Ahad, 7 Rejab 1447H | Bersahabat Dengan Penjual Minyak Wangi Bukan Pembakar Besi
حَدَّثَنَا أَبُو بُرْدَةَ بْنُ عَبْدِ اللَّهِ قَالَ سَمِعْتُ أَبَا بُرْدَةَ بْنَ أَبِي مُوسَى عَنْ أَبِيهِ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ قَالَ قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ مَثَلُ الْجَلِيسِ الصَّالِحِ وَالْجَلِيسِ السَّوْءِ كَمَثَلِ صَاحِبِ الْمِسْكِ وَكِيرِ الْحَدَّادِ لَا يَعْدَمُكَ مِنْ صَاحِبِ الْمِسْكِ إِمَّا تَشْتَرِيهِ أَوْ تَجِدُ رِيحَهُ وَكِيرُ الْحَدَّادِ يُحْرِقُ بَدَنَكَ أَوْ ثَوْبَكَ أَوْ تَجِدُ مِنْهُ رِيحًا خَبِيثَةً
Telah menceritakan kepada kami Abu Burdah bin 'Abdullah berkata; Aku mendengar Abu Burdah bin Abu Musa dari bapaknya RA berkata; Rasulullah SAW bersabda: Perumpamaan teman yang baik dan teman yang buruk adalah seperti seorang penjual minyak wangi dan seorang tukang besi. Adapun, penjual minyak wangi akan memberi kamu (minyak wangi tersebut), atau kamu membeli daripadanya, atau kamu mendapat bau yang harum daripadanya. Sedangkan tukang besi pula, akan membakar bajumu atau kamu mendapatkan bau yang busuk.” (HR Bukhari No: 5534) Status: Hadis Sahih
Pengajaran:
1. Hidup bermasyarakat memerlukan sahabat dan orang lain yang akan saling bertolong bantu bagi menyempurnakan kehidupan.
2. Pelbagai jenis manusia yang berada di sekeliling kita, ada yang baik ada juga yang jahat dan buruk akhlak. Oleh itu penting kita memilih rakan yang baik atau kumpulan yang baik dan soleh.
3. Bergaul dan bersahabat dengan orang yang baik umpama berada di sisi penjual minyak wangi, jika kita tidak membelinya, bau wangi tetap melekat pada tubuh kita. Sahabat yang soleh akan membimbing, mendoakan, dan memberi kesan positif secara langsung atau tidak langsung.
4. Bergaul dan bersahabat dengan orang yang buruk akhlak umpama berada bersama pembakar besi, walaupun kita tidak membakarnya, bahang panasnya tetap kita rasai. Sahabat yang buruk akhlak boleh merosakkan akhlak, iman dan amal seseorang, sama ada secara sedar atau tidak.
5. Hadis ini menunjukkan kepada kita kelebihan duduk bersama-sama orang yang soleh, orang yang baik, orang yang menjaga maruah, orang yang mulia akhlaknya, orang yang warak, ahli ilmu, orang yang beradab di samping larangan duduk bersama-sama orang yang tidak baik, ahli bid’ah, orang yang dibenci masyarakat atau yang melakukan maksiat, malas beramal dan sebagainya yang termasuk di dalam perkara-perkara yang dicela. [Lihat: al-Minhaj, 178/16]
Carilah orang yang soleh dan berakhlak mulia sebagai teman dan sahabat untuk kita bersama mereka. Moga tempias atau aura kebaikannya mempengaruhi kita.
No comments:
Post a Comment