Wednesday, September 10, 2025

Gigit Sunnah Rasulullah SAW Dengan Gigi Geraham

Rabu, 17 Rabiul Awal 1447H  | Gigit Sunnah Rasulullah SAW Dengan Gigi Geraham

حَدَّثَنِي يَحْيَى بْنُ أَبِي الْمُطَاعِ قَالَ سَمِعْتُ الْعِرْبَاضَ بْنَ سَارِيَةَ يَقُولُ قَامَ فِينَا رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ ذَاتَ يَوْمٍ فَوَعَظَنَا مَوْعِظَةً بَلِيغَةً وَجِلَتْ مِنْهَا الْقُلُوبُ وَذَرَفَتْ مِنْهَا الْعُيُونُ فَقِيلَ يَا رَسُولَ اللَّهِ وَعَظْتَنَا مَوْعِظَةَ مُوَدِّعٍ فَاعْهَدْ إِلَيْنَا بِعَهْدٍ فَقَالَ عَلَيْكُمْ بِتَقْوَى اللَّهِ وَالسَّمْعِ وَالطَّاعَةِ وَإِنْ عَبْدًا حَبَشِيًّا وَسَتَرَوْنَ مِنْ بَعْدِي اخْتِلَافًا شَدِيدًا فَعَلَيْكُمْ بِسُنَّتِي وَسُنَّةِ الْخُلَفَاءِ الرَّاشِدِينَ الْمَهْدِيِّينَ عَضُّوا عَلَيْهَا بِالنَّوَاجِذِ وَإِيَّاكُمْ وَالْأُمُورَ الْمُحْدَثَاتِ فَإِنَّ كُلَّ بِدْعَةٍ ضَلَالَةٌ

Telah menceritakan kepadaku Yahya bin Abi Al Mutha' ia berkata; aku mendengar 'Irbadh bin Sariyah berkata; "Pada suatu hari Rasulullah SAW berdiri di tengah-tengah kami. Baginda memberi nasihat yang sangat menyentuh, membuat hati menjadi gemetar, dan airmata berlinangan. Lalu Kami berkata; "Wahai Rasulullah, seolah-olah engkau memberi nasihat perpisahan, maka wasiatkanlah sesuatu kepada kami”. Baginda bersabda: "Hendaklah kalian bertakwa kepada Allah, mendengar dan taat (kepada pemimpin) meskipun pemimpin itu seorang hamba Habsyi. Dan sepeninggalku nanti, kalian akan melihat perselisihan yang banyak, maka hendaklah kalian berpegang dengan sunnahku dan sunnah para khulaf ar-Rasyidin yang mendapat petunjuk. Gigitlah sunnah itu dengan gigi geraham kamu, dan jangan sampai kalian mengikuti perkara-perkara (bid’ah) yang dibuat-buat, kerana sesungguhnya semua bid’ah itu adalah sesat." (HR Ibnu Majah No: 42) Status: Hadis Sahih

Pengajaran:

1.  Menurut Imam al-Nawawi, hadis ini menjadi asas dalam menjaga agama, kerana mengandungi tuntutan takwa, ketaatan, berpegang kepada sunnah dan larangan bid‘ah.

2.  Ibn Rajab al-Hanbali menjelaskan bahawa takwa adalah asas bagi keselamatan dunia dan akhirat. Taqwa kepada Allah, iaitu melaksanakan segala perintah-Nya dan menjauhi larangan-Nya.

3.  Hendaklah kita bertakwa kepada Allah, mendengar dan taat kepada pemimpin yang benar dan hak, meskipun kepada seorang hamba Habsyi. Ibn Hajar menyebut bahawa ketaatan ini penting untuk mengelakkan perpecahan dan kekacauan dalam masyarakat.

4.  Sepeninggalan Rasulullah SAW,  akan berlaku banyak perselisihan. Sebagai orang beriman, kita mesti berpegang teguh dengan sunnah Rasulullah SAW dan khulafa ar-Rasyidin yang mendapat petunjuk (perumpamaan menggigit dengan gigi geraham lebih kuat dan mantap).

5.  Berpegang teguh dengan sunnah ialah teguh dan berterusan mengikuti dan mencontohi semua jalan hidup, pemikiran, amalan dan tunjuk ajar Rasulullah SAW dalam segenap lapangan hidup. Jadilah seperti Saidina Abu Bakar Ash Shiddiq RA yang menyatakan:

لَسْتُ تَارِكًا شَيْئًا كَانَ رَسُوْلُ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَ سَلَّمَ يَعْمَلُ بِهِ إِلَّا عَمِلْتُ بِهِ إِنِّي أَخْشَى إِنْ تَرَكْتُ شَيْئًا مِنْ أَمْرِهِ أَنْ أَزِيْغَ

“Tidaklah aku biarkan satupun yang Rasulullah SAW amalkan kecuali aku mengamalkannya kerana aku takut jika meninggalkannya sedikit saja, aku akan menyimpang.”

6.  Jangan terlibat dengan perkara bid’ah yang dikeji. Mengikut Ibnu Hajar dengan menambah atau mengurangkan dalam hal agama yang tiada dalil syarak. Imam al-Syafi‘i menjelaskan bahawa bid‘ah yang tercela ialah yang menyalahi al-Quran, Sunnah, ijmak atau athar sahabat.

7.  Hadis ini mengandungi wasiat penting Rasulullah SAW agar bertakwa kepada Allah, taat kepada pemimpin, berpegang teguh dengan sunnah Baginda dan sunnah khulafa’ ar-rasyidin, serta menjauhi perkara-perkara baru yang tidak ada asas dalam agama.




No comments: