Ahad, 6 Rabiul Akhir 1447H | Malaikat Bergilir Di Waktu Subuh dan Asar
عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ، أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ " يَتَعَاقَبُونَ فِيكُمْ مَلاَئِكَةٌ بِاللَّيْلِ وَمَلاَئِكَةٌ بِالنَّهَارِ، وَيَجْتَمِعُونَ فِي صَلاَةِ الْفَجْرِ وَصَلاَةِ الْعَصْرِ، ثُمَّ يَعْرُجُ الَّذِينَ بَاتُوا فِيكُمْ، فَيَسْأَلُهُمْ وَهْوَ أَعْلَمُ بِهِمْ كَيْفَ تَرَكْتُمْ عِبَادِي فَيَقُولُونَ تَرَكْنَاهُمْ وَهُمْ يُصَلُّونَ، وَأَتَيْنَاهُمْ وَهُمْ يُصَلُّونَ
Daripada Abu Hurairah RA, Rasulullah SAW bersabda: “Malaikat bergilir-gilir datang kepada kamu, malaikat pada waktu malam dan malaikat pada waktu siang. Mereka berkumpul pada waktu solat Subuh dan solat Asar. Kemudian malaikat yang menjaga kamu pada waktu malam naik (ke langit), lalu Allah bertanya kepada mereka sedangkan Allah lebih mengetahui keadaan mereka itu. ‘Bagaimana keadaan hamba-hamba-Ku ketika kamu tinggalkan?’ Mereka menjawab: ‘Kami tinggalkan mereka dalam keadaan mereka sedang solat, dan kami datang kepada mereka juga dalam keadaan mereka sedang solat.’ (HR Bukhari No: 555) Status: Hadis Sahih
Pengajaran:
1. Menurut Ibn Hajar al-‘Asqalani, para malaikat bertugas silih berganti siang dan malam untuk mengawasi, mencatat amalan, serta menyaksikan ibadah setiap manusia. Setiap hari dan malam ada dua giliran utama malaikat untuk setiap orang dan mereka bertukar giliran ketika solat Subuh dan Asar.
2. Imam al-Nawawi menyatakan bahawa hadis ini menunjukkan keutamaan solat Subuh dan Asar kerana kedua-dua waktu ini menjadi saat peralihan giliran malaikat yang menjaga manusia. Mereka melaporkan keadaan manusia kepada Allah SWT, dan Allah memuliakan mereka yang menjaga solat pada waktu ini.
3. Solat Subuh dan Asar adalah solat yang disebut secara khusus dalam hadis ini kerana:
o Subuh: Waktu permulaan siang, susah untuk bangun.
o Asar: Waktu sibuk memuncak.
Justeru, siapa yang menjaga solat pada waktu ini menunjukkan keimanan dan keikhlasan sebenar mereka.
4. Muslim yang baik adalah yang sentiasa memelihara Solat Fardhu secara istiqamah dan dilakukan dengan sempurna dan penuh khusyuk.
5. Orang yang sentiasa menjaga solat pada waktunya, nescaya dia berada dalam naungan rahmat Allah dan pujian para malaikat.
6. Hadis ini mengajar kita untuk mengambil serius soal solat, terutamanya solat Subuh dan Asar. Hal ini menyedarkan kita bahawa setiap amal kita tidak tersembunyi daripada pengawasan Allah dan para malaikat. Maka, setiap Muslim seharusnya berusaha untuk memperbaiki solatnya dan istiqamah dalam ibadah agar termasuk dalam kalangan hamba yang disebut dengan baik oleh para malaikat di hadapan Allah SWT.
No comments:
Post a Comment