Sunday, September 21, 2025

Hubungkan Ukhuwah Dengan Sapaan

Ahad, 28 Rabiul Awal 1447H  | Hubungkan Ukhuwah Dengan Sapaan

عَنْ هِشَامَ بْنَ عَامِرٍ قَالَ سَمِعْتُ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَقُولُ لَا يَحِلُّ لِمُسْلِمٍ أَنْ يَهْجُرَ مُسْلِمًا فَوْقَ ثَلَاثِ لَيَالٍ فَإِنْ كَانَ تَصَارَمَا فَوْقَ ثَلَاثٍ فَإِنَّهُمَا نَاكِبَانِ عَنْ الْحَقِّ مَا دَامَا عَلَى صُرَامِهِمَا وَأَوَّلُهُمَا فَيْئًا فَسَبْقُهُ بِالْفَيْءِ كَفَّارَتُهُ فَإِنْ سَلَّمَ عَلَيْهِ فَلَمْ يَرُدَّ عَلَيْهِ وَرَدَّ عَلَيْهِ سَلَامَهُ رَدَّتْ عَلَيْهِ الْمَلَائِكَةُ وَرَدَّ عَلَى الْآخَرِ الشَّيْطَانُ فَإِنْ مَاتَا عَلَى صُرَامِهِمَا لَمْ يَجْتَمِعَا فِي الْجَنَّةِ أَبَدًا

Daripada Hisyam bin 'Amir berkata; saya mendengar Rasulullah SAW bersabda: "Tidak halal bagi seorang muslim untuk memutuskan hubungan dengan saudara sesama Muslim lebih daripada tiga malam, jika mereka berdua saling mendiamkan lebih daripada tiga hari, keduanya jauh dari kebenaran selama mereka berdua masih memutuskan hubungan. Jika salah seorang di antaranya kembali sedar dari rasa marah (menyambung kembali hubungan ukhuwah), maka ia menjadi penebus dosanya. Jika dia (si 'A') memberi salam terhadap temannya (si 'B') namun tidak diterima (tidak dijawab), maka Malaikat akan menjawab salamnya, dan (si 'B') yang mendiamkan diri akan dijawab oleh syaitan. Jika mereka berdua meninggal dunia dalam keadaan saling mendiamkan (bermusuh), maka mereka berdua tidak akan berkumpul di syurga selama-lamanya." (HR Ahmad No: 15668) Status: Hadis Sahih

Pengajaran:

1.  Seorang muslim tidak boleh memutuskan hubungan dengan saudara Muslimnya lebih dari tiga hari. Menurut Imam al-Nawawi, tempoh tiga hari adalah ruang masa untuk meredakan emosi seseorang. Lebih daripada itu dianggap berdosa kerana melanggar adab ukhuwah Islamiah.

2.  Jika kedua-dua Muslim yang berselisih, saling mendiamkan diri dengan tidak bertegur sapa lebih dari tiga hari, keduanya akan jauh dari kebenaran (Rahmat) selama mereka berdua masih memutuskan hubungan.

3.  Jika salah seorang di antaranya kembali sedar dan segera menyambung kembali hubungan ukhuwah, maka ia akan menjadi penebus dosanya kerana memutuskan. Ibn Hajar al-‘Asqalani menegaskan bahawa orang yang mula-mula memberi salam dan memulakan perdamaian akan mendapat kelebihan besar kerana ia dianggap sebagai penebus dosanya.

4.  Jika seseorang memberi salam tetapi tidak dijawab, maka malaikat akan menjawab bagi pihaknya, sebagai bukti keredaan Allah kepadanya. Sebaliknya, syaitan akan memperkukuh permusuhan pada pihak yang enggan membalas salam.

5.  Jika mereka berdua meninggal dunia dalam keadaan saling bermusuh, maka mereka berdua tidak akan berkumpul di syurga selama-lamanya. Para ulama menjelaskan, maksud “tidak berhimpun di syurga” bukanlah kekal selama-lamanya, tetapi sebagai ancaman keras bahawa permusuhan itu boleh menjadi sebab seseorang dihalang daripada nikmat syurga, kecuali dengan rahmat Allah.

6.  Setiap Muslim mesti berusaha menjadi orang yang pertama memulakan perdamaian jika berlaku perselisihan antara mereka. Jauhi sifat ego, dendam dan keras hati kerana ia merosakkan agama dan merugikan kehidupan di akhirat.




No comments: