Sabtu, 6 Rejab 1447H | Bersama-sama Orang Yang Dicintai Di Akhirat
عَنْ أَنَسٍ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ أَنَّ رَجُلًا سَأَلَ النَّبِيَّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ عَنِ السَّاعَةِ فَقَالَ مَتَى السَّاعَةُ قَالَ وَمَاذَا أَعْدَدْتَ لَهَا قَالَ لَا شَيْءَ إِلَّا أَنِّي أُحِبُّ اللَّهَ وَرَسُولَهُ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فَقَالَ أَنْتَ مَعَ مَنْ أَحْبَبْتَ قَالَ أَنَسٌ فَمَا فَرِحْنَا بِشَيْءٍ فَرَحَنَا بِقَوْلِ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ أَنْتَ مَعَ مَنْ أَحْبَبْتَ قَالَ أَنَسٌ فَأَنَا أُحِبُّ النَّبِيَّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ وَأَبَا بَكْرٍ وَعُمَرَ وَأَرْجُو أَنْ أَكُونَ مَعَهُمْ بِحُبِّي إِيَّاهُمْ وَإِنْ لَمْ أَعْمَلْ بِمِثْلِ أَعْمَالِهِمْ
Daripada Anas RA, dia mengatakan bahawa ada seorang lelaki bertanya kepada Rasulullah SAW tentang hari kiamat. Orang itu mengatakan, ‘Bilakah berlakunya hari kiamat?’ Rasulullah SAW bertanya kembali, ’Apa yang telah engkau persiapkan untuk hari tersebut?’ Orang itu menjawab, ‘Tidak ada, melainkan sesungguhnya saya mencintai Allah dan Rasul-Nya. Rasulullah SAW bersabda, ‘Engkau akan bersama dengan orang yang engkau cintai.’ Anas RA mengatakan, “Kami tidak pernah merasakan kebahagiaan sebagaimana kebahagiaan kami ketika mendengar sabda Rasulullah SAW: ‘Engkau akan bersama-sama orang yang engkau cintai.’ Anas RA mengatakan, ‘Saya mencintai Nabi SAW , Abu Bakar dan Umar. Saya berharap dapat bersama mereka dengan sebab kecintaanku kepada mereka meskipun saya tidak mampu melakukan amalan yang mereka lakukan. (HR Bukhari No: 3412) Status: Hadis Sahih
Pengajaran:
1. Menjadi tanggungjawab kepada orang yang tidak mengetahui untuk bertanya kepada orang yang berilmu sesuatu yang ia tidak jelas dan faham.
2. Setiap mukmin perlu sentiasa mempersiapkan diri dengan bekalan iman dan amal soleh untuk menghadapi hari akhirat kerana kematian boleh berlaku bila-bila masa.
3. Setiap kita wajib mencintai Allah dan Rasul-Nya lebih daripada segalanya. Cinta yang ikhlas kepada Allah dan Rasul merupakan amalan hati yang sangat bernilai dan diterima di sisi Allah.
4. Seseorang akan dikumpulkan bersama orang yang dicintainya di akhirat. Prinsip ini memberi harapan besar kepada orang beriman untuk bersama golongan soleh, walaupun amalnya terbatas. Cintailah orang yang soleh semasa di dunia ini semoga kita dapat bersama dengan mereka ke syurga.
5. Kecintaan kepada Rasulullah SAW Adalah tanda keimanan dan kesetiaan kepada manhaj Islam yang sebenar.
6. Hadis ini menanamkan harapan, bahawa rahmat Allah tidak terbatas pada kuantiti amalan semata-mata, tetapi juga pada keikhlasan dan kecintaan yang tulus kepada Allah dan Rasul serta para sahabat dan orang-orang yang soleh.
No comments:
Post a Comment