Saturday, September 27, 2025

Menjaga Solat Fardhu Lima Waktu Dijanjikan Syurga

Sabtu, 5 Rabiul Akhir 1447H  | Menjaga Solat Fardhu Lima Waktu Dijanjikan Syurga

عَنْ أَبي قَتَادَةَ بْنِ رِبْعِيٍّ رضي الله عنه أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ قَالَ: قَالَ اللَّهُ عز وجل افْتَرَضْتُ عَلَى أُمَّتِكَ خَمْسَ صَلَوَات، وَعهِدْتُ عَنِّي عَهْدا - أَنَّهُ مَنْ حَافَظَ عَلَيْهِنَّ لِوَقْتِهِنَّ أَدْخَلْتُهُ الْجَنَّةَ، وَمَنْ لَمْ يُحَافِظ عَلَيْهِنَّ، فَلَا عَهْدَ لَهُ عِنْدِي

Daripada Abu Qatadah bin Rib‘i RA, bahawa Rasulullah SAW bersabda bahawa Allah SWT telah berfirman:"Allah SWT berfirman: Sesungguhnya Aku telah fardukan ke atas umatmu lima solat (sehari semalam), dan Aku telah membuat perjanjian di sisi-Ku bahawa sesiapa yang menjaganya pada waktunya, maka Aku akan memasukkannya ke dalam syurga. Dan sesiapa yang tidak menjaganya, maka tiada perjanjian untuknya di sisi-Ku."
(Hadis Qudsi – diriwayatkan oleh Ibn Majah No: 221) Status: Hadis Hasan

Pengajaran:

1.  Hadis ini menegaskan bahawa solat lima waktu adalah perintah langsung daripada Allah SWT menunjukkan betapa penting dan tingginya kedudukan solat dalam Islam.

2.  Orang yang menjaga solat fardhu dengan sempurna,  menunaikannya tepat pada waktunya dan dilaksanakan dengan khusyuk, Allah SWT telah berjanji akan memasukkannya ke dalam syurga.

3.  Solat adalah ikatan perjanjian antara Allah dan hamba-Nya. Apabila seorang hamba menjaga solat, dia memenuhi syarat perjanjian itu dan mendapat ganjaran Syurga di akhirat.

4.  Orang yang tidak menjaga solatnya, khususnya dalam konteks melambat-lambatkannya atau meninggalkannya tanpa sebab, maka mereka telah melepaskan diri mereka daripada jaminan Allah.

5.  Solat lima waktu adalah asas keselamatan dan kejayaan seseorang Muslim di akhirat. Ia adalah amalan yang menjadi ukuran hubungan antara seorang hamba dengan Tuhannya. Menjaganya adalah syarat untuk mendapat jaminan syurga, manakala melalaikannya membawa risiko besar kehilangan rahmat Allah. Maka, setiap Muslim perlu memastikan solatnya dijaga dengan penuh disiplin dan keikhlasan.


No comments: