Monday, September 22, 2025

Golongan Penghuni Syurga

Isnin, 29 Rabiul Awal 1447H   |  Golongan Penghuni Syurga

عن عياض بن حمار المجاشعي رضي الله عنه عن النبي صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قال : وَأَهْلُ الْجَنَّةِ ثَلَاثَةٌ ذُو سُلْطَانٍ مُقْسِطٌ مُتَصَدِّقٌ مُوَفَّقٌ وَرَجُلٌ رَحِيمٌ رَقِيقُ الْقَلْبِ لِكُلِّ ذِي قُرْبَى وَمُسْلِمٍ وَعَفِيفٌ مُتَعَفِّفٌ ذُو عِيَالٍ

Daripada Iyadh bin Himar al-Mujasyai RA, dari Nabi SAW baginda bersabda: "Penghuni syurga itu terdiri daripada tiga golongan; iaitu penguasa atau pemerintah yang berlaku adil, banyak bersedekah dan diberi taufik oleh Allah, seorang yang penyayang dan lembut hatinya kepada setiap kerabat dan sesama muslim, dan seorang yang menjaga kehormatan diri, menjauhkan diri daripada meminta-minta”  (HR Muslim No: 5109) Status: Hadis Sahih

Pengajaran

Antara golongan yang akan menjadi penghuni Syurga ialah:

1.  Pertama: Pemerintah atau pemimpin yang adil, sentiasa pemurah dengan bersedekah dan mendapat  taufik Allah dalam menjalankan tanggungjawab.

2.  Imam al-Nawawi menjelaskan bahawa pemerintah yang adil adalah tonggak utama masyarakat. Keadilannya bukan sahaja menjaga hak rakyat, malah dengan sifat pemurahnya dia menggunakan kekuasaan dan harta untuk kemaslahatan umat. Taufik Allah adalah syarat terpenting untuk dia istiqamah dalam keadilan dan kebaikan.

3.  Kedua: Orang yang penyayang dan lemah lembut kepada setiap kerabat dan sesama muslim yang lain. Ibn Hajar menjelaskan bahawa sifat penyayang ini meliputi keluarga terdekat serta masyarakat Muslim secara umum. Ia tidak mementingkan diri, tetapi prihatin dengan kesusahan orang lain, membantu, dan memaafkan.

4.  Ketiga: Orang yang menjaga kehormatan diri iaitu orang yang hidup dalam kesusahan tetapi tetap menjaga maruah, tidak meminta-minta daripada orang lain, serta berusaha bersungguh-sungguh menyara ahli keluarganya. Ulama menyatakan bahawa orang sebegini mendapat kedudukan tinggi di sisi Allah kerana kesabarannya.

5.  Islam memberi peluang kepada setiap lapisan Masyarakat, sama ada pemimpin, orang berkemampuan, mahupun orang miskin untuk mencapai syurga melalui jalan kebaikan masing-masing.




No comments: