Sunday, June 15, 2025

Zikir Masuk Tandas Lindungi Daripada Jin

Ahad, 18 Zulhijjah 1446H  |   Zikir Masuk Tandas Lindungi Daripada Jin

عَنْ عَلِيٍّ بْنِ أَبِي طَالِبٍ قَالَ: قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ: سَتْرُ مَا بَيْنَ أَعْيُنِ الْجِنِّ وَعَوْرَاتِ بَنِي آدَمَ إِذَا دَخَلَ أَحَدُهُمْ الْخَلَاءَ أَنْ يَقُولَ: بِسْمِ اللَّهِ

Daripada Ali bin Abi Talib, Rasulullah SAW bersabda: Penutup (pelindung) antara pandangan mata jin dan aurat anak-anak Adam ketika salah seorang daripada mereka masuk ke dalam tandas ialah dengan dia mengucapkan: ‘Bismillah’. (HR Tirmizi No: 606) Status: Hadis Hasan

Pengajaran:

1.  Jin mampu melihat manusia dalam keadaan tidak menutup aurat, terutamanya ketika buang air, jika tidak dilindungi dengan zikir dan doa. Ucapan “Bismillah” sebelum masuk ke tandas menjadi penghalang (penutup) antara aurat manusia dan pandangan jin.

2.  Ucapan “Bismillah” adalah ringkas tetapi besar kesannya, termasuk sebagai pelindung aurat, menjauhkan gangguan jin dan mengingatkan bahawa kita berada dalam tempat yang tidak suci, maka perlulah adab.

3.  Islam menjaga maruah manusia dalam semua keadaan. Bahkan ketika di tempat yang tidak bersih, Islam tetap memandu akhlak dan adab, termasuk menjaga aurat daripada jin.

4.  Ucapan “Bismillah” bukan hanya sunat ketika ingin makan atau membaca al-Quran, tetapi juga dalam menjaga diri daripada gangguan makhluk halus dalam situasi tertentu.

5.  Dalam hadis riwayat Anas bin Malik RA, Apabila kamu memasuki tandas  maka ucapkanlah:

"بِسْمِ اللهِ، اللَّهُمَّ إني أَعُوذُ بِكَ مِنَ الخُبُثِ وَالخَبَائِثِ"

Maksudnya: Dengan Nama Allah, Ya Allah, aku berlindung dengan-Mu daripada jin jantan dan betina.


No comments: