Tuesday, September 23, 2025

Contohi Rasulullah SAW Dalam Kecerian Wajah

Selasa, 1 Rabiul Akhir 1447H  |  Contohi Rasulullah SAW Dalam Kecerian Wajah

عَنْ أَبِي ذَرٍّ قَالَ قَالَ لِيَ النَّبِيُّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ لَا تَحْقِرَنَّ مِنْ الْمَعْرُوفِ شَيْئًا وَلَوْ أَنْ تَلْقَى أَخَاكَ بِوَجْهٍ طَلْقٍ

Daripada Abu Dzar RA, beliau berkata, Rasulullah SAW bersabda kepadaku: Jangan sekali-kali engkau meremehkan suatu kebaikan meskipun hanya sekadar engkau menemui saudaramu dengan wajah yang ceria (senyuman)" HR Muslim No 4760. Status: Hadis Sahih

Pengajaran:

1.  Setiap amal baik walaupun kecil, tetap mendapat ganjaran di sisi Allah. Imam al-Nawawi dalam Syarh Sahih Muslim menegaskan bahawa semua bentuk kebaikan, walaupun kecil, mempunyai nilai besar di sisi Allah. Kadang-kala amalan yang dianggap kecil oleh manusia boleh menjadi sebab seseorang masuk syurga kerana keikhlasan hatinya.

2.  Berwajah ceria atau senyum apabila bertemu dengan orang lain adalah antara amal kebaikan yang dituntut. Ibn Hajar al-‘Asqalani menyebut bahawa senyuman kepada saudara Muslim adalah satu bentuk sadaqah yang menunjukkan akhlak mulia. Ia menyemai kasih sayang, menghilangkan kebencian, dan menguatkan ukhuwah Islamiah.

3.  Sikap ceria, senyum, gembira dan bertutur dengan kata-kata yang baik ketika berinteraksi dengan orang lain adalah suatu tuntutan akhlak Islam.

4.  Penampilan wajah yang ceria ketika bertemu dapat mewujudkan ikatan ukhuwah sesama muslim. Senyuman ikhlas dapat menenangkan hati saudara Muslim, membuang prasangka, dan menambah pahala di sisi Allah.

5.  Jangan memandang remeh perkara yang mungkin kecil tetapi memberi kesan dan ganjaran yang besar antaranya senyuman, memberi salam apabila bertemu.


No comments: