Tuesday, September 9, 2025

Al-Quran dan Sunnah Panduan Hidup Diredhai

Selasa, 16 Rabiul Awal 1447H  | .Al-Quran dan Sunnah Panduan Hidup Diredhai

عَنْ مَالِك أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ تَرَكْتُ فِيكُمْ أَمْرَيْنِ لَنْ تَضِلُّوا مَا تَمَسَّكْتُمْ بِهِمَا كِتَابَ اللَّهِ وَسُنَّةَ نَبِيِّهِ

Daripada Malik, sesungguhnya Rasulullah SAW telah bersabda: "Aku tinggalkan kepada kalian dua perkara yang kalian tidak akan tersesat selamanya selagi kalian berpegang teguh dengan keduanya iaitu Kitabullah (al-Quran) dan Sunnah Nabi-Nya (hadis) " (Muwatta’ Malik No: 1661 Dar Ihya Ulum Arabiyyah) Status: Hadis Sahih

Pengajaran:

1.  Rasulullah SAW meninggalkan pusaka yang amat berharga untuk diwarisi oleh orang beriman agar sentiasa berada di dalam petunjuk dan hidayah Allah.

2.  Al-Quran dan Sunnah Rasulullah SAW merupakan dua pusaka yang wajib di amalkan dan dijadikan panduan dalam kehidupan ini. Menurut Imam al-Syafi‘i dalam al-Risalah, kedua-duanya tidak boleh dipisahkan kerana Sunnah adalah penjelasan dan pentafsir kepada ayat-ayat al-Quran.

3.  Al-Qurtubi dalam tafsirnya menjelaskan bahawa siapa yang berpegang teguh dengan al-Quran dan Sunnah akan terpelihara daripada kesesatan akidah, ibadah, muamalah dan akhlak.

4.  “Berpegang teguh” ialah mengikuti, memahami, dan mengamalkan kedua-duanya, bukan sekadar membaca atau menghafal.

5.  Al-Quran adalah kitab hidayah dan panduan untuk kehidupan. Berusahalah mempelajari, membaca, memahami dan melaksanakan tuntutan al-Quran.

عن جابر عن النبي صلى الله عليه وسلم قال اَلقُرْءَانُ شَافِعٌ مُشَفَّعٌ وَمَاحِلٌ مُصَدَّقٌ مَن جَعَلَهُ أَمَامَهُ قَادَهُ إِلَى الْجَنَّةِ وَمَن جَعَلَهُ خَلْفَ ظَهْرِهِ سَاقَطَهُ إِلَى النَّارِ

Daripada Jabir RA dari Nabi SAW bersabda: Al-Quran adalah pemberi syafaat (yang mana) syafaatnya akan diterima dan sebagai penghujah (yang mana) hujahnya disokong. Barangsiapa meletakkan al-Quran di hadapannya maka al-Quran akan memandunya ke syurga dan barangsiapa yang meletakkan al-Quran di belakangnya maka al-Quran akan mencampakkannya ke neraka” (HR Ibn Hibban No: 124) Status: Hadis Sahih

6.  Sunnah adalah penjelas bagi al-Quran yang diturunkan kepada Rasulullah SAW. Al-Sunnah adalah jalan, tingkah laku, amalan, pembawaan atau cara hidup Rasulullah SAW sama ada melalui percakapan, perbuatan mahupun perakuan.

7.  Menerusi sunnah, orang beriman dapat memahami asas ibadah yang diterangkan dalam al-Quran serta dalam bidang-bidang lain yang diperlihatkan oleh Rasulullah SAW seperti muamalah, jinayat, akhlak, pentadbiran dan lain-lain.

8.  Al-Quran dan Sunnah adalah dua pegangan utama yang wajib diikuti oleh setiap Muslim. Sesiapa yang menjadikan kedua-duanya panduan hidup akan mendapat hidayah dan tidak akan tersesat. Umat Islam pada setiap zaman wajib kembali kepada al-Quran dan Sunnah dalam menangani segala isu kehidupan, sama ada dalam aspek ibadah, akhlak, sosial, ekonomi mahupun politik.

Marilah kita memastikan dua pusaka ini kita pelajari, fahami dan mengamalkannya sebagai tanda kecintaan kepada Rasulullah SAW.


No comments: