Khamis, 3 Rabiul Akhir 1447H | Contohi Rasulullah SAW Jika Melihat Suatu Yang Disukai dan Dibenci
عَنْ عَائِشَةَ قَالَتْ كَانَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ إِذَا رَأَى مَا يُحِبُّ قَالَ الْحَمْدُ لِلَّهِ الَّذِي بِنِعْمَتِهِ تَتِمُّ الصَّالِحَاتُ وَإِذَا رَأَى مَا يَكْرَهُ قَالَ الْحَمْدُ لِلَّهِ عَلَى كُلِّ حَالٍ
Daripada 'Aisyah RA dia berkata; "Apabila Rasulullah SAW melihat sesuatu yang baginda sukai, baginda akan mengucapkan: "Segala puji bagi Allah yang dengan nikmat-Nya semua kebaikan menjadi sempurna." dan apabila baginda melihat sesuatu yang tidak disukai, baginda mengucapkan: "Segala puji bagi Allah atas setiap keadaan." (Sunan Ibnu Majah No: 3793) Status: Hadis Hasan
Pengajaran:
1. Baginda SAW mengajarkan umatnya untuk sentiasa mengaitkan segala perkara dengan Allah SWT, sama ada perkara itu membawa kegembiraan atau sebaliknya.
2. Rasulullah SAW mengajar kepada kita adab apabila melihat sesuatu sama ada yang disukai atau yang dibenci.
3. Apabila melihat sesuatu yang disukai, hendaklah kita mengucapkan kalimah:
الْحَمْدُ لِلَّهِ الَّذِي بِنِعْمَتِهِ تَتِمُّ الصَّالِحَاتُ
"Segala puji bagi Allah yang dengan nikmat-Nya semua kebaikan menjadi sempurna."
Kalimah ini menunjukkan bahawa segala kebaikan dan amal soleh hanya sempurna dengan izin dan pertolongan Allah.
4. Apabila melihat sesuatu yang kita tidak suka hendaklah kita mengucapkan kalimah:
الْحَمْدُ لِلَّهِ عَلَى كُلِّ حَالٍ
"Segala puji bagi Allah atas setiap keadaan
Kalimah ini mencerminkan kesabaran, reda dan kepasrahan terhadap segala ketentuan Allah, walaupun perkara itu tidak disukai.
5. Ucapan syukur ketika mendapat nikmat menambah keberkatan, manakala ucapan pujian ketika ditimpa ujian menanamkan sifat reda dan sabar.
6. Seorang mukmin yang benar tidak hanya bersyukur ketika senang, tetapi juga reda dan memuji Allah dalam keadaan susah kerana dia yakin setiap ujian ada hikmahnya.
7. Zikir dan doa yang diajarkan Nabi SAW adalah panduan praktikal dalam mengurus emosi dan perasaan seorang Muslim dalam menghadapi pelbagai situasi kehidupan.
Mari kita amalkan kalimah terpuji apabila melihat sesuatu yang disukai mahupun juga yang dibenci
No comments:
Post a Comment