Khamis, 15 Zulhijjah 1446H | Berzikir Mengingati Allah Setiap Aktiviti
عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ قَالَ: قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ: مَن قَعَدَ مَقْعَدًا لَمْ يَذْكُرِ اللَّهَ فِيهِ، كَانَ عَلَيْهِ مِنَ اللَّهِ تِرَّةٌ، وَمَن اضْطَجَعَ مُضْجَعًا لَمْ يَذْكُرِ اللَّهَ فِيهِ، كَانَتْ عَلَيْهِ مِنَ اللَّهِ تِرَّةٌ. وَمَا مَشَى أَحَدٌ مَمْشًى لَمْ يَذْكُرِ اللَّهَ فِيهِ، إِلَّا كَانَ عَلَيْهِ مِنَ اللَّهِ تِرَّةٌ
Daripada Abu Hurairah RA, Rasulullah SAW bersabda: Sesiapa yang duduk di suatu tempat tanpa mengingati Allah di dalamnya, maka dia akan mendapat kebencian daripada Allah. Begitu juga, jika seseorang berbaring di suatu tempat tanpa mengingati Allah di dalamnya, maka dia akan mendapat kebencian daripada Allah. Dan sesiapa yang berjalan di suatu tempat tanpa mengingati Allah di dalamnya, maka dia juga akan mendapat kebencian daripada Allah. (HR Abu Daud No 4856) Status Hasan Sahih
Pengajaran:
1. Zikrullah adalah jalan untuk meningkatkan hubungan kita dengan Allah.
2. Setiap Muslim perlu sentiasa mengingati Allah dengan cara dimulai dengan Basmallah ataupun doa dalam semua keadaan termasuk ketika berdiri, duduk, berjalan, atau tidur. Dengan mengingati Allah kita akan memperoleh keberkatan dan pahala daripada-Nya.
3. Berzikir mengingati Allah adalah tanda bersyukur kepada-Nya atas segala nikmat yang diberikan. Setiap perbuatan kecil, seperti duduk, tidur, atau berjalan, boleh menjadi ibadah jika disertai dengan niat yang baik dan mengingati Allah.
4. Ibn Hajar al-Asqalani dalam Fath al-Bari menjelaskan bahawa setiap pergerakan kita harus dipenuhi dengan ingatan kepada Allah kerana keseluruhan hidup kita adalah ibadah.
5. Kekurangan atau kerugian akan ditanggung seseorang apabila tidak berzikir menyebut nama Allah ketika melakukan sesuatu aktiviti. Meninggalkan zikir kepada Allah akan mengurangi keberkatan dan kebaikan yang sepatutnya diperoleh.
6. Imam al-Nawawi dalam al-Minhaj menyatakan bahawa kerugian bermaksud kekurangan dalam pahala dan pengurangan rahmat Allah pada diri seseorang.
7. Pentingnya berzikir mengingati Allah dalam setiap waktu dan keadaan menjadikan kita sentiasa berada dalam perlindungan-Nya dan mendapatkan ganjaran yang besar.
No comments:
Post a Comment