Rabu, 10 Rabiul Awal 1447H | Rasulullah Penyelamat Umat
عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ قَالَ: قَالَ رَسُولُ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ: إِنَّمَا مَثَلِي وَمَثَلُ أُمَّتِي كَمَثَلِ رَجُلٍ اسْتَوْقَدَ نَارًا فَجَعَلَتِ الدَّوَابُّ وَالْفَرَاشُ يَقَعْنَ فِيهِ فَأَنَا آخِذٌ بِحُجَزِكُمْ وَأَنْتُمْ تَقَحَّمُونَ فِيهِ
Daripada Abu Hurairah RA berkata, Rasulullah SAW bersabda : Sesungguhnya perumpamaan diriku dengan umatku adalah seperti seorang lelaki yang menyalakan api. Ketika itu, binatang kecil dan serangga (kelekatu) berjatuhan ke dalamnya (api). Maka aku mencegah kalian (menarik kalian agar selamat), namun kalian tetap berusaha melemparkan diri ke dalamnya (api). (HR Bukhari No: 6483) Status : Hadis Sahih.
Pengajaran:
1. Rasulullah SAW diutus untuk memberitahu manusia akan ancaman azab api Neraka yang menanti di Akhirat bagi mereka yang berbuat maksiat juga yang tidak beriman.
2. Rasulullah SAW berusaha untuk menyelamatkan manusia dari menjadi ahli Neraka. Baginda SAW menyampaikan Islam sebagai kesejahteraan hidup dunia dan akhirat.
3. Al-Qurtubi menyatakan bahawa hadis ini adalah peringatan keras bahawa mengikuti hawa nafsu dan meninggalkan sunnah Rasulullah SAW akan membawa manusia ke arah kebinasaan. Ia juga menekankan bahawa keselamatan hanya tercapai dengan mentaati Rasulullah SAW sepenuhnya.
4. Imam An-Nawawi berkata: hadis ini membawa maksud bahawa Rasulullah SAW menggambarkan perbuatan orang jahil dan ingkar yang bergelumang dengan maksiat dan syahwat sebenarnya melemparkan diri ke dalam api Neraka, seperti serangga kelekatu yang terbang ke dalam api kerana mengikut keinginan dan tidak mampu membezakan bahaya atau tidak, sedangkan Baginda SAW berusaha menghalang mereka dari terjatuh ke dalamnya.
5. Teknik memberikan perumpamaan yang boleh digambarkan oleh akal, adakalanya diperlukan bagi menyampaikan dakwah dan menyedarkan jiwa umat.
6. Jangan jadikan kita seperti serangga kelekatu yang terhumban ke dalam api kerana tidak dapat membezakan antara bahaya dan bahagia. Ikutilah perintah dan larangan Rasulullah SAW yang sayang dan kasih kepada umatnya agar tidak terhumban ke dalam neraka.
7. Dunia ini penuh dengan tipu daya dan tarikan yang boleh menyeret manusia ke arah maksiat. Umat Islam perlu berhati-hati dan jangan mudah tertarik dengan keseronokan sementara yang akhirnya membawa kepada kemurkaan Allah.
8. Jadikan diri kita pewaris tugas Rasulullah sebagai pendakwah untuk menyelamatkan diri kita dan orang lain daripada api neraka.
Rabiul Awal, bulan yang mengingatkan kita kepada kelahiran Nabi Muhammad SAW. Berusahalah kita mencintai Rasulullah SAW dengan mencontohinya.
No comments:
Post a Comment