Friday, June 13, 2025

Majlis Yang Tidak Berkat

Jumaat, 16 Zulhijjah 1446H  |  Majlis Yang Tidak Berkat

عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ قَالَ: قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ: مَا مِنْ قَوْمٍ يَقُومُونَ مِنْ مَجْلِسٍ لَا يَذْكُرُونَ اللَّهَ تَعَالَى فِيهِ إِلَّا قَامُوا عَنْ مِثْلِ جِيفَةِ حِمَارٍ وَكَانَ لَهُمْ حَسْرَةً

Daripada Abu Hurairah RA, Rasulullah SAW bersabda: Tidak ada suatu kaum yang bangkit dari suatu majlis yang mereka tidak mengingati Allah di dalamnya, melainkan mereka bangkit dari majlis seperti bangkit dari bangkai keldai, dan majlis akan itu menjadi penyesalan bagi mereka. (HR Abu Daud No 11/835) Status Hasan Sahih

Pengajaran:

1.  Zikir mengingati Allah adalah jalan kepada kebahagiaan di akhirat dan keberkatan di dunia.

2.  Majlis atau aktiviti yang tidak ada zikir didalamnya, tidak disebut nama Allah, tidak ada doa, tidak ada tazkirah atau peringatan dan tiada unsur mengingati akhirat akan menjadi majlis yang tidak bermakna, kosong dan sia-sia.

3.  Majlis yang didalamnya terdapat zikir kepada Allah akan diberkati, membawa ketenangan dan pahala. Sebaliknya, majlis yang tidak mengingat Allah akan berakhir dengan kerugian.

4.  Zikir bukan hanya sekadar menyebut nama Allah, tetapi ia juga sebagai pengingat agar kita sentiasa berada dalam rahmat-Nya. Dengan zikrullah, kita menjaga diri daripada membiarkan waktu berlalu sia-sia.

5.  Majlis yang didalamnya terdapat zikir mengingati Allah akan memberi pengaruh yang positif terhadap akhlak. Zikir meningkatkan kerendahan hati dan ketakwaan, menjadikan pertemuan lebih bermakna.

6.  Perumpamaan seperti bangkai keldai adalah sesuatu yang busuk dan hina. Rasulullah SAW menggambarkan majlis yang tiada zikir itu sebagai tidak bernilai di sisi Allah, malah menjijikkan dan boleh mengundang dosa.


7.  Majlis yang baik adalah majlis yang disertai di dalamnya dengan zikir, doa, selawat atau peringatan agama walau sedikit. Tidak semestinya ia majlis ilmu formal, cukup ada tazkirah ringkas, doa pembuka atau penutup.


No comments: