Selasa, 13 Zulhijjah 1446H | Asas Kehidupan Muslim
عَنْ أَبِي ذَرٍّ رضي الله عنه، قَالَ: قُلْتُ: يَا رَسُولَ اللَّهِ، أَوْصِنِي. قَالَ: أُوصِيكَ بِتَقْوَى اللَّهِ، فَإِنَّهُ رَأْسُ الْأَمْرِ كُلِّهِ. قُلْتُ: يَا رَسُولَ اللَّهِ، زِدْنِي. قَالَ: عَلَيْكَ بِتِلَاوَةِ الْقُرْآنِ، وَذِكْرِ اللَّهِ، فَإِنَّهُ نُورٌ لَكَ فِي الْأَرْضِ، وَذُخْرٌ لَكَ فِي السَّمَاءِ
Daripada Abu Dzar al-Ghifari RA berkata, Aku berkata kepada Rasulullah: Wahai Rasulullah, berilah aku wasiat." Baginda bersabda: “Aku wasiatkan kamu supaya bertakwa kepada Allah, kerana ia adalah pokok segala urusan.” Aku berkata lagi: “Tambahkan lagi untukku.” Baginda bersabda: “Hendaklah kamu sentiasa membaca al-Quran dan berzikir kepada Allah. Sesungguhnya ia adalah cahaya untukmu di bumi, dan simpanan untukmu di langit.” (HR Ibn Ḥibbān No: 361) Status: Hadis Sahih
Pengajaran:
1. Tiga asas kehidupan Muslim:
a. Takwa: asas keselamatan dunia dan akhirat.
b. Tilawah al-Quran: sebagai panduan hidup dan ubat hati.
c. Zikrullah: menjadikan hati hidup dan bercahaya, serta mendekatkan kepada Allah.
2. Takwa adalah punca atau teras segala perkara, asas dalam membuat keputusan, membina akhlak, hubungan dengan Allah dan manusia. Takwa bukan sekadar rasa takut, tetapi juga ketaatan, kesedaran dan pengawasan diri terhadap dosa dan maksiat.
3. Tilawah al-Quran adalah petunjuk kehidupan dan penerang dalam kegelapan, menjadi pembersih hati dan mendidik jiwa.
4. An-Nawawi dalam al-Adzkar menjelaskan bahawa zikir dan tilawah al-Quran bukan sekadar ibadah lisan, tetapi ia adalah bentuk ibadah hati yang membawa kesan yang luas dalam kehidupan seorang Muslim. Bahkan menjadi sumber ketenangan dan kekuatan dalaman.
5. Marilah kita bangunkan hati dengan takwa, hidupkan lidah dengan tilawah al-Quran dan tenangkan jiwa dengan zikirullah yang berterusan.
No comments:
Post a Comment