Selasa, 20 Zulhijjah 1446H | Sempurna Wuduk Dengan Zikir dan Solat Sunat
عَنْ عُقْبَةَ بْنِ عَامِرٍ رضي الله عنه قَالَ: كَانَتْ عَلَيْنَا رِعَايَةُ الْإِبِلِ فَجَاءَتْ نَوْبَتِي فَرَوَّحْتُهَا بِعَشِيٍّ فَأَدْرَكْتُ رَسُولَ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَائِمًا يُحَدِّثُ النَّاسَ فَأَدْرَكْتُ مِنْ قَوْلِهِ: مَا مِنْ مُسْلِمٍ يَتَوَضَّأُ فَيُحْسِنُ وُضُوءَهُ، ثُمَّ يَقُومُ فَيُصَلِّي رَكْعَتَيْنِ، مُقْبِلٌ عَلَيْهِمَا بِقَلْبِهِ وَوَجْهِهِ، إِلَّا وَجَبَتْ لَهُ الْجَنَّةُ» قَالَ فَقُلْتُ: مَا أَجْوَدَ هَذِهِ، فَإِذَا قَائِلٌ بَيْنَ يَدَيَّ يَقُولُ: الَّتِي قَبْلَهَا أَجْوَدُ، فَنَظَرْتُ فَإِذَا عُمَرُ قَالَ: إِنِّي قَدْ رَأَيْتُكَ جِئْتَ آنِفًا، قَالَ: «مَا مِنْكُمْ مِنْ أَحَدٍ يَتَوَضَّأُ فَيُبْلِغُ - أَوْ فَيُسْبِغُ - الْوَضُوءَ ثُمَّ يَقُولُ: أَشْهَدُ أَنْ لَا إِلَهَ إِلَّا اللهُ وَأَنَّ مُحَمَّدًا عَبْدُ اللهِ وَرَسُولُهُ إِلَّا فُتِحَتْ لَهُ أَبْوَابُ الْجَنَّةِ الثَّمَانِيَةُ يَدْخُلُ مِنْ أَيِّهَا شَاءَ.
Daripada ‘Uqbah bin ‘Amir RA beliau berkata: Kami dahulu bertugas menjaga unta, dan apabila tiba giliran aku, aku membawa pulang unta-unta itu pada waktu petang. Maka aku dapati Rasulullah SAW sedang berdiri menyampaikan ucapan kepada orang ramai. Aku sempat mendengar baginda bersabda: ‘Tiada seorang Muslim pun yang berwuduk lalu menyempurnakan wuduknya, kemudian dia berdiri menunaikan dua rakaat solat dengan menghadirkan hati dan wajahnya (khusyuk), melainkan wajiblah baginya syurga.’ Aku berkata: ‘Alangkah hebatnya hadis ini!’ Lalu seseorang di hadapanku berkata: ‘Yang sebelumnya lebih hebat lagi.’ Maka aku menoleh, dan ternyata dia ialah Umar (bin al-Khattab), lalu beliau berkata: ‘Aku melihat engkau baru datang sebentar tadi. Rasulullah ﷺ bersabda: Tiada seorang pun antara kamu yang berwuduk lalu menyempurnakannya, kemudian membaca:
أَشْهَدُ أَنْ لَا إِلَهَ إِلَّا اللهُ وَأَنَّ مُحَمَّدًا عَبْدُ اللهِ وَرَسُولُهُ
(Aku bersaksi bahwa tidak ada tuhan yang berhak disembah selain Allah dan sesungguhnya Muhammad adalah hamba Allah dan rasul-Nya)' melainkan akan dibukakan untuknya pintu-pintu syurga yang lapan, dia boleh masuk dari mana-mana pintu yang dia kehendaki.’” (HR Muslim No: 234) Status: Hadis Sahih
Pengajaran:
1. Wuduk yang sempurna adalah jalan ke syurga. Menjaga wuduk dengan betul bukan hanya membersihkan anggota zahir, tapi ia adalah penyucian diri dan hati.
2. Solat sunat selepas wuduk sangat tinggi nilainya. Dua rakaat ini bukan sekadar ibadah sunat, tapi amat bernilai untuk menjadi antara asbab masuk syurga, jika dilakukan dengan hati yang khusyuk dan ikhlas.
3. Zikir selepas wuduk membuka semua pintu syurga. Ucapan:
أَشْهَدُ أَنْ لَا إِلَهَ إِلَّا اللهُ وَأَنَّ مُحَمَّدًا عَبْدُ اللهِ وَرَسُولُهُ
‘Ashhadu alla ilaha illallah wa anna Muhammadan ‘abduhu wa rasuluh’ adalah pengakuan keimanan, dan jika diucapkan selepas wuduk, membuka semua 8 pintu syurga.
4. Imam al-Suyuti menyebut bahawa zikir selepas wuduk seperti syahadah bukan hanya tasdiq (pengakuan), tapi juga penegasan tauhid dan kesetiaan kepada Nabi Muhammad SAW sebab itu, ganjarannya ialah pintu-pintu syurga terbuka luas.
5. Hadis ini menjelaskan bahawa ibadah yang mudah dan rutin seperti wuduk dan solat sunat dua rakaat, jika dilakukan dengan sempurna, penuh perhatian dan niat yang ikhlas, boleh menjadi kunci masuk ke syurga. Begitu juga ucapan syahadah selepas wuduk yang menjadi pembuka pintu-pintu syurga. Bahkan juga mengajar kita supaya menghargai setiap detik ibadah, walaupun kecil, kerana ia mampu mengubah akhirat seseorang.
No comments:
Post a Comment