Jumaat, 19 Rabiul Awal 1447H | Berselawat Dalam Majlis
عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ قَالَ قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ إِذَا صَلَّى الرَّجُلُ عَلَى النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ مَرَّةً فِي الْمَجْلِسِ أَجْزَأَ عَنْهُ مَا كَانَ فِي ذَلِكَ الْمَجْلِسِ
Daripada Abi Hurairah RA, Rasulullah SAW bersabda: Apabila seseorang berselawat kepada Nabi SAW sebanyak sekali di dalam sesebuah majlis, maka ianya telah mencukupi sepanjang ia berada di majlis tersebut. (Sunan at-Tirmidzi No: 3468) Status: Hassan Sahih
Pengajaran:
1. Majlis yang diberkati, di dalamnya disertakan dengan kalimah Allah dan selawat ke atas Nabi SAW
2. Hadis ini menunjukkan bahawa sekurang-kurangnya sekali selawat dalam sesuatu majlis sudah memadai untuk menunaikan tuntutan selawat dalam majlis tersebut. Namun, menurut Imam al-Nawawi dalam al-Azkar, adalah lebih utama (afdhal) memperbanyakkan selawat, bukan hanya sekali.
3. Imam al-Sindi menjelaskan bahawa maksudnya ialah seseorang yang berselawat sekali dalam majlis, tidak lagi dianggap lalai atau cuai dalam menunaikan hak Rasulullah SAW pada majlis itu.
4. Berselawat sekali apabila berada dalam satu majlis atau program mencukupi bermaksud sangat mudah untuk dilakukan tetapi memiliki pahala yang sangat besar termasuk keampunan.
Sebuah hadis yang diriwayatkan oleh al-Imam Ahmad dari Abdullah bin ‘Amr RA, ia berkata:
مَنْ صَلَّى عَلَى رَسُوْلِ اللهِ صَلَّى الله عَلَيْهِ وَسَلَّمَ صَلاَةً صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَمَلاَئِكَتُهُ سَبْعِيْنَ صَلاَةً, فَلْيُقِلَّ عَبْدٌ مِنْ ذَلِكَ أَوْ لِيُكْثِرْ.
“Barangsiapa yang berselawat kepada Rasulullah SAW sekali sahaja, maka Allah dan para Malaikatnya akan berselawat kepadanya sebanyak tujuh puluh selawat, maka perbanyaklah seorang hamba dalam membacanya.” (Al-Musnad Imam Ahmad X/106-107 No. 6605) Status: Hadis Hasan
5. Sufyan As-Sauri mengatakan bahawa selawat dari para malaikat adalah permohonan ampun baginya.
6. Ibn Hajar al-‘Asqalani menegaskan bahawa selawat adalah doa, maka ia menjadi sebab rahmat Allah turun ke dalam majlis. Justeru, memperbanyakkan selawat adalah bukti cinta kepada Rasulullah SAW serta cara untuk membersihkan majlis daripada unsur yang sia-sia.
Abi Umamah berkata Rasulullah bersabda:
أَكْثِرُوا عَلَيَّ مِنَ الصَّلاةِ فِي كُلِّ يَوْمِ جُمُعَةٍ فَإِنَّ صَلاةَ أُمَّتِي تُعْرَضُ عَلَيَّ فِي كُلِّ يَوْمِ جُمُعَةٍ فَمَنْ كَانَ أَكْثَرَهُمْ عَلَيَّ صَلاةً كَانَ أَقْرَبَهُمْ مِنِّي مَنْزِلَةً
Banyakkanlah berselawat ke atasku di setiap hari Jumaat kerana selawat umatku diperlihatkan kepadaku pada setiap hari Jumaat. Maka sesiapa yang paling banyak selawatnya ke atasku, dialah yang paling dekat kedudukannya denganku. (Riwayat al-Baihaqi, Sunan al-Kubra, 3/249, no. 5791) Status: Hadis Hasan
No comments:
Post a Comment