Jumaat, 5 Rejab 1447H | Bergaul Dengan Orang Soleh
عَنْ أَبِي سَعِيدٍ أَنَّهُ سَمِعَ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَقُولُ لَا تُصَاحِبْ إِلَّا مُؤْمِنًا وَلَا يَأْكُلْ طَعَامَكَ إِلَّا تَقِيٌّ
Daripada Abu Sa'id RA ia mendengar Rasulullah SAW bersabda: "Janganlah bersahabat kecuali dengan orang yang beriman dan janganlah ada yang memakan makananmu kecuali orang yang bertakwa." (HR Tirmizi No: 2395) Status: Hadis Hasan
Pengajaran:
1. Pemilihan sahabat memberi kesan besar kepada iman dan akhlak. Bergaul dan bersahabatlah dengan mereka yang beriman dan berakhlak mulia.
2. Imam al-Nawawi menjelaskan bahawa pentingnya memilih sahabat kerana mereka memberi kesan kepada iman dan akhlak seseorang.
3. Sahabat yang baik akan menasihati, mengingatkan kepada akhirat, dan mendorong kita ke arah kebaikan. Manakala sahabat yang buruk boleh membawa kepada kelalaian dan kerosakan akhlak.
4. Iman dan takwa sebagai kriteria utama persahabatan.
Rasulullah SAW menegaskan bahawa asas persahabatan sejati ialah nilai keimanan dan ketakwaan, bukan semata-mata kepentingan dunia.
5. Dalam Syarah Sunan Abi Daud menjelaskan bahawa tabiat atau kebiasaan itu adalah sesuatu yang dicuri (diambil) daripada orang lain (dibimbangi apabila bergaul dengan orang yang tidak berakhlak akan menyebabkan seseorang meniru akhlak buruk tersebut).
6. Islam tidak melarang berbuat baik, bekerjasama atau bermuamalah dengan semua manusia, tetapi menetapkan batasan dalam hubungan yang sangat rapat agar iman terpelihara.
7. Al-Khathabi menyatakan bahawa larangan memakan makanan kecuali orang yang bertakwa hanya berlaku pada makanan undangan bukan makanan kerana keperluan (kita disuruh membantu kepada sesiapapun lebih-lebih lagi kepada yang memerlukan termasuk non muslim juga binatang).
Allah SWT berfirman;
وَيُطْعِمُونَ الطَّعَامَ عَلَى حُبِّهِ مِسْكِيناً وَيَتِيماً وَأَسِيراً
Maksudnya: ‘Dan mereka (al-abrar; orang-orang yang berbuat kebajikan), memberikan makanan yang disukainya kepada orang miskin, anak yatim, dan orang yang ditawan.’ (Surah Al-Insan ayat 8)
Imam al-Ghazali dalam Ihya’ Ulumuddin menekankan: “Sahabat yang baik umpama wangian, kamu tidak akan rugi berada di sisinya walaupun hanya seketika”. Pastikan teman karib kita orang yang soleh. Moga kesolehannya menjangkit pada kita.
No comments:
Post a Comment