solat, maka tidak satu langkah pun langkah yang dilangkahkannya, melainkan ditinggikan Allah darjatnya satu tingkat untuk setiap langkah, dan dihapuskan pula kesalahannya. 

Apabila dia telah solat, maka malaikat sentiasa mendoakannya selama dia masih berada di tempatnya solat, katanya: "Wahai, Allah! Limpahkan kepadanya kebaikan dan kasihilah dia!" 

Dan seseorang kamu sentiasa dianggap seperti dalam solat selama dia menunggu-nunggu waktu solat."

Hadis Sahih Bukhari .

Thursday, April 16, 2015

Wanita Kematian Tiga Orang Anak

Khamis, 26 Jamadilakhir 1436H: Dari Abu Hurairah r.a. katanya : 

"Seorang perempuan datang kepada Nabi saw. membawa anaknya yang masih kecil. Lalu dia berkata kepada beliau, "Ya, Nabiyallah! Doakanlah anakku ini (semoga dia panjang umur). Aku telah kematian anak tiga orang." 

Tanya Nabi saw., "Engkau telah kematian anak tiga orang?" 

Jawab perempuan itu, "Betul, ya, Nabiyallah!" 

 Sabda beliau, "Sesungguhnya engkau telah didinding dari neraka dengan dinding yang kuat."

Hadis Sahih Muslim

Wednesday, April 15, 2015

Doa Rasulullah SAW

Rabu, 25 Jamadilakhir 1436H: Dari Anas bin Malik ra. katanya Rasulullah saw. sering membaca doa sebagai berikut: 

Allahumma inni a'udzu bika minal 'ajzi, al kasali, wal jubuni, wal harami. wal bukhli; wa a 'udzu bika min 'azabil qabri. wa min fitnatil mahyaa wal mamaati 

( Wahai Allah! Aku berlindung dengan Engkau dari kelemahan, dari kemalasan, dari penakut, dari kepikulan dan dari kebakhilan; dan aku berlindung dengan Engkau dari seksa kubur dan dari bencana hidup dan mati )

Hadis Sahih Muslim.

Tuesday, April 14, 2015

Mendoa Semasa Tasyahhud Dalam Solat

Selasa, 24 Jamadilakahir 1436H: Dari Amir bin Abdullah bin Zubair r.a., dari bapanya, katanya:

"Apabila Rasulullah saw. duduk mendoa (tasyahhud dalam solat), diletakkannya tangan kanan atas paha kanan, tangan kiri atas paha kiri. Beliau menunjuk dengan telunjuk, meletakkan ibu jari di jari tengah, serta meletakkan tapak tangan kiri di atas lutut."

Hadis Sahih Muslim .

Monday, April 13, 2015

Mengambil Tanah Orang Lain Tanpa Hak

Isnin, 23 Jamadilakhir 1436H: Dari Sa'id bin Zaid bin 'Amr bin Nufail r.a., katanya dia didakwa oleh Arwa (seorang wanita) mengenai sebahagian tanah pekarangannya. 

Lalu kata Sa'id, "Biarlah diambilnya! Kerana aku pernah mendengar Rasulullah saw. bersabda: Siapa mengambil tanah orang lain tanpa hak walaupun sejengkal, di hari kiamat kelak, Allah mengalungkan kepadanya tujuh lapis bumi." 

Lalu Sa'id mendoa; "Wahai Allah! Jika wanita itu dusta; butakanlah matanya dan jadikanlah rumahnya menjadi kuburan baginya." 

Tidak berapa lama kemudian ku lihat dia berjalan meraba-raba dinding dalam keadaan buta sambil berkata, "Aku terkena kutukan Sa'id bin Zaid." Sedang ia berjalan dalam rumah menuju sumur, ia terjatuh ke dalam, sehingga sumur itu menjadi kuburnya."

Hadis Sahih Muslim

Friday, April 10, 2015

Doa Rasulullah Ketika Kesulitan

Jumaat, 20 Jamadilakhir 1436H: Dari Ibnu 'Abbas r.a., katanya: Nabi saw. berdoa ketika beliau berada dalam kesulitan: 

"Tiada Tuhan selain dari Allah Yang Maha Besar dan Maha Penyantun. Tiada Tuhan selain dari Allah, Tuhan langit dan bumi, Tuhan 'Arasy (singgahsana) yang Maha Besar."

Hadis Sahih Bukhari.

Thursday, April 9, 2015

Doa Dua Malaikat Setiap Pagi

Dari Abu Hurairah r.a., katanya Rasulullah saw. bersabda : 

 "Setiap pagi dua malaikat turun mendampingi seorang hamba. 

Yang satu mendoa: "Wahai, Allah! Berikanlah ganti bagi dermawan yang menyedekahkan hartanya." 

Dan yang satu lagi berkata: "Wahai Allah! Musnahkanlah harta si bakhil!"

Hadis Sahih Muslim


Wednesday, April 8, 2015

Inilah Kiblat

Rabu, 18 Jamadilakhir 1436H: Dari 'Atha' r.a., katanya: Saya mendengar Ibnu Abbas berkata, 

"Ketika Nabi saw. masuk Kaabah, beliau mendoa di setiap sudut, dan beliau tidak melakukan solat sehinga akhirnya beliau keluar dari dalam. Sampai di luar, beliau solat dua rakaat menghadap ke Kaabah, lalu beliau bersabda, "Inilah kiblat."

Hadis Sahih Bukhari

Monday, April 6, 2015

Bacaan Ketika Bangun Tengah Malam

Isnin, 16 Jamadilakhir 1436H: Diberitakan oleh 'Ubbadah bin Shamit, bahawa Nabi saw. bersabda: 

"Barangsiapa bangun tengah malam, lalu dia membaca: "Laa Illaaha illallaahu wahdahu laa syariikalah, Lahul mulku walahul hamdu wa hu wa 'alaa kulli syai-in qadiir. Alhamdu lillaah, wa subhaanallaah. walaa ilaaha illallaah, wallaahu akbar. Walaa hawla walaa quwwata illaa billaah, kemudian dilanjutkannya: Allaahummaghfirli. 

(Ertinya: Tidak ada Tuhan yang patut disembah melainkan hanya Allah satu-satuNya, tidak ada sekutu bagiNya. MilikNya sajalah kekuasaan, dan milikNya sajalah segala puji, dan Dia berkuasa atas segala-galanya. Segala puji hanya milik Allah, Maha Suci Allah, Tidak ada Tuhan melainkan hanya Allah; dan Allah Maha Besar. Dan tidak ada daya, tiada pula kekuatan melainkan hanya milik Allah, kemudian dilanjutkannya: "Wahai Allah! Ampunilah kiranya aku!") 

Jika dia mendoa, diperkenankan doanya. Jika dia mengambil wuduk, lalu dia solat, diterima Allah solatnya.

Hadis Sahih Bukhari

Friday, April 3, 2015

Berdoalah Bersungguh-Sungguh

Jumaat, 13 Jamadilakhir 1436H: Dari Abu Hurairah r.a. katanya Rasulullah saw. bersabda: 

"Apabila kamu mendoa, maka janganlah mendoa dengan menggunakan kalimat: Wahai Allah! Ampunilah aku jika Engkau mahu. Tetapi hendaklah kamu mempergunakan kalimat yang sungguh-sungguh meyakinkan permohonan, serta besar jawapan (bahawa Allah Ta'ala mendengar dan mengabulkan permohonanmu). Kerana sesunguhnya Allah Ta'ala tidak pernah memberatkan-Nya memberikan sesuatu."

Hadis Sahih Muslim

Thursday, April 2, 2015

Doa Rasulullah Membalasi Pemuka Quraisy

Khamis, 12 Jamadilakhir 1436H: Dari Abdullah r.a., katanya: Ketika Rasulullah s.a.w. sedang sujud dan sekelilingnya ada orang-orang Quraisy yang musyrik. Tiba-tiba datanglah kepada beliau 'Uqbah bin Abi Muaaith, membawa perut (tempat peranakan) unta, lalu dilemparkannya di atas punggung Nabi s.a.w. Beliau belum lagi mengangkat kepalanya, sehingga Fatimah datang, lalu diambilnya dari punggung beliau, dan Fatimah mendoakan kebinasaan orang yang melakukan yang demikian itu. 

Nabi s.a.w. berdoa: "Ya Tuhan! Terserah kepada Engkau membalasi pemuka Quraisy! Ya Tuhan! Terserah kepada Engkau memberi balasan kepada Abu Jahl bin Hisyam, 'Utbah bin Rabiah, Syaibah bin Rabiah, 'Uqbah bin Abu Muaith, dan Umaiyah bin Khalaf atau Ubaiy bin Khalaf!" 

Saya lihat semua mereka itu dibunuh dalam peperangan Badr, lalu dilemparkan ke dalam telaga, selain Umaiyah atau Ubaiya kerana ia seorang laki-laki yang besar (gemuk). Setelah mereka mengheretnya putus persendiannya sebelum dilemparkan ke dalam telaga"

Hadis Sahih Bukhari.

Wednesday, April 1, 2015

Doa Para Malaikat

Rabu, 11 Jamadilakhir 1436H: Berita dari Abu Hurairah r.a. mengatakan, bahawa Rasulullah saw. bersabda: 

"Para malaikat sentiasa mendoakan kamu selama kamu masih berada di tempatmu solat dan belum berhadas. 

Doanya, "Ya, Allah! Ampunilah kiranya dia dan limpahkan kasih sayang kepadanya!" 

Seseorang kamu sentiasa dianggap seperti dalam solat, selama dia masih menunggu dan tidak ada yang menghalanginya untuk pulang ke rumahnya melainkan hanya kerana (menunggu) solat."

Hadis Sahih Bukhari 

Tuesday, March 31, 2015

Doa Peperangan Ahzab

Selasa, 10 Jamadilakhir 1436H: Dari Abdullah bin Abu Aufa r.a., katanya: Pada hari peperangan Ahzab, Rasulullah s.a.w. mendoakan kebinasaan orang-orang musyrik. Doa beliau: 

"Ya Allah, Tuhan Yang menurunkan Kitab dan cepat membuat perhitungan! Ya Allah, Cerai-beraikanlah kiranya kumpulan musuh! Ya Allah, Cerai-beraikanlah mereka dengan goncangan (kacaukanlah)mereka!

Hadis Sahih Bukhari

Monday, March 30, 2015

Doa Melawat Orang Sakit Atau Meninggal

Isnin, 9 Jamadilakhir 1436H: Dari Ummu Salamah r.a., katanya Rasulullah saw. bersabda : 

"Apabila kamu menengok orang sakit atau orang meninggal, maka ucapkanlah ucapan (doa) yang baik, kerana malaikat mengaminkan ucapan kamu itu." 

Selanjutnya Ummu Salamah bercerita, "Ketika Abu Salamah meninggal, aku datang kepada Rasulullah saw. mengkhabarkannya. Kata ku: "Ya, Rasulullah! Abu Salamah telah meninggal." 

Jawab Rasulullah saw., "Mendoalah : "Allahummaghfirli walahu, wa a'qibni minhu 'uqba hasanatan." 

Apa yang diajarkan Rasulullah itu ku lakukan sebaik-baiknya. Tidak berapa lama kemudian, Allah menukarnya dengan orang yang paling baik bagi ku, iaitu Muhammad saw. sendiri."

Hadis Sahih Muslim

Friday, March 27, 2015

Doa Si Miskin

Jummat, 6 Jamadilakhir 1436H: Dari Abu Hurairah r.a. katanya Rasulullah saw. bersabda: 

"Berapa banyaknya orang-orang (miskin) yang kusut masai diusir dari muka pintu rumah orang (ketika mereka meminta-minta). Seandainya si miskin itu mendoa kepada Allah Ta'ala, nescaya Allah mengabulkan doanya."

Hadis Sahih Muslim

Thursday, March 26, 2015

As Salam

Khamis, 5 Jamadilakhir 1436H: Dari 'Abdullah u., katanya: "Kami pernah membaca ketika solat di belakang Nabi saw., 'Assalamu 'alallahi, assalamu 'ala fulanin' (Keselamatan bagi Allah dan keselamatan bagi si Fulan)." 

Maka pada suatu hari Rasulullah saw. bersabda kepada kami, "Allah itu sendiri bernama 'As Salam'. Kerana itu apabila kamu duduk (tasyahhud) dalam solat, maka bacalah : 'Attahiyyatu lillahi, wash shalawatu wath thayyibatu. Assalamu 'alaika ayyuhan nabiyyu wa iahmatullahi wa barakatuhu. Assalamu 'alaina wa 'ala 'ibadillahish shalihin. Ucapan ini meliputi bagi semua orang soleh, baik di langit maupun di bumi. 

'Asyhadu alla ilaaha illallah. Wa asyhadu anna Muhammadan 'abduhu wa Rasuluhu'. (Segala kehormatan hanya untuk Allah semata-mata, begitu pula segala doa dan ucapan-ucapan yang baik. Keselamatan untukmu, wahai Nabi, beserta rahmat Allah dan berkat daripadaNya. Keselamatan bagi kami dan bagi semua orang yang soleh. Aku mengaku tidak ada Tuhan selain Allah. Dan aku mengaku bahawa Muhammad itu hambaNya dan RasulNya.) 

Sesudah itu kamu boleh menyambungnya dengan doa yang kamu sukai."

Hadis Sahih Muslim

Wednesday, March 25, 2015

Doa Dari Rasulullah

Rabu, 4 Jamadilakhir 1436H: Dari Zaid bin Arqam r.a.katanya: "Aku tidak akan mengatakan kepada mu kecuali apa yang disabdakan oleh Rasulullah saw. Beliau sering berdoa: "Allahumma inni a'uzubika minal 'ajzi, wal kasali, wal jubni, wal bukhli, wal harami, wa 'adzabil qabri. Allahumma aati nafsi taqwaaha, wa zakkiha anta khairu man zakkaaha, anta waliyyuha wa maulaaha. Allahumma inni a'udzu bika miln 'ilmin laa yallfa', wa min qalbin laa yakhsya', wa min nafsin laa tasyba', wa mill da'watin laa yustajaabu laha. " 

( Wahai Allah! aku berlindung dengan Engkau dari kelemahan, kemalasan dan ketakutan, kepikunan dan dari seksa kubur. Wahai Allah! Isikanlah jiwa aku dengan sifat taqwa dan bersihkanlah dia, Engkaulah yang terbaik membersihkannya, kerana Engkaulah pelindung dan pemeliharanya. Wahai Allah! aku berlindung dengan Mu dari ilmu yang tidak bermanafaat, dari hati yang tidak khusyuk, dari nafsu yang tidak mahu puas dan dari doa yang tidak berjawab)

Hadis Sahih Muslim .

Tuesday, March 24, 2015

Mendoakan Sesama Muslim

Selasa, 3 Jamadilakhir 1436H : Dari Abu Darda' r.a. katanya Rasulullah saw. bersabda: 

"Tidak seorang muslim pun yang mendoakan kebaikan bagi saudaranya (sesama muslim) yang berjauhan. melainkan malaikat mendoakannya pula: "Mudah-mudahan engkau beroleh kebaikan pula."

Hadis Sahih Muslim.

Monday, March 23, 2015

DiLarang Membaca Quran Dalam Rukuk Dan Sujud

Isnin, 2 Jamadilakhir 1436H: Dari Ibnu 'Abbas r.a., katanya: 

"Rasulullah saw. membuka tirai (kamarnya ketika beliau sakit akan meninggal), padahal ketika itu jemaah sedang solat berjemaah diimami Abu Bakar. Lalu beliau bersabda: 

"Sesungguhnya tidak ada lagi wahyu kenabian yang ketinggalan yang harus ku sampaikan, kecuali mimpi baik seorang muslim. Ketahuilah! Aku dilarang membaca Quran dalam rukuk dan sujud. Agungkanlah Allah 'Azza wa Jalla di dalam rukuk, dan perbanyaklah doa di dalam sujud, pasti doamu diperkenankan Allah swt."

Hadis Sahih Muslim 

Wednesday, March 18, 2015

Doa Di Sepertiga Malam

Rabu, 27 Jamadilawal 1436H: Dari Abu Hurairah r.a. bahawa Rasulullah saw. bersabda: Tuhan kita yang Maha Berkat dan Maha Tinggi turun (rahmatNya) setiap malam ke langit yang dekat, di waktu sepertiga malam yang terakhir, lalu berfirman: 

"Siapakah yang mendoa kepadaKu, nanti akan Ku perkenankan doanya? Siapakah yang meminta kepada Ku, nanti akan Aku beri permintaannya? Siapakah yang meminta ampun kepada Ku, nanti akan Ku ampuni kesalahannya?"

Hadis Sahih Bukhari .

Tuesday, March 17, 2015

Doa Meminta Hujan

Selasa, 26 Jamadilawal 1436, Dari Anas bin Malik r.a., katanya: 

"Nabi saw. tidak pernah mengangkat tangan tinggi-tinggi ketika mendoa, melainkan ketika mendoa minta hujan, sehingga kelihatan putih ketiaknya."

Hadis Sahih Muslim

Monday, March 16, 2015

Penduduk Syurga Dan Neraka

Isnin, 23 Jamadilawal 1436H: Dari Haritsah bin Wahab r.a. katanya dia mendengar Nabi saw. bersabda: "Mahukah kamu sekalian ku beritahukan siapa penduduk syurga?" 

Jawab para sahabat, "Tentu, ya Rasulullah!" 

Sabda beliau, "Orang-orang daif bila dihina orang, lalu dia bersumpah dengan menyebut nama Allah (dan mendoa kepada-Nya), maka doanya sungguh diperkenankan Allah." 

Kemudian beliau bertanya pula, "Mahukah kamu ku beritahukan siapa penduduk neraka?" 

Jawab mereka, "Tentu!" 

Sabda beliau, "Setiap orang yang kasar, besar mulut, angkuh, mewah namun kikir dan sombong."

Hadis Sahih Muslim .

Friday, March 13, 2015

Doa Yang Paling Banyak Di Baca Nabi SAW

Jumaat, 22 Jamadilawak 1436H: Dari 'Abdul 'Aziz r.a. iaitu Ibnu Shuhaib katanya: 

"Qatadah bertanya kepada Anas r.a., Doa apakah yang sering dibaca Nabi saw"?" 

Kata Anas, "Doa yang paling banyak dibaca Nabi saw. ialah: Allahumma aatina fid dunya hasanah. wa fil aakhirati hasanah, Wa qinaa 'adzaban nar."(Wahai Allah, berilah kami kebahagiaan di dunia dan kebahagiaan di akhirat, serta hindarkanlah kami dari seksa neraka)

Hadis Sahih Muslim 

Thursday, March 12, 2015

Bumi Mekah Dan Madinah

Khamis, 21 Jamadilawal 1436H: Dari Abdullah bin Zaid r.a., dari Nabi saw., sabdanya: 

"Sesungguhnya Nabi Ibrahim mengharamkan (menjadikan tanah suci) negeri Mekah dan mendoa baginya. Dan aku mengharamkan negeri Madinah seperti Nabi Ibrahim mengharamkan Mekah dan aku pun mendoa bagi kemakmurannya sebagaimana Nabi Ibrahim mendoa bagi kemakmuran negeri Mekah."

Hadis Sahih Bukhari 

Wednesday, March 11, 2015

Berdoalah Dengan Bersungguh-Sungguh

Rabu, 20 Jamadilawal 1436H Dari Anas r.a. katanya Rasulullah saw: bersabda: 

"Apabila kamu mendoa, hendaklah kamu sungguh-sungguh yakin dalam doa (bahawa Allah Ta'ala mendengar dan mengabulkan). Janganlah kamu mendoa dengan kalimat: "Allah, jika Engkau mulia berilah aku!" Kerana sesungguhnya Allah Ta'ala tidak dipaksa memenuhi suatu doa."

Hadis Sahih Muslim .

Tuesday, March 10, 2015

Mengucapkan Alhamdulillah

Selasa, 19 Jamadilakhir 1436H: Dari Anas r.a, katanya: Ada dua orang bersin di dekat Nabi saw., lalu Nabi mendoakan salah seorang dari mereka, dan tidak mendoakan yang lain. 

Orang itu berkata: "Ya Rasulullah! Anda mendoakan orang ini, tetapi tidak mendoakan saya." 

Rasul menjawab: "Orang ini memuji Allah (mengucapkan Alhamdulillah) sedangkan engkau tidak."

Hadis Sahih Bukhari.

Monday, March 9, 2015

Doa Untuk Umat Rasulullah SAW

Isnin, 18 Jamadilawal 1436H: Dari Abu Hurairah r.a., katanya Rasulullah saw. bersabda: 

"Setiap Nabi mempunyai doa yang segera didoakannya untuk menolong umatnya, lalu doanya itu diperkenankan Allah. Tetapi aku, Insya Allah akan menggunakan doaku itu untuk membela umat ku kelak di hari kiamat."

Hadis Sahih Muslim

Friday, March 6, 2015

Apabila Awan Gelap

Jumaat, 15 Jamadilawal 1436H : Dari 'Aisyah r.a., katanya: Nabi s.a.w. kalau melihat awan gelap di langit, beliau menghadap, membelakang, masuk, dan ke luar, dan berubah wajah beliau. 

Dan kalau hujan turun dari langit, beliau gembira (tenang kembali). 

Aisyah berkata: Lalu saya tanyakan yang demikian itu kepada beliau. 

Nabi s.aw. bersabda: "Setelah mereka melihat awan terbentang di langit datang menuju ke lembah, mereka itu berkata: Inilah awan yang akan menurunkan hujan kepada kami! Bukan! Itulah (bahaya) yang kamu minta supaya datang dengan segera! Angin yang mengandung seksaan yang pedih!"

Hadis Sahih Bukhari

Thursday, March 5, 2015

Sujud Di Air Dan Tanah

Khamis, 14 Jamadilawal 1436H: Abu Sa'id Al Khudri r.a. bercerita: 

"Awan gelap datang, hari pun hujan sehingga atap yang dibuat dari pelepah , kurma itu jadi bocor. Dan qamat telah diucapkan. Ku lihat Rasulullah saw. sujud di air dan tanah, sehingga saya melihat bekas-bekas tanah melekat di kening beliau."

Hadis Sahih Bukhari.

Wednesday, March 4, 2015

Jangan Bersendirian

Rabu, 13 Jamadilawal 1436H: Dari Ibnu 'Abbas r.a., katanya dia mendengar Nabi saw. berkhutbah, sabdanya: 

"Seorang lelaki tidak boleh berada di tempat sunyi dengan seorang perempuan, melainkan harus disertai muhrim. Begitu pula seorang perempuan tidak boleh berjalan sendirian, melainkan harus bersama-sama muhrim." 

Tiba-tiba berdiri seorang lelaki, lalu dia bertanya: "Isteriku hendak menunaikan ibadah haji, sedangkan aku ditugaskan pergi berperang ke sana dan ke situ; bagaimana itu ya Rasulullah?" 

Jawab Rasulullah saw."Pergilah kamu haji bersama isterimu!"

Hadis Sahih Muslim.

Tuesday, March 3, 2015

Tidak Termasuk Golonganku

Selasa, 12 Jamadilawal 1435H: Dari Anas r.a., katanya: "Beberapa orang sahabat Nabi saw. bertanya kepada para isteri beliau tentang amal ibadah beliau ketika sedang bersunyi diri. Setelah mendapat jawapan, maka di antara para sahabat itu ada yang berkata, 

"Aku tidak akan pernah kahwin!" 

 Sebahagian lagi berkata, "Aku tidak akan makan daging." 

Yang lain berkata pula, "Aku tidak akan tidur di atas kasur." 

Mendengar ucapan-ucapan para sahabat itu, Nabi saw. serta-merta memuji dan menyanjung Allah swt. lalu beliau bersabda: "Bagaimanalah cara berfikir mereka, sehingga mereka berujar begini dan begitu. Padahal aku sendiri solat, tidur, puasa, berbuka, dan bahkan aku menikah. Siapa yang benci kepada cara hidup (sunnah)ku maka dia tidak termasuk golonganku."

Hadis Sahih Muslim 

Monday, March 2, 2015

Tujuh Jenis Manusia Yang Mandapat Naungan Allah Pada Hari Kiamat

Isnin,, 11 Jamadilawal 1436H: Dari Abu Hurairah r.a., dari Nabi saw., sabdanya: "Allah swt. akan memberikan naungan kepada tujuh jenis orang pada hari kiamat, di mana tidak ada naungan ketika itu kecuali naungan Allah. 

1. Imam (pemimpin, kepala pemerintahan yang adil.) 
2. Pemuda yang terdidik/terlatih sejak kecil dalam menyembah Allah. 
3. Seseorang yang hatinya tergantung di mesjid. 
4. Dua orang yang saling mengasihi kerana Allah; mereka berkumpul kerana Allah dan berpisah kerana Allah 
5. Seorang laki-laki yang dirayu untuk berbuat maksiat oleh wanita bangsawan yang cantik, lantas ia menolak dengan berkata halus, "Aku takut kepada Allah." 
6. Seorang yang bersedekah dengan sembunyi-sembunyi, sehingga tangan kirinya tidak tahu apa yang telah diberikan tangan kanannya. 
7. Seorang yang mengingat Allah waktu bersunyi-sunyi, lantas meleleh air matanya."

Hadis Sahih Bukhari

Friday, February 27, 2015

Jangan Meremehkan Kematian Orang.

Jumaat, 8 Jamadilawal 1436H: Dari Abu Hurairah r.a., katanya: "Ada seorang wanita atau pemuda hitam bekerja sebagai tukang sapu masjid. Ketika Rasulullah saw. tidak melihatnya, beliau tanya-tanyakan ke sana-sini. Mereka mengatakan bahawa orang itu telah meninggal. 

Kata Nabi saw., "Kenapa tidak kalian beritahu aku?" 

Seolah-olah kata Nabi, mereka menganggap remeh kematian orang itu. 

Kata Nabi selanjutnya, "Tunjukkanlah kepada ku kuburnya." Maka ditunjukkan mereka kepada beliau kuburnya, lalu beliau solat (ghaib) di atasnya. 

Kemudian beliau bersabda: "Kubur ini sangat gelap bagi penghuninya. Sesungguhnya Allah 'azza wa jalla akan meneranginya setelah aku solat di atasnya."

Hadis Sahih Muslim

Thursday, February 26, 2015

Pahala Setiap Langkah Ke Masjid

Khamis, 7 Jamadilawal 1436H: Dari Ubay bin Ka'ab r.a., katanya: 

"Ada seorang lelaki, yang setahuku dialah yang paling jauh tempat tinggalnya dari masjid. Walaupun begitu dia tidak pernah ketinggalan solat berjemaah. 

Kata orang kepadanya,"Alangkah baiknya anda beli seekor keldai untuk tunggangan anda, di malam gelap atau di panas terik." 

Jawabnya, "Aku tidak suka tinggal dekat masjid, kerana aku ingin supaya setiap langkahku pergi dan pulang dari masjid ditulis Allah pahalanya bagiku." 

Sabda Rasulullah saw., "Allah mengumpulkan pahala semuanya itu bagi anda."

Hadis Sahih Muslim.

Wednesday, February 25, 2015

Segeralah Berbuat Amal Kebajikan

Rabu, 6 Jamadilawal 1436H: Dari Abu Hurairah r.a., katanya Rasulullah saw. bersabda: 

"Segerakanlah berbuat amal kebajikan, sebelum datang bencana yang bagaikan malam gelap gelita. Pagi-pagi seseorang masih mukmin, tetapi bila hari petang dia kafir. Atau petang hari dia masih mukmin, pagi hari dia kafir. Dijualnya agamanya kerana mengharapkan keuntungan dunia"

Hadis Sahih Muslim

Tuesday, February 24, 2015

Menangis Kerana Kasih Mesra

Selasa, 5 Jamadilawal 1436H: Dari Anas r.a., katanya: "Kami pergi dengan Rasulullah saw. kepada Abu Saif tukang besi yang sesusu dengan Ibrahim. Rasulullah mengambil Ibrahim lalu menciumnya. Tidak lama sesudah itu kami datang pula kepadanya, tetapi ketika itu Ibrahim telah menghembuskan nafasnya yang penghabisan, dan air mata Rasulullah berlinang kerananya." 

Abdurrahman bin 'Auf berkata: "Ya, Rasulullah! Kenapa engkau menangis?" 

Jawab Rasulullah, "Hai, Ibnu 'Auf! Sesungguhnya yang demikian adalah kasih mesra. " 

Abdullah mengulangi perkataannya. 

Sabda Rasulullah saw., "Air mata mengalir, hati penuh duka, namun tidak ada kata-kata yang kami ucapkan melainkan apa yang diredhai Allah jua. Dan sesungguhnya perpisahan kami dengan engkau, hai Ibrahim, amat menyedihkan."

Hadis Sahih Bukhari .

Monday, February 16, 2015

Untuk Hamba Yang Saleh

Isnin, 26 Rabiulakhir 1436H: Dan Abu Hurairah r.a. dari Nabi saw. beliau bersabda: 

"Allah berfirman: "Aku telah menyediakan untuk hambaKu yang saleh, apa yang belum pernah mata melihat, belum pernah telinga mendengar dan belum pernah teringat dalam hati manusia."

Hadis Sahih Bukhari.

Thursday, February 12, 2015

Zina

Khamis, 22 Rabiulakhir 1436H: Dari Abu Hurairah r.a. dari Nabi saw. sabdanya: 

"Nasib anak Adam mengenai zina telah ditetapkan. Tidak mustahil dia pernah melakukannya. 
Dua mata, zinanya memandang. 
Dua telinga, zinanya mendengar. 
Lidah, zinanya berkata. 
Tangan, zinanya memukul. 
Kaki, zinanya melangkah. 
Hati, zinanya ingin dan rindu, sedangkan faraj (kemaluan) hanya mengikuti atau tidak mengikuti"

Hadis Sahih Muslim .

Wednesday, February 11, 2015

Amanah

Rabu, 21 Rabiulakhir 1436H: Dari Hudzaifah r.a., katanya: 

"Kami menerima dua buah hadis dari Rasulullah saw., yang satu telah ku lihat kenyataannya, sedangkan yang satu lagi masih ku tunggu-tunggu. Rasulullah saw. bersabda kepada kami, "Sesungguhnya amanah itu bertempat di hati sanubari seseorang. Kemudian Al Quran turun, lalu mereka belajar dari Al Quran dan Sunnah. Kemudian Rasulullah saw. bersabda pula tentang hilangnya amanah. 

Sabda beliau, "Seorang sedang tidur, lalu dicabut amanah dari hatinya, maka tinggallah bekasnya seperti noktah. Kemudian ia tidur lagi, lalu dicabut pula amanah dari hatinya maka kini tinggallah bekasnya seperti lepuh yang membengkak di tangan atau di kaki yang terkena bara panas, dan lepuh itu mengandung air sedikit. Ketika itu, amanah hampir saja hilang sehingga orang mencarinya ke mana-mana. 

Ketika dikatakan orang: Di sana ada amanah! Mereka sama berkata: alangkah sabarnya dia; atau alangkah baiknya dia; dan atau alangkah cerdiknya dia. Tetapi yang sebenarnya batin orang itu kosong dari iman. 

Kata Hudzaifah, "Dahulu, ketika amanah masih dipegang orang erat-erat, aku bisa berdagang dengan siapa pun. Jika dengan orang muslim, ia berlaku jujur kerana agamanya, dan jika dengan orang Nasrani atau dengan orang Yahudi, kejujuran itu pun terdapat pada majikannya. Tetapi sekarang, aku tak hendak berdagang lagi melainkan dengan orang-orang tertentu, seperti si Anu dan si Anu yang masih memegang amanah erat-erat.

Hadis Sahih Muslim 

Monday, February 9, 2015

Apabila Qamat Telah DiBacakan

Isnin, 19 Rabiulakhir 1436H: Abu Hurairah r.a. berkata, bahawa dia mendengar Rasulullah saw. bersabda:

"Apabila qamat telah dibacakan oleh hendak solat, maka janganlah kamu datang dengan tergesa-gesa, tetapi datanglah dengan berjalan seperti biasa, bersikap tenang. Ikutlah solat pada rakaat yang mana saja kamu dapati. Mana yang ketinggalan sempurnakanlah (sesudah imam memberi salam). "

Hadis Sahih Bukhari .