Isnin, 7 Rabiul Akhir 1447H | Tiga Dosa Disegerakan Balasannya Didunia
حَدَّثَنَا بَكَّارُ بْنُ عَبْدِ الْعَزِيزِ، عَنْ أَبِيهِ، عَنْ جَدِّهِ، عَنِ النَّبِيِّ صلى الله عليه وسلم قَالَ: كُلُّ ذُنُوبٍ يُؤَخِّرُ اللَّهُ مِنْهَا مَا شَاءَ إِلَى يَوْمِ الْقِيَامَةِ، إِلاَّ الْبَغْيَ، وَعُقُوقَ الْوَالِدَيْنِ، أَوْ قَطِيعَةَ الرَّحِمِ، يُعَجِّلُ لِصَاحِبِهَا فِي الدُّنْيَا قَبْلَ الْمَوْتِ
Daripada Bakkār bin ‘Abd al-‘Azīz, daripada bapanya, daripada datuknya, daripada Nabi SAW, baginda bersabda: " Setiap dosa akan dilewatkan oleh Allah hukumannya mengikut kehendak-Nya sehingga hari kiamat kecuali perbuatan zalim (melampaui batas), derhaka kepada kedua ibu bapa, dan memutuskan silaturahim. Sesungguhnya Allah akan segerakan hukuman ke atas pelakunya di dunia sebelum kematiannya." (HR Abu Daud No: 4902) Status: Hadis Sahih
Pengajaran:
1. Menurut Ibn Hajar al-Asqalani, hadis ini menunjukkan bahawa Allah Maha Pengampun, dan banyak dosa manusia ditangguhkan balasannya hingga hari kiamat kecuali beberapa dosa berat yang tidak akan ditangguhkan malah akan disegerakan azab atau bala di dunia.
2. Tiga Dosa yang disegerakan balasannya semasa didunia
i) الْبَغْي – Kezaliman termasuk menindas orang lain, mengambil hak tanpa izin dan menganiaya atau menyakiti orang lain
ii) عُقُوق الْوَالِدَيْن – Derhaka kepada Ibu Bapa termasuk menyakiti, mengabaikan, tidak menghormati ibu bapa, bercakap kasar, meninggikan suara, enggan membantu, serta memalukan mereka
iii) قَطِيعَة الرَّحِم – Memutuskan Silaturahim dengan keluarga
3. Dosa yang melibatkan hak manusia lain (seperti kezaliman, derhaka, dan memutuskan silaturahim) lebih berat kesannya, kerana ia merosakkan hubungan sosial dan kekeluargaan.
4. Kezaliman terhadap sesama manusia adalah antara dosa yang Allah sangat murka, dan boleh menyebabkan kehancuran hidup, kehilangan berkat, atau ditimpa bala secara langsung.
5. Hormat dan taat kepada ibu bapa adalah perintah Allah, dan kedurhakaan membawa kesan langsung dalam kehidupan, seperti rezeki disekat, hati tidak tenang, dan umur tidak diberkati.
6. Memelihara hubungan kekeluargaan membawa keberkatan umur dan rezeki, manakala memutuskannya membawa kesempitan hidup dan kemurkaan Allah.
7. Hadis ini memberi amaran dan juga peluang bahawa selama belum mati, masih ada ruang untuk bertaubat dan memperbaiki kesalahan. Tidak semua dosa menunggu hari pembalasan. Ada dosa yang dibalas segera di dunia, seperti hidup susah, tidak diberkati, dihina, tidak tenang, ditimpa bala dan sebagainya.
No comments:
Post a Comment