Rabu, 21 Zulhijjah 1446H | Menjawab Azan Diganjari Syurga
عَنْ عُمَرَ بْنِ الْخَطَّابِ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ، أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ: إِذَا قَالَ المُؤَذِّنُ: اللَّهُ أَكْبَرُ، فَقَالَ أَحَدُكُمْ: اللَّهُ أَكْبَرُ، ثُمَّ قَالَ: أَشْهَدُ أَنْ لَا إِلٰهَ إِلَّا اللَّهُ، قَالَ: أَشْهَدُ أَنْ لَا إِلٰهَ إِلَّا اللَّهُ، ثُمَّ قَالَ: أَشْهَدُ أَنَّ مُحَمَّدًا رَسُولُ اللَّهِ، قَالَ: أَشْهَدُ أَنَّ مُحَمَّدًا رَسُولُ اللَّهِ، ثُمَّ قَالَ: حَيَّ عَلَى الصَّلَاةِ، قَالَ: لَا حَوْلَ وَلَا قُوَّةَ إِلَّا بِاللَّهِ، ثُمَّ قَالَ: حَيَّ عَلَى الفَلاحِ، قَالَ: لَا حَوْلَ وَلَا قُوَّةَ إِلَّا بِاللَّهِ، ثُمَّ قَالَ: اللَّهُ أَكْبَرُ، قَالَ: اللَّهُ أَكْبَرُ، ثُمَّ قَالَ: لَا إِلٰهَ إِلَّا اللَّهُ، قَالَ: لَا إِلٰهَ إِلَّا اللَّهُ مِنْ قَلْبِهِ دَخَلَ الْجَنَّةَ
Daripada Umar bin al-Khattab RA bahawa Rasulullah SAW bersabda: Apabila muazin mengucapkan: 'Allahu Akbar, Allahu Akbar', lalu salah seorang daripada kamu mengucapkan: 'Allahu Akbar, Allahu Akbar', kemudian muazin mengucapkan: 'Ashhadu an la ilaha illallah', maka dia juga mengucapkan: 'Ashhadu an la ilaha illallah', dan seterusnya sehingga apabila muazin berkata: 'Hayya ‘ala al-solah' dan 'Hayya ‘ala al-falah', maka dia menjawab: 'La hawla wa la quwwata illa billah', dan seterusnya hingga akhir azan, lalu dia mengucapkannya dari hatinya (dengan penuh keyakinan), nescaya dia akan masuk syurga. (HR Muslim No: 385) Status: Hadis Sahih.
Pengajaran:
1. Imam al-Nawawi menyatakan bahawa menjawab laungan azan adalah sunat muakkad (sunat yang sangat dituntut), dan hadis ini menunjukkan keutamaan serta ganjaran besar bagi mereka yang melakukannya dengan hati yang khusyuk dan penuh keimanan.
2. Menjawab azan adalah tanda respon positif seorang hamba terhadap seruan kepada ibadah, dan ia menjadi salah satu bentuk zikrullah.
3. Jawapan yang sesuai bagi lafaz “حَيَّ عَلَى الصَّلَاةِ” dan “حَيَّ عَلَى الفَلاحِ” Tidak disuruh ulangi lafaz itu, tetapi mengucapkan: “لَا حَوْلَ وَلَا قُوَّةَ إِلَّا بِاللَّهِ”, sebagai pengakuan kelemahan diri dan bahawa segala kekuatan hanya daripada Allah. Lafaz ini menggambarkan ketundukan kepada Allah dan pengakuan bahawa hanya Allah boleh membantu kita menunaikan solat dan mencapai kejayaan.
4. Amalan menjawab lafaz azan menjadi tanda keimanan yang benar, dan dengan rahmat Allah, dijanjikan syurga bagi orang yang menjawab azan dengan hati yang hidup dan tunduk kepada seruan-Nya.
5. Ibn Hajar al-‘Asqalani dalam Fath al-Bari mengulas bahawa balasan masuk syurga dalam hadis ini adalah untuk orang yang menjawab azan dengan penuh keimanan dan dari hati, ini bukan sekadar lisan, tetapi disertai keyakinan dan penghayatan.
6. Hadis ini mengingatkan kita bahawa dalam kehidupan seharian, peluang ke arah syurga terbuka luas, termasuk melalui respon terhadap lafaz seruan azan. Bukan hanya tentang mendengar, tetapi juga menghayati dan menyambutnya dengan hati yang tunduk dan cinta kepada Allah dan Rasul-Nya.
No comments:
Post a Comment